Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

1,000 keluarga memerlukan dapat habuan 1.5kg daging, 2 ekor ayam

Seramai 1,000 keluarga memerlukan di lima kawasan undi merata Singapura, menerima habuan Hari Raya berbentuk 1.5 kilogram daging dan 2 ekor ayam setiap satu.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Seramai 1,000 keluarga memerlukan di lima kawasan undi merata Singapura, menerima habuan Hari Raya berbentuk 1.5 kilogram daging dan 2 ekor ayam setiap satu.

Ini bermakna, sebanyak 1,500 kilogram daging kambing dan 2,000 ekor ayam segar disediakan untuk diagihkan oleh Jamiyah.

Siang tadi (1 Jun), Menteri Negara Pembangunan Negara, Zaqy Mohamad, sama-sama turun padang menyingsing lengan, untuk mengagihkan habuan tersebut di GRC Marsiling-Yew Tee.

Habuan yang diberikan kali ini juga sebenarnya lebih murah hati berbanding tahun-tahun lalu, di mana mereka hanya diberi pilihan 2 kilogram daging kambing atau daging lembu.

"Pada tahun ini kita membuat sedikit perubahan hasil daripada maklum balas daripada para penerima. Oleh yang demikian pada tahun ini kita memberikan setiap keluarga sebanyak 1.5 kilogram daging kambing dan 2 ekor ayam," kata Pengarah Pendekatan & Pembangunan masyararakat Pertubuhan Jamiyah, Abdul Halim Aliman.

BERITAmediacorp diberitahu antara maklum balas yang diberikan adalah 2 kilogram daging 'agak terlalu banyak' dan ada sebahagian penerima yang tidak memakan daging kambing atau lembu.

Habuan tersebut sebenarnya diberikan kepada penerima berbilang kaum dan agama.

Maka itu, perubahan tersebut dilakukan demi menjaga sensitiviti agama, mengelak pembaziran serta memberikan kepelbagaian.

Pengagihan selama tiga hari yang bermula semalam (31 Mei) menyaksikan 40 hingga 50 sukarelawan bertungkus lumus untuk segera mengagihkan daging-daging segar yang diterbangkan dari Australia dua hari lalu (30 Mei).

Majoriti penerima bantuan persiapan Syawal ini datang dari keluarga memerlukan beragama Islam, dan selebihnya adalah keluarga bukan Islam.

Pengagihan berciri inklusif ini bertujuan memaparkan semangat ihsan masyarakat Islam serta menunjukkan bahawa Islam sebuah agama yang universal.

"Kita memberi bukan sahaja kepada keluarga memerlukan yang daripada keluarga Islam, tapi juga daripada keluarga yang bukan Islam. Itu menunjukkan ini semangat Ramadan kitalah untuk memberi pertolongan kepada mereka yang memerlukan tidak kira agama. Dan saya rasa ini akan meneguhkan lagi semangat masyarakat.

"Saya juga merasakan bahawa ini memang baik kerana kita mempunyai organisasi seperti Jamiyah yang membuat inisiatif ini supaya kita dapat memberi pertolongan terutama sekali bagi keluarga Melayu/Islam yang menyambut Hari Raya," ujar Encik Zaqy Mohamad.

Lima kawasan undi yang dipilih termasuk GRC Jurong, Marsiling-Yew Tee, East Coast, Sembawang dan SMC MacPherson. 

Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan