Skip to main content

Iklan

Iklan

Amrin seru badan Melayu/Islam terus hulur bantuan, bukan setakat sempena Ramadan atau Syawal

Setiausaha Parlimen Kanan Ehwal Dalam Negeri merangkap Kesihatan, Amrin Amin, menyeru badan-badan Melayu/Islam supaya meneruskan usaha membantu golongan yang kurang bernasib baik sepanjang tahun dan bukan setakat pada bulan Ramadan ataupun Syawal sahaja.

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Setiausaha Parlimen Kanan Ehwal Dalam Negeri merangkap Kesihatan, Amrin Amin, menyeru badan-badan Melayu/Islam supaya meneruskan usaha membantu golongan yang kurang bernasib baik sepanjang tahun dan bukan setakat pada bulan Ramadan ataupun Syawal sahaja.

Encik Amrin berkata demikian di luar majlis perjumpaan Hari Raya BERITAmediacorp dan DETIK, yang diadakan khas untuk kanak-kanak Rumah Kebajikan Muhammadiyah (RKM) pada Khamis (13 Jun).

Tidak seperti rakan-rakan sebaya mereka yang diajak keluarga dan rakan-rakan untuk berkunjung ke rumah handai taulan sepanjang Syawal lebih-lebih lagi sempena cuti sekolah ini, para penghuni RKM hanya dibenarkan pulang ke rumah pada Hari Raya pertama sahaja.

Walaupun Hari Raya, hari-hari mereka sama sahaja seperti bulan lain di mana mereka hanya meluangkan masa bersama rakan-rakan dan kakitangan rumah tumpangan RKM.

Namun, sambutan Lebaran mereka pada Khamis (13 Jun) lebih ceria apabila dihiburkan dan dijamu hidangan raya bersama kerabat kerja Berita dan Ehwal Semasa Melayu Mediacorp.

Pengarah Jabatan Perhubungan Korporat dan Sumber RKM, Rubiah Abdul Latip, menganggap acara itu sebagai sesuatu yang sangat bermakna bagi anak-anak RKM.

"Ia telah membawa keceriaan kepada anak-anak ini sempena perayaan Syawal. Acara CSR seperti ini mengeratkan lagi tali ukhwah di antara anak-anak RKM, kakitangan kami dan juga karyawan korporat seperti Mediacorp," katanya.

Selain berinteraksi menerusi permainan dan nyanyian lagu raya, kanak-kanak RKM juga diberi duit raya dan cenderamata BERITAmediacorp dan DETIK.

"Dalam tugas seharian kita, kita selalu berkejar dengan masa. Jadi kita membuat liputan berita tapi dalam suasana Hari Raya ini, dalam sekitaran yang santai, kami dapat duduk bersama.

"Kami dapat memahami lagi, mereka dapat memberi kami maklum balas dan kami juga dapat berkongsi dengan mereka apa itu Berita, bagaimana bilik berita berfungsi dan beroperasi dan ini satu cara kami mendampingi lagi masyarakat," kata Surita Salim, Editor Penyelia, Berita & Ehwal Semasa Melayu Mediacorp.

Acara itu juga dimeriahkan lagi dengan kehadiran Encik Amrin selaku tetamu terhormat.

Walaupun gembira melihat banyaknya acara yang dianjurkan badan-badan Melayu/Islam untuk berkongsi keceriaan bersama golongan yang memerlukan sempena Ramadan dan Syawal, beliau berharap ia bukan setakat satu usaha musiman sahaja.

Encik Amrin berkata: "Saya ingin menyeru badan-badan lain untuk meneruskan usaha yang murni ini supaya kita dapat memberitahu anak-anak kita terutama mereka yang kurang kemampuan, kebolehan dan juga yang kurang bernasib baik dapat merasakan kasih sayang sepanjang tahun dan bukan sahaja pada bulan Ramadan ataupun Syawal."

Di hujung acara, Encik Amrin turut menyertai sekitar 80 kerabat RKM, BERITAmediacorp dan DETIK bermain bunga api bagi menyemarakkan lagi sambutan Hari Raya.

Sumber : BERITA Mediacorp/IZ/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan