Skip to main content

Iklan

Iklan

500 tetamu hadir rumah terbuka Dr Maliki termasuk pemimpin dalam dan luar negara

Sudah hampir dua minggu di bulan Syawal tetapi sambutan Lebaran tetap rancak lebih-lebih lagi dengan undangan rumah terbuka. 

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Sudah hampir dua minggu di bulan Syawal tetapi sambutan Lebaran tetap rancak lebih-lebih lagi dengan undangan rumah terbuka.

Antara yang membuka rumah mereka hari ini (16 Jun) ialah Menteri Negara Kanan Ehwal Luar merangkap Pertahanan Dr Mohamad Maliki Osman dan isteri.

Sekitar 500 tetamu hadir termasuk para pemimpin dalam dan luar negara.

Dr Maliki berkata rumah terbukanya ibarat 'diplomasi Raya' kerana ia dihadiri sekitar 30 diplomat dari pelbagai negara.

"Saya menerima kunjungan daripada rakan-rakan dari Malaysia, Brunei, Indonesia. Menunjukkan tali silaturahmi yang amat erat sekali.

"Kita boleh menggunakan perayaan seperti Hari Raya sebagai satu wadah untuk kita terus mengeratkan hubungan antara Singapura dan negara-negara jiran kita," tambah Dr Maliki.

Para tetamu yang ditemui BERITAmediacorp cukup berbesar hati memenuhi undangan Dr Maliki kerana melihat majlis keramaian tidak rasmi seperti ini juga penting untuk memperkukuhkan hubungan antara negara, lebih-lebih lagi dalam suasana perayaan.

"Ini sebagai salah satu usaha “defence-diplomacy” saya anggap dan saya ucapkan terima kasih kepada Dr Maliki. Memang ini satu upacara yang mengeratkan hubungan dan satu upacara di mana kita boleh kenal-mengenali antara satu-sama lain," kata Timbalan Menteri Pertahanan Malaysia, Encik Liew Chin Tong.

Duta Besar Jerman, Dr Ulrich Sante turut melahirkan rasa kagum terhadap cara Dr Maliki menjaga hubungan antara kaum.

"Saya sangat kagum melihat bagaimana Dr Maliki menjaga hubungan dengan membawa kumpulan berbagai agama dan etnik bersama. Beliau sudah lama berusaha membina ikatan persahabatan dan jalinan. Saya berbesar hati diundang dan kami banyak belajar darinya," kata Dr Ulrich Sante.

Jika lazimnya acara besar-besaran begini diadakan di hotel atau dewan serbaguna, Dr Maliki dan keluarga tetap mahu merasakan kehangatan dan kemesraan menyambut tetamu di teratak mereka sendiri sewaktu Lebaran.

"Rumah kami bukanlah besar sangat tetapi dengan ihsan dan perhubungan yang erat dengan jiran tetangga. Kami melihat jiran-jiran kami yang datang daripada kaum Tionghua yang membuka rumah mereka juga," ujar Dr Maliki.

"Bila Tahun Baru Cina, sama juga mereka akan buat khemah dan kita juga mahukan ia sampai ke rumah kita," kata Cik Sadiah Shahal, isteri Dr Maliki.

Dr Maliki dan isteri memang bertuah kerana dengan semangat kampung dan gotong-royong, anggota keluarga dan juga jiran tetangga menyingsing lengan membantu menjayakan majlis hari ini.

Enam buah rumah dibuka sekaligus untuk menjamu dan menerima kunjungan kira-kira 500 tetamu. Pengawal trafik dan tempat kosong untuk meletak kereta juga disediakan bagi memastikan acara seumpama ini tidak mengganggu para penduduk di kawasan ini, malah diraikan bersama tidak kira kaum ataupun agama.

Para tetamu dan Dr Maliki juga mendapat kejutan manis bila beliau diraikan dengan belon dan kek khas sempena Hari Bapa.  

Sumber : BERITA Mediacorp/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan