Ramadan 2019

Images
  • iswaran buka puasa
    Menteri Perhubungan dan Penerangan S Iswaran bersama para penduduk kawasan West Coast dalam satu majlis berbuka puasa. (Gambar: FB/ S Iswaran)

Agama galak masyarakat lebih bertanggungjawab: Iswaran

SINGAPURA: Menteri Perhubungan dan Penerangan S Iswaran berkata agama mampu memberi inspirasi kepada orang ramai untuk menjadi anggota masyarakat yang lebih bertanggungjawab.

Beliau turut memberi amaran tentang cabaran-cabaran yang semakin ketara di luar negara seperti ucapan berbaur kebencian dan berita palsu yang boleh menggugat keharmonian masyarakat.

Encik Iswaran berkata demikian dalam satu majlis berbuka puasa peringkat daerah West Coast yang pertama pada Sabtu lalu (11 Mei).

Majlis berkenaan mengumpulkan lebih 1,000 penduduk di kawasan undi West Coast dan Pioneer.

Ia diharap dapat menyatu-padukan masyarakat berbilang kaum dan agama.

Ini selaras dengan erti bulan Ramadan selain memupuk nilai-nilai murni yang lain, kata Encik Iswaran.

"Ramadan adalah bulan suci di mana Al-Quran telah diturunkan. Ia juga masa untuk mempereratkan hubungan dengan orang-orang di sekeliling kita. Berpuasa pada bulan Ramadan juga memaparkan nilai-nilai murni seperti merendah diri, taat dan berkorban.

"Inilah masanya untuk kita pupuk semangat kejiranan dan bersatu hati, baik dalam kalangan masyarakat kita sendiri, mahupun dengan masyarakat yang berlainan bangsa dan agama," ujar beliau.

INTERNET JADIKAN SESETENGAH ORANG JAGUH SIBER

Namun begitu, Encik Iswaran berkata terdapat juga peristiwa-peristiwa yang negatif berlaku di merata dunia akibat pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab.

Beliau menambah: "Pada masa yang sama, terdapat juga mereka yang sengaja menggunakan berita palsu atau ucapan berbaur kebencian untuk menyebabkan perpecahan hanya kerana kita berbeza dari segi pakaian, makanan atau kepercayaan.

"Internet dan media sosial juga telah menjadikan sesetengah orang jaguh siber tanpa nama, yang lebih mementingkan perhatian daripada kebenaran."

Lantaran itu, beliau menekankan peri pentingnya peranan yang perlu dimainkan masyarakat demi menjaga keharmonian kaum.

Antaranya adalah para wakil Kumpulan Bina Keyakinan Antara Kaum (IRCC) yang turut menyertai acara berbuka puasa itu..

Jika masyarakat menjayakan peranan mereka dengan sebaiknya, Encik Iswaran berkata ini dapat menggalakkan persefahaman dan perbincangan antara agama yang sihat di peringkat akar umbi.

"Kita ingat bahawa agama itu pada dasarnya, adalah sebuah kuasa untuk kebaikan yang mendorong kita untuk menjadi individu yang lebih baik. Agama juga menggalak kita menjadi anggota keluarga dan masyarakat yang bertanggungjawab serta penyayang," kata Encik Iswaran. 

- BERITAmediacorp/ru

Top