Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Adakah tradisi beri kad raya sudah pupus?

Jikalau 10 tahun dahulu tradisi kad Hari Raya masih lagi hidup dan diamalkan di Malaysia dan Singapura. 

Anggaran Waktu Membaca:
Adakah tradisi beri kad raya sudah pupus?

Kad Hari Raya masih lagi dijadikan satu tradisi. (Gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 03 Jun 2019 08:25PM Dikemas Kini : 04 Jun 2019 06:40PM

KUALA LUMPUR: Jikalau 10 tahun dahulu tradisi kad Hari Raya masih lagi hidup dan diamalkan di Malaysia dan Singapura.

Namun, keghairahan itu hanya tinggal kenangan malah boleh dianggap sebagai nostalgia sahaja memandangkan ucapan ‘Selamat Hari Raya’ dan ‘Maaf Zahir Batin’ kini sekadar diungkapkan menerusi aplikasi WhatsApp dan Facebook.

MASIH ADA YANG HIDUPKAN NOSTALGIA KAD RAYA

Bagaimanapun, masih terdapat segelintir individu yang berusaha untuk menghidupkan kembali nostalgia kiriman kad raya.

Bagi Ana Asiah Karim, 51 tahun, tradisi yang mampu mengeratkan hubungan sesama insan melalui perutusan kad raya tidak wajar dilupakan walaupun kemajuan teknologi kini telah mengambil alih tugasnya.

“Percayalah, ucapan melalui telefon dan pesanan ringkas sebenarnya tidak dapat menzahirkan keikhlasan dan kemesraan sesama insan seperti mana yang dapat dialami ketika mengutus kad raya,” katanya.

BERPUTIK DARI HOBI

Segala-galanya bermula sejak tiga tahun lepas apabila Ana Asiah sudah tidak lagi bekerja, dan menemui satu kumpulan hobi di laman sosial Facebook yang diberi nama Koleksi Kad dan Sampul Perayaan.

“Masing-masing dalam kumpulan itu berkongsi minat yang sama iaitu mengumpul kad dan sampul duit raya dan ia mendorong saya untuk kembali rancak mengumpul kad raya yang telah ditinggalkan hampir 20 tahun lepas,” katanya.

Ana Asiah berkata beliau akan mula mencari kad raya seawal 1 Ramadan untuk dihantar kepada rakan-rakan sehobi selain jabatan-jabatan kerajaan.

“Ini merupakan tahun pertama saya cuba menghantar kad raya ke jabatan-jabatan kerajaan seperti pejabat perdana menteri, timbalan perdana menteri dan istana di seluruh negara serta Brunei.

“Sehingga kini, saya telah terima balasan kad daripada Sultan Johor serta Raja Perlis dan amat mengujakan apabila mengetahui kerabat diraja turut berkenan mengutus kad raya kepada rakyat jelata, dan uniknya ia disertakan tandatangan sultan berserta potret keluarga,” katanya dalam nada teruja.

BUKAN TIBA SAAT SYAWAL SAJA

Sementara itu, bagi Azizan Ismail, 45, hobi mengumpul kad raya tidak hanya tertumpu ketika menjelang Syawal, tetapi beliau turut mengumpul kad perayaan Deepavali dan Tahun Baharu Cina.

“Bagi saya, budaya mengirim kad raya tidak patut dilenyapkan khususnya dalam kalangan generasi muda kerana dapat dlihat kewujudan teknologi kini sedikit sebanyak telah mendorong mereka untuk bersifat saling tidak ambil peduli dengan orang sekeliling.

“Dalam usaha untuk mengembalikan suasana berkomunikasi secara sihat, saya rasa sepatutnya semua pihak khususnya media perlu mainkan peranan untuk merancakkan semula amalan mengutus kad raya dalam kalangan generasi muda,”, tegasnya.

Sehingga kini, koleksi kad raya yang bertulis dan tidak bertulis dimiliki Azizan sudah hampir mencecah 500 keping.

“Saya pernah menghantar kad raya kepada Yayasan Kepimpinan Perdana dan menerima tandatangan Presiden Tun Dr Mahathir Mohamad suatu masa dahulu, dan itu antara kepuasan yang dimiliki melalui hobi mengumpul kad raya ini,” katanya. 

Sumber : Bernama/ur
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan