Ramadan & Syawal 2019

Images
  • amrin amin scdf brani
    Setiausaha Parlimen Kanan Amrin Amin beramah mesra dengan para anggota pasukan Balai Bomba Marin Brani pada Hari Raya pertama, 5 Jun 2019.

Amrin kunjungi pasukan Balai Bomba Marin Brani yang bertugas pada Hari Raya

SINGAPURA: Ramai orang bercuti sempena Aidilfitri, tetapi demi tugas ada yang perlu berkorban masa bersama keluarga tercinta.

Hari ini (5 Jun), pasukan Balai Bomba Marin Brani menerima lawatan istimewa dari Setiausaha Parlimen Kanan Ehwal Dalam Negeri merangkap Kesihatan, Amrin Amin.

Demi menjaga kesejahteraan negara, memang lumrah untuk pasukan Balai Bomba Marin Brani bertugas pada hari cuti umum.

Namun, bagi anggota perkhidmatan negara sepenuh masa, Korporal (CPL) Abdul Fatah Sahalan, pengalaman Aidilfitri tahun ini adalah yang pertama tanpa keluarga tersayang di sisi.

CPL Abdul Fatah berkata: "Sudah pasti perasaan sedih itu hadir sebab ini kali pertama saya beraya berjauhan dengan keluarga saya. Tapi saya faham bahawa ini adalah salah satu tanggungjawab saya sebagai warganegara Singapura dan juga seorang anggota perkhidmatan negara sepenuh masa."

Namun pada pagi ini, CPL Fatah dan anggota seangkatannya menerima tetamu khas yang mengunjungi pangkalan di Pulau Brani untuk berhari raya.

Dengan berbekalkan kuih-muih untuk dibahagikan kepada mereka, Setiausaha Parlimen Kanan Ehwal Dalam Negeri merangkap Kesihatan, Amrin Amin ke Balai Bomba Marin Brani sejurus selepas mengerjakan solat Aidilfitri di Masjid Yusof Ishak.

Kegembiraan di wajah para anggota pasukan bomba, termasuk Pakar Marin, Pegawai Waran Pertama (WO1) Mohd Nazli Abdul Rahim, jelas terpancar sambil mereka beramah mesra dengan Encik Amrin.

"Saya dan rakan-rakan seperjuangan amat terharu dan hargai kedatangan Encik Amrin untuk menyambut Hari Raya di pagi Hari Raya ini dengan kami semua," kata WO1 Mohd Nazli.

Encik Amrin melahirkan penghargaannya atas pengorbanan para anggota bomba serta keluarga mereka demi keselamatan negara ini.

"Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada mereka dan keluarga mereka kerana pengorbanan mereka untuk memastikan yang negara kita selamat," kata Encik Amrin.

"Saya harap kita sama-sama memberi sokongan sepenuhnya kepada pegawai pasukan Home Team dan juga pegawai-pegawai lain yang bekerja bertungkus-lumus memastikan prasarana kita tetap terjamin, terjaga, semasa kita berhari raya."

- BERITAmediacorp/zm

Top