Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

15 tahun Ketuk-Ketuk Ramadan Sheila Rusly langsung tidak guna skrip

“Singapura rumah kedua saya. Peminat Singapura ikhlas menerima saya dalam industri ini dan mereka tidak pernah berhenti memberikan sokongan," kata Sheila Rusly.

Anggaran Waktu Membaca:
15 tahun Ketuk-Ketuk Ramadan Sheila Rusly langsung tidak guna skrip

Sheila Rusly. (Gambar: Sheila Rusly)

BERITAmediacorp: “Ketuk ketuk……..RAMADAN!”

Setiap kali ungkapan itu dilantunkan oleh pelakon, penerbit dan pengacara dari Malaysia, Sheila Rusly, para penonton pasti menyambutnya dengan penuh bersemangat.

Ungkapan popular itulah yang ditunggu-tunggu oleh para peminat - bukan hanya di Malaysia malah di Singapura juga setiap kali tiba bulan Ramadan. Namun, tahun ini adalah kali terakhir anda akan mendengarnya.

Diam tak diam sudah 15 tahun rancangan itu bersiaran. Semasa Sheila Rusly dan kru produksi beliau berada di Singapura pada hujung bulan Mac lalu bagi menjalankan rakaman ‘finale’ rancangan masakan kegemaran ramai itu, BERITAmediacorp berpeluang untuk menyelami isi hati Sheila dan mencari tahu mengapa beliau memutuskan untuk melabuhkan tirai ‘Ketuk Ketuk Ramadan dan Syawal’.

Sheila Rusly. (Gambar-gambar: Sheila Rusly)

S’PURA RUMAH KEDUA

Seperti lazimnya, penggambaran episod terakhir Ketuk-Ketuk Ramadan, iaitu Ketuk-Ketuk Syawal dilakukan di luar Malaysia, seperti di London, Australia dan Jepun. Tahun ini, Sheila memilih Singapura sebagai lokasi penggambaran akhir rancangan yang dimulakan sejak tahun 2003 itu.

“Singapura rumah kedua saya. Peminat Singapura ikhlas menerima saya dalam industri ini dan mereka tidak pernah berhenti memberikan sokongan, bukan setakat Ketuk Ketuk Ramadan tetapi juga drama-drama saya. Jadi (kali ini) saya mahu menunjukkan penghargaan saya kepada mereka,” kata Sheila, 48 tahun.

Sheila Rusly. (Gambar-gambar: Sheila Rusly)

Penggambaran Ketuk Ketuk Syawal di Singapura dijalankan di dua lokasi berbeza, iaitu di The Dim Sum Place dan Home of Seafood, dengan konsep rumah terbuka. Para peminat yang hadir dapat melihat bagaimana rakaman rancangan kegemaran mereka dilakukan dan berpeluang berinteraksi secara dekat, bukan sahaja dengan Sheila bahkan dengan anak-anaknya serta kakitangan syarikat produksinya - JS Pictures.

“SAYA NANGIS...RASA MASIH DIPERLUKAN” - SHEILA RUSLY

Meskipun berasa sedih, Sheila memberitahu BERITAmediacorp bahawa “sudah tiba masanya” untuk beliau menghentikan rancangan yang sudah mencecah 15 musim itu.

Sheila Rusly. (Gambar-gambar: Sheila Rusly)

“Mestilah (sedih)! Ia (Ketuk Ketuk Ramadan) ibarat bayi saya. Tapi...tak mengapalah. Saya menangis semasa saya menjalankan rakaman episod terakhir Ketuk Ketuk Ramadan di Johor Baru. Saya nangis.

“Semasa saya di Sabah pula, tengok sambutan yang begitu luar biasa. Bila saya cakap ‘Ketuk Ketuk…’ orang sambut ‘Ramadan’ macam bergema. Saya rasa seperti saya masih diperlukan tapi kalau saya tidak berhenti bila lagi?” kata Sheila.

Sheila Rusly. (Gambar-gambar: Sheila Rusly)

Kali pertama pengumuman tentang musim terakhir Ketuk Ketuk Ramadan itu dibuat oleh suaminya yang dikenali sebagai, Jinggo, di laman Instagram pada awal bulan Mac. Rata-rata peminat terkejut dan menyifatkan bulan Ramadan mereka pasti kurang meriah dan berseri jika tiada lagi rancangan Ketuk Ketuk Ramadan.

Pada 2003, rancangan itu awalnya dikenali sebagai Citarasa Selebriti, di mana Sheila sebagai hos pergi ‘mengetuk’ pintu rumah selebriti dan mengajak mereka memasak. Atas permintaan stesen penyiaran (RTM 1), rancangan itu kemudian diubah jenamanya kepada Ketuk-Ketuk Ramadan dan berjaya terus menambat hati peminat sehingga hari ini.

LANGSUNG TIADA SKRIP, SANTAI SAHAJA

Jadi, apakah ‘rahsia’ kejayaan rancangan masakan itu sehingga dapat bertahan bertahun-tahun lamanya?

Menurut Sheila, konsepnya yang santai membuatkan penonton terhibur. Malah, percaya atau tidak, beliau langsung tidak menggunakan sebarang skrip.

“Saya tidak ada skrip. 15 tahun saya buat rancangan ini, saya tidak pernah ada skrip. Itu keunikannya. Saya juga rasa penonton suka kerana rancangan ini sangat ‘real’. Orang tak suka benda yang dibuat-buat. Orang suka bila kita cuba jadi diri sendiri. Jadi saya rasa penonton dapat rasa keikhlasan itu,” ujar beliau.

Sheila Rusly. (Gambar-gambar: Sheila Rusly)

Sepanjang penggambaran di Singapura dijalankan, BERITAmediacorp berpeluang menyaksikan sendiri bagaimana Sheila dan dua rakan pengacaranya - pelawak tempatan Suhaimi Yusof dan pelawak Malaysia Shahrol Shiro - begitu bersahaja berbual dan berseloroh tanpa skrip.

Ternyata Sheila bijak mewujudkan keserasian antara dirinya dengan rakan artis dan para peminat, sehingga rakaman selama empat jam itu langsung tidak terasa lama.

KELUARGA, SAHABAT, PEMINAT PEMANKIN SEMANGAT SHEILA

Sekalipun begitu, di sebalik setiap kejayaan pasti ada pelbagai cabaran dan dugaan yang perlu dilalui.

“Saya rasa ramai yang tidak tahu, bukan senang nak jadikan Ketuk Ketuk Ramadan dan ketuk Ketuk Syawal ini sampai 15 tahun. Bukan mudah. Banyaknyaaa rintangan, banyaknyaaa dugaan," luah Sheila secara memanjang lagi bersungguh-sungguh pada perkataan ‘banyak’ itu.

Beliau menambah: “Saya stres teruk kerana kita bekerja dengan manusia bukan dengan mesin. Jadi kesilapan manusia ada di mana-mana. Kadang-kadang nak tangani masalah ambil masa. Benda-benda macam itulah yang kadang-kadang buat saya rasa sedih, macam penat, membuatkan saya rasa ‘cukuplah’.”

Sheila Rusly. (Gambar: Sheila Rusly)

Namun, Sheila tidak mudah berputus asa kerana keluarga, sabahat-sabahat baik dan para peminatnya menjadi pemangkin semangat beliau untuk terus memberikan yang terbaik.

“Saya tidak mengalah. Saya sentiasa percaya ada hikmah. Saya sentiasa percaya Allah mahu berikan saya sesuatu yang lebih baik. Setiap dugaan itu saya anggap ia datang bersebab untuk menjadikan saya lebih matang untuk menangani masalah-masalah lain yang datang,” kata Sheila kepada BERITAmediacorp.

BUKU ISTIMEWA KOLEKSI RESEPI KETUK KETUK RAMADAN

Selepas 15 musim, para peminat pasti akan merindui keletah Sheila mengusik rakan artis dalam rancangan Ketuk-Ketuk Ramadan dan Syawal. Ditanya sama ada terdapat kemungkinan untuk beliau menerbitkan lagi rancangan itu pada masa akan datang, ini jawapan beliau:

“Kalau peminat rindu, mungkin. Saya tidak tahu, mungkin saya akan buat episod khas ke...saya betul-betul tidak tahu. Saya tiada perancangan buat masa ini. Kita tengok macam mana. Tapi untuk sekarang, ini memang musim terakhir.

“Tumpuan saya sekarang adalah terus menerbitkan drama dan program-program lain. Insya Allah kalau diberikan ilmu yang bermanfaat, saya akan cuba memikirkannya dan menghasilkan sesuatu yang berbeza bagi penonton-penonton di Malaysia, di Singapura atau di mana-mana saja,” jelas Sheila.

Sebagai tanda kasih sayang beliau kepada semua peminatnya, Sheila tidak berundur daripada rancangan itu begitu sahaja. Beliau menerbitkan sebuah buku koleksi 15 tahun resepi Ketuk Ketuk Ramadan bertajuk Sentuhan Rasa Sheila Rusly. Buku itu dijadual berada di pasaran pada bulan Mei ini - sempena bulan puasa. 

Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan