Ramadan & Syawal 2019

Images
  • pertapis raya
    (Gambar: Mediacorp)

15 relawan senja kongsi ceria Aidilfitri bersama warga tua Pertapis, penerima bantuan 4PM

SINGAPURA: 15 relawan pelbagai kaum dan agama berkongsi sinaran Aidilfitri bersama 30 warga tua PERTAPIS dan penerima bantuan 4PM, dalam satu majlis sambutan 'mini' Hari Raya pada Jumaat (21 Jun).

Menariknya, kesemua 15 relawan itu semuanya terdiri daripada warga emas juga.

Meskipun diadakan secara kecil-kecilan, para relawan warga emas dari RSVP Singapore cukup berbesar hati dapat menyambut Hari Raya bersama 'rakan-rakan seusia' mereka dari Rumah Tumpangan Warga Emas PERTAPIS.

Lagi 20 penerima bantuan 4PM turut diundang untuk memeriahkan lagi acara.

Pengerusi Penganjur Majlis Hari Raya itu, Morni Sulaiman berkata: "Kami cuba menyiapkan acara yang dapat menceriakan warga emas yang datang dari rumah tumpangan PERTAPIS dan juga para penerima bantuan dari 4PM. Kami lihat mereka gembira jadi kami pun rasa bergembira jugalah."

Sambil menjamu selera, para tetamu dihiburkan denga pelbagai aktiviti dan permainan.

Malah, ada juga yang tidak pulang tangan kosong dengan hadiah yang dimenangi menerusi cabutan bertuah.

Mereka turut disertai Penolong Setiausaha Agung NTUC, Encik Zainal Sapari.


"Musim Hari Raya ini adalah musim yang baik bagi para relawan warga emas mengadakan acara ini bagi para penerima bantuan PERTAPIS kerana ramai daripada mereka mungkin tidak mempunyai masa atau peluang untuk menyambut Hari Raya," ujar beliau yang juga Anggota Parlimen (AP) GRC Pasir Ris-Punggol.

Tambah Encik Zainal, majlis sedemikian merupakan peluang yang baik untuk menunjukkan sikap inklusif semasa perayaan Hari Raya dengan pelibatan para relawan warga emas pelbagai kaum dan agama.

Acara itu merupakan majlis sambutan Hari Raya yang ketiga dianjurkan para relawan warga emas RSVP Singapore.

- BERITAmediacorp/tq

Top