Ramadan 2019

Images
  • bazar geylang
    2 gerai di bazar Geylang Serai 2019 digantung kerana langgar peraturan.

2 gerai di bazar Geylang Serai digantung kerana langgar peraturan

SINGAPURA: Operasi dua buah gerai di Bazar Hari Raya di Wisma Geylang Serai (WGS) digantung hanya beberapa hari selepas bazar itu dibuka kepada orang ramai.

Ini selepas kedua-dua gerai itu didapati melanggar peraturan berhubung persiapan, penyediaan dan penjualan makanan di bazar berkenaan.

Kedua-dua gerai itu, yang menjual makanan, diarah tutup selama tiga hari.

Menurut pihak WGS, gerai-gerai itu bagaimanapun sudah dibenarkan dibuka semula selepas kesilapan-kesilapan yang dilakukan, diperbetul.


"Dua kejadian itu satu mengenai sekitaran yang kotor dan juga mengenai pekerja yang tidak mempunyai sijil kebersihan dalam penyediaan makanan. Jadi kita telah memastikan yang keadaan ini harus ditangani," dedah Encik Osman Arifin, konsultan kepada syarikat Orange Travel Pte Ltd, yang menjadi antara pemenang tender pengendalian bazar Geylang Serai tahun ini.

"Wisma Geylang Serai juga mempunyai pasukan yang tiap-tiap malam meronda dan memastikan keadaan–keadaan kedai bersih."

LANGKAH JUGA DIAMBIL KAWAL PENGEMIS MUSIMAN

Selain daripada itu, pihak pengurusan bazar juga mengerahkan lebih ramai pegawai keselamatan untuk mengawal keadaan lalu lintas dan melakukan rondaan keselamatan.


Rondaan yang dilakukan secara kerap juga membantu membanteras kegiatan pengemis musiman yang biasanya dilihat berkeliaran dalam kawasan bazar di sepanjang bulan ramadan.

Semua itu selaras dengan jaminan yang dikeluarkan pihak Wisma Geylang Serai kepada masyarakat Melayu/Islam untuk Bazar Hari Raya kendalian tahun ini.

Iaitu, mahu menawarkan pengalaman membeli belah yang bukan sahaja selesa tetapi juga bersih dan selamat, malah juga 100% halal.

Demi memenuhi jaminan halal yang ditetapkan itu jugalah, semua penjual makanan, baik yang Islam dan bukan Islam, perlu mendapatkan sijil pengesahan halal bagi semua bahan-bahan yang digunakan.

Lantaran itu, pihak WGS menyatakan, ia bekerja rapat dengan dua pengendali bazarnya, iaitu Orange Travel dan Enniche-Corpbiz, dalam usaha memastikan segala operasi berjalan dengan lancar.

"Kami bekerjasama dengan pihak polis dan Agensi Sekitaran, Kementerian Tenaga Manusia dan sebagainya untuk memastikan bazar berjalan dengan lancar. Dan kami juga untuk tahun ini telah menambah perkhidmatan untuk memastikan mutu bazar dari segi kebersihan, kesahihan halal dan sebagainya," kata Penolong Pengarah, Program Bersepadu dan Hubungan Pelanggan WGS, Encik Muhammad Yunus Haroon.

Demi mengotakan janji dan piawai seperti itu jugalah, dua gerai makanan digantung operasinya minggu lalu kerana melanggar peraturan, sekali gus menghantar mesej tegas kepada para pegerai lain. 

- BERITAmediacorp/fz

Top