Ramadan & Syawal 2019

Images
  • main 1
    Antara peserta yang berkumpul untuk menempuh cabaran #GetFitAndGiveBack pada 12 Mei. (Gambar: BERITAmediacorp)

52 wanita Muslim berpuasa ini lari 2km setiap hari selama 14 hari berturut-turut

BERITAmediacorp: Memang, bersenam ketika berpuasa bukanlah mudah. Ramai yang 'angkat tangan' mengibar bendera putih sebaik sahaja Ramadan bermula.

Namun, sekumpulan wanita Muslim di Singapura menyahut satu cabaran bersenam selama 14 hari berturut-turut, demi menangkis tanggapan bahawa kononnya sukar untuk bersenam dalam keadaan berpuasa.

Apa yang perlu mereka lakukan? Mereka yang mendaftar bagi cabaran di bawah kempen #GetFitAndGiveBack anjuran BiiB (wadah bagi mereka di ASEAN yang gemar berlari), perlu berlari sekurang-kurangnya dua kilometer selama 14 hari berturut-turut pada bulan Ramadan ini.

Jangat ingat kita dah tua, ah tak payah buat ni semua. Kalau kita tak sihat, kita tak boleh nak buat ibadah jugak. - Sumarne Yusof, 60 tahun

Menariknya, bukan empat lima orang sahaja yang menjadi pesertanya. Cabaran ini disertai 52 muslimah kesemuanya.

WANITA AKTIF TAMPIL KETUAI LEBIH 50 PESERTA

Para peserta cabaran ini tidak semuanya yang mempunyai masa lapang. Ada yang bekerja. Ada yang urus perniagaan dari rumah. Ada juga yang baru sahaja selesai mengurus anak dan suami masing-masing, sebelum berkumpul dengan wanita-wanita lain untuk bersenam.

Pastinya tidak mudah untuk mendapatkan penyertaan bagi wanita-wanita yang memikul tanggungjawab masing-masing. Ini diakui sendiri oleh Cik Mudzalifah Anuar. Beliaulah yang tampil untuk mengetuai kumpulan ini, walaupun tidak menerima sebarang bayaran.


Cik Mudzalifah (kanan) bersama salah seorang lagi peserta.

"Banyak cabarannya, terutama sekali kerana bulan Ramadan kita ada fikiran yang 'Bulan Ramadan, penat. Kita akan haus dan kita tak tahan satu hari'. Jadi kita cuba mencari jalan keluarnya. Kalau ingin lari, saya sarankan lari pada waktu pagi atau sebelum berbuka," jelas Cik Mudzalifah.

Kedengaran mudah bukan? Hanya sekadar mengetuai sekumpulan wanita untuk melakukan latihan memanaskan badan setiap kali berkumpul lalu lari bersama-sama mereka.

Hakikatnya, ia tidak mudah. Ia memakan masa dan memerlukan pengorbanan. Cik Mudzalifah mengorbankan waktu lapangnya.

DORONG WANITA LAIN AKTIF BUAHKAN HASIL

Satu ciri unik pada cabaran ini adalah, ia satu 'virtual run' atau cabaran maya. Memandangkan para peserta perlu berlari selama 14 hari berturut-turut, menjadi suatu cabaran bagi para peserta untuk berkumpul setiap hari. Maka itu, mereka hanya berlari secara bersendirian dan prestasi mereka pula dipantau menggunakan aplikasi BiiB.


Di sinilah Cik Mudzalifah memainkan peranan sebagai 'ketua kempen' di Singapura. Ini bermakna setiap hari beliau memantau rekod para peserta cabaran ini. Jika ada yang cuba 'ponteng', beliau akan langsung menghubungi mereka lalu mendorong mereka untuk berlari atau sekurang-kurangnya berjalan pantas sepanjang dua kilometer. Setiap hari.

Titik peluhnya selama itu ternyata tidak sia-sia. Cabaran dua minggu yang bermula 11 Mei itu berlangsung dengan tiada peserta menarik diri separuh jalan, walhal ada pesertanya boleh dikatakan sudah berumur.

Cik Sumarne Yusof misalnya, berusia 60 tahun. Beliau juga yang paling tua dalam kumpulan tersebut.


"Usia tu sebenarnya hanya nombor sahaja. Kalau kita ada keyakinan diri dan mahu buat apa-apa pun boleh. Jangat ingat kita dah tua, ah tak payah buat ni semua. Kalau kita tak sihat, kita tak boleh nak buat ibadah jugak," kongsi Cik Sumarne.

PANDANGAN DOKTOR TENTANG BERLARI PADA BULAN PUASA

Apa pula kata doktor mengenai kegiatan yang dilakukan wanita-wanita itu dalam keadaan berpuasa? Sebenarnya patut dilakukan atau tidak?

"Seseorang itu masih boleh bersenam apabila berpuasa tetapi harus mengambil langkah berhati-hati untuk mengurangkan masalah kekurangan cecair badan atau dehidrasi. Bersenam dalam Ramadan, memerlukan sedikit perancangan dan juga penyesuaian," jawab doktor perubatan dan aktivis senaman, Dr Elly Sabrina Ismail kepada BERITAmediacorp.


Misalnya, tambah Dr Elly, seseorang yang hanya ingin mula bersenam pada bulan Ramadan, tidak boleh langsung mula melakukan kegiatan-kegiatan lasak. Semua perlu dilakukan secara bertahap-tahap.

Mengulas tentang tanggapan bahawa seseorang cepat berasa lapar jika memerah keringat semasa berpuasa, Dr Elly juga menjelaskan bahawa itu sebenarnya satu tanggapan yang salah.

"Zaman datuk nenek moyang kita dulu, ingin masak sahaja mereka perlu lakukan banyak perkara. Perlu ambil air dari perigi, perlu memburu, masuk ke hutan untuk mencari buah, mencantas pokok. Itu semua bukan mudah. Jadi kalau kita berpuasa dan sekadar berjalan dari rumah ke masjid, misalnya, ia bukanlah satu masalah," jelas Dr Elly.


Malah, dengan gaya hidup yang aktif di samping menjaga pemakanan pada bulan suci ini, orang ramai boleh mengurangkan berat badan.

Namun demikian, Dr Elly mengingatkan anda yang mengalami penyakit kronik supaya terdahulu mendapatkan nasihat doktor sebelum menetapkan cara melakukan sebarang senaman secara rutin.

DAPAT SIHAT, DAPAT JUGA BERAMAL

Bagi para peserta kempen #GetFitAndGiveBack itu, mereka bukan sekadar ingin memulakan gaya hidup sihat, mereka yang mendaftar juga beramal sebenarnya.


(Gambar: @getbiib/Instagram)

90% wang pendaftaran peserta yang berjaya menyelesaikan cabaran tersebut akan disalurkan kepada rumah anak yatim di Singapura.

Kos bagi cabaran ini juga murah - hanya sekitar S$8 - tidak seperti yuran maraton-maraton lain yang boleh menjangkau dari S$25 hingga ratusan dolar.

Memandangkan kini ada 52 peserta keseluruhannya bagi cabaran #GetFitAndGiveBack yang terus bertahan... Ini bermakna, sekiranya semua peserta berjaya mengatasi cabaran BiiB sehingga 24 Mei, mereka sekaligus dapat menderma hampir S$400! 

- BERITAmediacorp/aq

Top