Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Anda ada soalan tentang Hari Raya? 12 asatizah sedia jawab dalam sesi IG Live malam esok

Bagaimana cara paling berhemah untuk menangani soalan sensitif tanpa menimbulkan sebarang salah faham mahupun rasa kecil hati?

Anggaran Waktu Membaca:
Anda ada soalan tentang Hari Raya? 12 asatizah sedia jawab dalam sesi IG Live malam esok

Sesi IG Live malam Raya bersama 12 asatizah AYN. (Gambar: MUIS)

SINGAPURA: Bila nak kahwin? Kenapa berat badan semakin naik? Tak teringin nak ada anak ke?

Inilah antara soalan-soalan sensitif yang mungkin tak ingin didengar oleh sebahagian masyarakat semasa keluarga dan sanak-saudara berkumpul pada Hari Raya nanti.

Tapi bagaimana cara paling berhemah untuk menanganinya tanpa menimbulkan sebarang salah faham mahupun rasa kecil hati?

Malam esok (4 Jun), sekumpulan asatizah dari Rangkaian Kerja Belia Asatizah (AYN) mengajak masyarakat menyertai sesi IG Live istimewa sempena Aidilfitri.

Mungkin ada banyak lagi soalan-soalan berkaitan sambutan Hari Raya yang bermain di benak fikiran anda dan inilah masanya untuk diutarakan kepada para asatizah bertauliah.

Anggota AYN, Ustaz Ridhwan Mohd Basor, memberitahu BERITAmediacorp seramai 12 asatizah sudah bersedia untuk menjawab apa sahaja soalan masyarakat berkaitan Hari Raya.

Ini termasuk Ustaz Tarmizi Wahid, Ustazah Amalina Abdul Nasir, Ustaz Irwan Hadi dan juga Ustaz Ahmad Faris.

"Idea ini pertama kali kami buat. Waktu Ramadan kita cuba buat IG Live dua kali. Minggu pertama dan kedua Ramadan dan sambutannya agak menggalakkan. Kita tak tahu bagaimana nanti sambutannya waktu malam Hari Raya tapi kita cuba," kata Ustaz Ridhwan.

Sesi yang diadakan dalam bulan Ramadan. (Gambar: AYN)

Sesi IG Live yang diadakan dalam bulan Ramadan. (Gambar: AYN)

Dua sesi percubaan yang diadakan dalam bulan Ramadan itu menerima jumlah tontonan daripada seramai 800 orang bagi setiap sesi yang berlangsung selama dua jam, dengan purata antara 80 dengan 100 orang pada satu-satu masa.

Sesi yang diadakan dalam bulan Ramadan. (Gambar: AYN)

Sesi IG Live yang diadakan dalam bulan Ramadan. (Gambar: AYN)

Malah, untuk sesi IG Live malam esok, para asatizah sudahpun menerima beberapa soalan sejak dua tiga hari lalu.

Antaranya, soalan tentang sama ada ziarah kubur pada pagi Hari Raya itu adat atau ajaran agama, cara-cara yang betul untuk melaksanakan puasa 6 dan kekeliruan tentang siapa yang boleh disalam semasa berkunjung-kunjungan.

Terdapat 11 sesi dalam tempoh dua jam tersebut. Dua asatizah akan bergilir-ganti pada setiap 15 minit untuk menjawab soalan-soalan yang diajukan.

Maka, masyarakat dipelawa untuk menyertai sesi secara langsung itu di laman Instagram Muslim.SG bermula pukul 8.00 malam.

Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan