Ramadan & Syawal 2019

Images
  • Pesta Raya Ubin (1)
    (Gambar-gambar: BERITAmediacorp/Nurulkhasanah Agost)

350 bekas penduduk naik bot, 'balik kampung' sambut Hari Raya di Pulau Ubin

BERITAmediacorp: Buat pertama kalinya, satu perjumpaan Hari Raya besar-besaran dianjurkan buat ratusan penduduk dan bekas penduduk Pulau Ubin.

Seramai 350 orang 'Balik Kampung' ke pulau di timur Singapura itu bagi menyahut Pesta Raya@Ubin, sekali gus menjalin semula ikatan 'orang Ubin' yang sudah puluhan tahun 'terputus'.

BERITAmediacorp diundang secara eksklusif menyertai inisiatif kendalian Kawan Ubin dan Lembaga Taman Negara (Nparks) itu yang berlangsung semalam (16 Jun) untuk menyaksikan sendiri warna-warni dan keunikan acara tersebut.


20 HINGGA 40 TAHUN TAK BERSUA

Tempat jatuh lagi dikenang, inikan pula tempat bermain. Bagi sebahagian penduduk Pulau Ubin, tanah itulah sebenar-benarnya tanah tumpah darah mereka kerana dilahirkan di situ.

Yang pasti, rindu ratusan 'orang Ubin' terubat rasanya, setelah mereka menyeberang lautan dan beramai-ramai balik kampung menyambut Hari Raya di sana - kampung asli terakhir Singapura yang masih lagi wujud.


Jelas terpancar keceriaan pada riak wajah mereka apabila bertemu kembali dengan jiran setaman, jiran sekampung dan jiran sepulau, yang sudah 20 hingga 40 tahun tidak bersua dapat disambung kembali.

Bayangkan, berapa puluh kali mereka bersalaman, berpelukan dan mungkin juga menitiskan air mata di tengah-tengah tawa kegembiraan dan digamit kenangan silam dan nostalgia di dalam suasana kampung.

Itulah senario yang berulang-ulang dapat disaksikan selama empat hingga lima jam semasa perjumpaan itu berlangsung.


GEMBIRA HINGGA SAKIT KAKI PUN TAK TERASA

Menurut seorang bekas penduduk, Encik Abdul Malik Salleh, perjumpaan ini adalah peluang untuk beliau dan rakan-rakan penduduk lain saling mengimbau kenangan lama.

"Dulu waktu saya zaman remaja saya pernah adakan juga perjumpaan Hari Raya. Itu jam kalau tak salah saya tahun 1977. Jadi bila diadakan kembali kita rasa macam mengingatkan kembali kenangan lama," kata Encik Malik, 64 tahun, yang kini menetap di Bedok North.


Bagi Cik Noorazizah Noordin pula, kegembiraan yang dirasakannya sukar hendak digambarkan menerusi kata-kata, lebih-lebih lagi bila dapat bertemu rakan-rakan dan guru-guru dari Sekolah Melayu Pulau Ubin - sekolah yang kini tinggal kenangan sahaja.

Bagi Cik Noorazizah, begitu ghairahnya beliau untuk menyertai perjumpaan Hari Raya itu sehingga sakit pada kakinya, akibat cedera dalam satu kemalangan kecil, langsung tidak terasa dek bahagia di hatinya itu.


Sebaik melihat kelibat salah seorang guru yang sudah hampir 30 tahun tidak berjumpa, kedengaran suara girang Cik Noorazizah menyapanya jauh - "Cikgu! Cikgu saya!"

"Cikgu yang dah berapa puluh tahun tak jumpa, hari ini baru jumpa. Cikgu itu cikgu bahasa Inggeris lah. Hari ini jumpa cikgu, jumpa ramailah yang mungkin 10, 20 tahun tak jumpa. Hari ini baru jumpa. Teramat gembiralah!" cerita Cik Noorazizah kepada BERITAmediacorp dengan senyum lebar.


SAMBUTAN LAIN DARIPADA BIASA

Sambil-sambil beramah mesra, para penduduk dihiburkan dengan pelbagai persembahan termasuk tarian Melayu, pertunjukan kompang dan dikir barat.

Permainan tradisional juga disediakan di kawasan Kampong Sungei Durian itu, termasuk batu serembat, congkak dan sepak takraw.


Malah, kebanyakan penduduk turut membawa sekali anak dan cucu untuk membolehkan mereka merasai kemeriahan Hari Raya seisi kampung ini.

Riuh-rendah gelak tawa kanak-kanak, deruman enjin motor anak muda yang segak menggayakan tanjak manakala si gadis ayu berkain batik, cukup menggambarkan betapa meriahnya suasana berhari raya di kampung.


Begitulah juga perasaan anak kepada salah seorang bekas penduduk Pulau Ubin, Luqman Selamat.

Walaupun setiap tahun keluarga enam generasinya berhimpun meraikan syawal di Kampong Sungei Durian, ini kali pertama beliau menyaksikan sambutan lain daripada biasa.

"Kalau di bandar sekarang kita tergesa-gesa nak kejarkan masa, nak kena kejarkan satu tempat ke satu tempat, Kadang-kadang... (tuan rumah) tak ada di rumah. Jadi kadang-kadang kita tak dapat jumpa mereka. Kalau di sini kita boleh satu kali jumpa," kata anak muda berusia 30 tahun itu.


Seorang lagi 'keturunan Ubin' berusia 37 tahun, Noor Hisam Rahmat, meski dilahirkan di Tanah Besar Singapura beliau membesar antara lima dengan enam tahun di kampung bapanya di Pulau Ubin.

Lantaran itu, beliau berasa amat berbesar hati untuk memeriahkan perjumpaan Hari Raya di kampung dan berkongsi keseronokannya bersama isteri tercinta.

"Saya dibesarkan di sini, daripada kecil sampai ke dewasa. Jadi ini sungguh istimewa bagi saya sebab dapat bawa orang rumah saya datang. Dapat tengok saudara mara saya semua yang lain-lain, yang dah lama kita tak jumpa dan penduduk-penduduk kampung," cerita Encik Noor Hisam kepada BERITAmediacorp.


KAMPUNG KITA, JUGA IDENTITI NEGARA KITA

Acara Pesta Raya@Ubin itu merupakan edisi kedua daripada inisiatif 'Balik Kampung' kendalian Kawan Ubin dan Nparks.


Acara itu juga dibuka bukan sahaja kepada penduduk Melayu/Islam. Bahkan, rakan-rakan penduduk bukan Melayu juga dipelawa sama-sama menyerikan lagi majlis.

"Alhamdulillah, apabila kita menjemput kepada semua, memang mereka (penduduk) melahirkan betul-betul banyak kebahagiaan, keceriaan.

"Saya berharaplah menerusi acara ini bahawa kampung-kampung kita di Singapura juga mempunyai perspektif ataupun nilai yang penting untuk kita jadikan sebagai satu identiti negara kita juga," kongsi Encik Nor Syazwan, anggota Rangkaian Kawan Ubin (FUN) yang menerajui Pesta Raya@Ubin.


Jika Geylang Serai ada penyalaan lampu Hari Raya, majlis di Pulau Ubin itu juga ada 'penyalaan' lampu Hari Rayanya yang tersendiri. Ia ringkas tetapi simbolik. Lampu-lampu bal kuning itu dihidupkan sekitar waktu maghrib, menambah lagi suasana nostalgia kampung.

Malah selepas mentari terbenam, 'lampu' gergasi di langit, iaitu sinaran bulan yang mengambang hampir penuh, menerangi majlis mereka itu sambil mereka bersila di bumi Ubin.


"Bagus! Meriah sekali tengok. Terima kasihlah kepada yang sudi bikin acara ini untuk bekas penduduk Pulau Ubin. Dah lama tak rasa suasana kampung di waktu Hari Raya kan. Jadi waktu inilah kita rasa suasana kampung dia. Sungguh meriah sekali lah," menurut seorang bekas penduduk, Encik Dzuraimy Mohamed Naim, 50 tahun.


Pastinya, perjumpaan Hari Raya itu semacam kenangan mengusik jiwa buat semua penduduk Pulau Ubin.

Mungkin, selagi acara seperti ini dibuat di Pulau Ubin, selagi itu jugalah kenangan dan cerita-cerita Pulau Ubin akan terus hidup di kalangan 'orang Ubin' dan rakyat Singapura lainnya.

- BERITAmediacorp/nk

Top