Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Amrin: Ayuh gunakanlah minuman kurang gula semasa Hari Raya nanti

Semasa menjamu selera pada Hari Raya nanti, sediakanlah minuman yang kurang gula atau yang lebih sihat.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Semasa menjamu selera pada Hari Raya nanti, sediakanlah minuman yang kurang gula atau yang lebih sihat.

Demikian seruan dan galakan Setiausaha Parlimen Kanan, Ehwal Dalam Negeri merangkap Kesihatan, Encik Amrin Amin kepada masyarakat Melayu/Islam tempatan untuk Hari Raya ini.

Beliau mahu gaya hidup sihat semasa Ramadan diteruskan semasa Syawal.

Mesej itu turut disebarkan Lembaga Penggalakan Kesihatan (HPB), yang sejak sebulan lalu bekerjasama dengan 30 rakan termasuk masjid-masjid, Qaryah dan syarikat-syarikat pembuat minuman untuk menggalak pilihan makanan lebih sihat.

Setiausaha Parlimen Kanan MHA Amrin Amin berkunjung ke pasar raya FairPrice di Hab Tampines Kita untuk menyebarkan mesej "Kita Dah Cukup Manis, Kurangkan OK?". (Gambar: HPB)

Siang tadi (1 Jun), Encik Amrin sendiri berkunjung ke pasar raya FairPrice di Hab Tampines Kita untuk menyebarkan mesej "Kita Dah Cukup Manis, Kurangkan OK?".

KURANGKAN GULA BUKAN SETAKAT RAYA SAJA

"Ini satu usaha berterusan di mana kita ada pilihan-pilihan yang lebih sihat untuk masyarakat kita. Contohnya, minuman-minuman oren yang kurang gula," kata Encik Amrin, yang sempat beramah mesra dengan pengunjung di pasar raya itu.

Beliau juga berceritakan perbualannya bersama seorang pengunjung yang menunjukkan kepadanya tentang 'pemilihan bijaknya'.

"Lihat lah Milo yang saya beli ini, kurang gula," kongsi beliau.

Encik Amrin menambah bahawa berdasarkan pengamatannya kesedaran tentang pemakanan sihat seperti mengurangkan gula, semakin meningkat.

Ini petanda baik kata beliau dan beliau menggalakkan masyarakat supaya meneruskan pengamalan gaya hidup sihat itu.

SAMBUTAN MENGGALAKKAN INISATIF SIHAT

Sebilangan orang ramai yang BERITAmediacorp temui ternyata prihatin tentang bahaya kencing manis dan bertekad untuk menghidangkan minuman yang lebih sihat untuk santapan tetamu pada Aidilfitri nanti.

Di antaranya adalah Cik Rene Melati dan Cik Noorsiah Hassan.

"Semestinya, sebab kesihatan memang penting dan saya tak mahu hanya keluarga saja yang sihat termasuk sahabat handai, saudara mara juga, saya ingin melihat mereka sihat juga," jelas Cik Rene Melati Muin, 42 tahun.

"Oh sudah tentu, pada Hari Raya Aidilfitri nanti, tetamu saya semua akan dihidangkan dengan minuman-minuman yang kurang gula. Sudah pasti (ketawa)." kata Cik Noorsiah Hassan pula yang berusia 58 tahun.

Mengikut perangkaan pihak berkuasa, 1 dalam setiap 6 orang Melayu Singapura berusia 18 hingga 69 tahun, menghidapi kencing manis.

Perangkaan itu adalah lebih tinggi berbanding dengan purata 10 peratus di peringkat nasional.

Lantaran itulah, HPB menggiatkan lagi usaha untuk mengingatkan masyarakat tentang risiko pengambilan gula berlebihan.

Setiausaha Parlimen Kanan MHA Amrin Amin berkunjung ke pasar raya FairPrice di Hab Tampines Kita untuk menyebarkan mesej "Kita Dah Cukup Manis, Kurangkan OK?". (Gambar: HPB)

Seiring dengan kempen itu juga, pengunjung ke pasar raya FairPrice, Sheng Siong dan Giant, juga boleh menyertai permainan khas di gerai-gerai HPB sepanjang tempoh kempen ini dan membawa pulang hadiah menarik. 

Sumber : BERITA Mediacorp/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan