Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

40 belia singsing lengan serlahkan rahmah Ramadan, kebaikan Hari Vesak

40 belia berbilang kaum dan agama beramai-ramai menyiapkan bubur Ramadan di Masjid Khalid.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Meraikan semangat kebaikan Hari Vesak dan meraikan semangat rahmah Ramadan - secara serentak.

Itulah yang dilakukan sekitar 40 belia berbilang kaum dan agama apabila Ramadan bertemu Hari Vesak hari ini (19 Mei).

Mereka beramai-ramai menyiapkan bubur Ramadan di Masjid Khalid, menghadiri sambutan Hari Vesak serta menjamu 100 warga tua dengan bubur yang disiapkan.

BERITAmediacorp juga turun padang menjenguk daya usaha silang agama unik itu, yang 100 peratus Singapura.

(Gambar-gambar: BERITAmediacorp/Nurulkhasanah Agost)

BERMULA DI MASJID KHALID

Seawal 10.00 pagi lagi belia-belia pelbagai kaum dan agama itu sudah berada di Masjid Khalid, yang terletak di Joo Chiat Road.

Mereka, yang disertai Menteri Negara Kanan Pertahanan merangkap Ehwal Luar, Dr Mohamad Maliki Osman dan keluarganya, berganding bahu menyiapkan dan membungkus bubur.

Inisiatif itu dijalankan sebagai usaha untuk berbakti sempena Hari Vesak dan Ramadan.

"Saya rasa kepentingannya adalah menunjukkan bahawa banyak persamaan di antara nilai-nilai yang ditonjolkan oleh agama-agama yang berlainan.

"Kali ini Ramadan kita tahu adalah di mana kita digalakkan untuk beribadah dan juga membantu mereka yang susah membuat kerja-kerja amal. Itu juga yang digalakkan oleh agama Buddha," Dr Maliki, yang juga Datuk Bandar CDC Tenggara, memberitahu BERITAmediacorp.

(Gambar-gambar: BERITAmediacorp/Nurulkhasanah Agost)

SIMBOL AMALAN BAIK ISLAM, BUDDHA

Inisiatif yang dianjurkan oleh relawan belia CDC Tenggara dari Belia Duta Keharmonian Kaum (RHYA), Rangkaian Belia Buddha (BYN) dan beberapa kumpulan belia lain itu adalah sebahagian daripada siri 'Celebrating Our Festivals' - platform untuk rakyat Singapura berlainan kaum dan agama bersama-sama meraikan perayaan utama agama lain.

Dengan kerjasama Masjid Khalid, mereka menyediakan enam periuk besar bubur termasuk satu periuk bubur 'vegetarian' khas buat 100 warga tua beragama Buddha di rumah jagaan Thong Teck Hong.

(Gambar-gambar: BERITAmediacorp/Nurulkhasanah Agost)

Bubur-bubur yang dikongsi dengan para penghuni rumah jagaan itu menjadi simbol kepada amalan-amalan baik yang diajarkan oleh agama Islam dan juga agama Buddha.

"Ia adalah semangat menyumbang kembali. Awal tadi kami agihkan bubur di masjid dan sekarang kami membantu warga tua dengan membawa merreka keluar. Bersama-sama, kedua-dua agama ini menyatukan masyarakat," kata salah seorang sukarelawan, Lim Yong Zheng.

Bagi seorang lagi sukarelawan, Nur Zakiah Rashid, pengalaman yang dilaluinya hari ini amat berharga.

"Sebelum ini saya pun tak tahu sangat pasal perayaan ini. Kita dapat mempelajari tentang perayaan lain, jadi kita lagi berharmoni. Jadi saya tadi pun dapat berbual dengan orang yang bukan sama agama dengan saya.

"Jadi mereka ceritakan saya tentang Hari Vesak, saya pun ceritakan mereka tentang Ramadan," beliau memberitahu BERITAmediacorp.

Para relawan belia itu turut membantu membawa sebahagian warga tua dari rumah jagaan yang sama untuk bersembahyang di acara sambutan Hari Vesak di Pusat Buddha Amitabha.

(Gambar-gambar: BERITAmediacorp/Nurulkhasanah Agost)

PUPUK PERSEFAHAMAN, BINA KEHARMONIAN

Di sana, mereka dan Dr Maliki juga diberi penerangan tentang keistimewaan Hari Vesak serta kegiatan-kegiatan yang dijalankan semasa meraikannya.

Usaha seumpama itu juga dilihat sebagai peluang untuk para belia saling mengenali nilai-nilai murni serupa yang diajarkan agama Islam dan agama Buddha.

(Gambar-gambar: BERITAmediacorp/Nurulkhasanah Agost)

Ini sekali gus membantu mereka memupuk persefahaman demi memelihara keharmonian kaum dan agama yang dinikmati Singapura selama ini.

"Dengan persefahaman yang lebih mendalam saya harap jika terdapat situasi di mana ada keadaan yang lebih tegang, lebih menggugat keharmonian kaum ini, mereka juga akan dapat berpegang tangan, berganding bahu untuk mengatakan bahawa Singapura adalah negara yang menolak segala kefahaman yang agak ekstrim," ujar Dr Maliki lagi. 

Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan