Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

4 bazar Ramadan lain wajar anda kunjungi selain Geylang Serai

Jika anda tidak mempunyai ketabahan untuk meredah lautan beribu-ribu manusia dan menahan rasa bahang di Bazar Geylang Serai, yang sudahpun mula beroperasi sejak 3 Mei lalu, jangan gusar!

Anggaran Waktu Membaca:
4 bazar Ramadan lain wajar anda kunjungi selain Geylang Serai

Bazar Geylang Serai (Gambar fail: Izzah Imran/BERITAmediacorp)

Diterbitkan : 09 May 2019 10:28PM Dikemas Kini : 09 May 2019 11:18PM

SINGAPURA: Jika anda tidak mempunyai ketabahan untuk meredah lautan beribu-ribu manusia dan menahan rasa bahang di Bazar Geylang Serai, yang sudahpun mula beroperasi sejak 3 Mei lalu, jangan gusar!

Masih ada peluang untuk anda mencuci mata dan selera, di samping membeli-belah dan memenuhi keinginan tekak sempena bulan puasa ini, di beberapa lagi bazar merata negara dalam suasana yang berbeza sedikit.

Laporan berikut menyajikan empat lokasi lain yang wajar anda kunjungi di Singapura sepanjang Ramadan ini.

1. CELEBFEST RAMADAN 2019 - Pusat Konvensyen Suntec

DIBUKA: 17 MEI

Teringin bersua empat mata dengan selebriti-selebriti pujaan anda sambil membeli-belah barangan buatan tempatan dan dari seberang tambak?

CelebFest jawapannya!

Bertemakan 'Rentak Raya', para pengunjung ke bazar ini akan dapat menikmati persembahan muzikal daripada barisan artis setempat dan Malaysia seperti Nurul Aini, Siti Nordiana, Andi Bernadee, Sufian Suhaimi, Fieya Julia serta Luqman Faiz.

Edisi keempat CelebFest, yang bakal berlangsung dari 17 hingga 19 Mei, adalah yang terbesar meliputi tiga dewan pameran (Dewan 401, 402 dan 403) berbanding dua dewan sebelum ini dan tahun ini ia menghimpunkan lebih 70 selebriti.

(Gambar: Street Submarine)

(Gambar: Street Submarine)

Dengan CelebFest Ramadan 'upsized' itu, anda boleh berbelanja dengan pilihan pegerai dan pembekal yang lebih luas. Jenama-jenama tempatan popular seperti InLovebyTNS, Katt Ibrahim, Maison Q dan Grey by OrtenHill menanti anda di sana.

Minuman khas Boo:Eh, bir mentega tanpa alkohol. (Gambar: Boo:Eh)

(Gambar: Boo:Eh)

Pilihan makanan yang ditawarkan Street Submarine, Boo:Eh dan Naughty Boyz, antara lain, pasti membuka selera anda.

2. LALOOLALANG, Taman Warisan Melayu

DIBUKA: 16 Mei

Jika anda mencari pilihan makanan dan runcit yang lebih khusus dan terpilih, ayuh datang beramai-ramai ke bazar hujung minggu Laloolalang dari 16 hingga 19 Mei ini.

(Gambar: LaLooLalang Bazaar)

(Gambar: LaLooLalang Bazaar)

Dengan membawakan tema 'Pop Yeh Yeh', acara empat hari itu akan memutarkan lagu-lagu era tersebut dari tahun 1960-an untuk menghidupkan semula semangat kampung penuh nostalgia sambil anda meninjau-ninjau lebih 100 kedai dan gerai yang disediakan.

Seperti tahun-tahun sebelumnya, barisan gerai popular yang menghidangkan makanan jalanan serta tradisional akan mengambil bahagian seperti Yummy Takoyaki, The Katoshka, SatayBoy, GomGomSG dan The Original Pisang Keju.

(Gambar: The Katoshka)

(Gambar: The Katoshka)

Lebih menarik lagi, penyanyi Singapura Huda Ramzan dan kugiran rock-and-roll tanah air The Pinholes akan membuat persembahan istimewa. Bahkan, ikon Pop Yeh Yeh Dato Jeffrydin juga bakal membuat penampilan khas.

3. MEGA RAYA EXPO 2019, Singapore Expo

DIBUKA: 23 Mei

Bakal diadakan dari 23 hingga 26 Mei ini, acara empat hari tersebut akan menyaksikan lebih 100 gerai dan pembekal menjaja sajian dan minuman tradisional serta kontemporari selain busana Hari Raya.

Edisi tahun ini juga akan menyaksikan barisan artis tersohor Singapura dan Malaysia 'melelongkan' produk-produk mereka sendiri di astaka CeleBrands. Mereka termasuk Alyah, Azza Elite, Rozita Che Wan, Marsha Milan dan Jasmine Ashraf.

Jadi jangan terlepas peluang untuk beramah mesra dan berswafoto dengan selebriti favorit anda!

4. THE GRAND SOUQ, Singapore Expo

DIBUKA: 31 Mei

Mungkin inilah peluang terakhir anda - khususnya para penduduk sebelah timur Singapura - untuk membuat pembelian saat-saat akhir menjelang Syawal.

Dikenali sebagai The Grand Bazaar sebelum ini, acara runcit empat hari The Grand Souq akan berlangsung sepanjang hujung minggu terakhir Ramadan dari 31 Mei hingga 2 Jun di Dewan 6B.

(Gambar: The Grand Souq)

(Gambar: The Grand Souq)

Hampir 300 gerai tersedia untuk anda 'memborong' barang keperluan raya pada saat-saat akhir.

Para pengunjung juga boleh menjangkakan persembahan-persembahan daripada barisan penyanyi terkenal termasuk kumpulan nasyid Hijjaz, kumpulan Caliph Buskers serta penyanyi Malaysia Mawi. 

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan