Skip to main content

Iklan

Iklan

Sukan

Taqi Aljaafari warga S'pura pertama jadi pengadil bola sepak Olimpik; terlibat dalam perlawanan akhir Brazil-Sepanyol

Di sebalik perlawanan akhir yang diramal sengit antara dua gergasi bola sepak dunia, Brazil dengan Sepanyol, di Sukan Olimpik malam ini, mungkin tidak ramai yang tahu bahawa seorang pengadil dari sebuah negara kecil diamanahkan dengan tugas berat untuk turut terlibat sama dalam perlawanan hebat ini.

Anggaran Waktu Membaca:
Taqi Aljaafari warga S'pura pertama jadi pengadil bola sepak Olimpik; terlibat dalam perlawanan akhir Brazil-Sepanyol

Muhammad Taqi Aljaafari dilantik sebagai Penolong Referi Video (VAR) di Olimpik Tokyo. (Gambar ihsan: Muhammad Taqi Aljaafari melalui FAS/Facebook)

SINGAPURA: Di sebalik perlawanan akhir yang diramal sengit antara dua gergasi bola sepak dunia, Brazil dengan Sepanyol, di Sukan Olimpik malam ini, mungkin tidak ramai yang tahu bahawa seorang pengadil dari sebuah negara kecil diamanahkan dengan tugas berat untuk turut terlibat sama dalam perlawanan hebat ini.

Beliau adalah warga Singapura yang bernama Muhammad Taqi Aljaafari.

Beliau juga merupakan rakyat Singapura yang pertama dipilih menjadi antara pengadil bertaraf dunia yang terlibat dalam perlawanan bersejarah di Tokyo itu.

Perkembangan yang membanggakan itu dikongsikan oleh Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) serta Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia Edwin Tong dalam catatan Facebook masing-masing hari ini (7 Ogos).

Pemilihannya untuk menjadi sebahagian daripada pegawai temasya Sukan Olimpik Tokyo 2020 dan memainkan peranan selaku Penolong Pengadil Video (VAR) semestinya mengukir kenangan manis dalam lipatan sejarah hidup peribadi Taqi sendiri.

Encik Taqi, yang pada awal tahun ini menjadi rakyat pertama Singapura ditauliahkan sebagai Pengadil Video Perlawanan (VMO), sekali lagi mengukir sejarah sebagai pengadil pertama Singapura untuk menggalas tugas itu di peringkat Sukan Olimpik.

Menurut Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS), lelaki berusia 34 tahun itu dilantik sebagai Penolong Pengadil Video (VAR) di Sukan Olimpik Tokyo.

Tanggungjawab yang dipikulnya termasuk menyediakan sokongan kepada para pengadil dalam membuat keputusan penting yang boleh mengubah rentak dan corak permainan. Ini bermakna beliau perlu mengenal pasti insiden tertentu seperti kesalahan-kesalahan yang jelas dan ketara atau insiden-insiden serius yang terlepas pandang semasa berlangsung perlawanan.

"Saya menerima berita tentang pemilihan saya bagi Sukan Olimpik Tokyo semasa saya sedang menjalankan tugasan di Arab Saudi dalam perlawanan Peringkat Kumpulan Liga Juara-Juara Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) pada April tahun ini," Encik Taqi memberitahu FAS.org.sg.

"Ia suatu kejutan kerana tidak pernah terlintas dalam benak fikiran saya bahawa saya akan terlibat dalam Sukan Olimpik pula," ujar Encik Taqi dalam satu wawancara bersama FAS.org.sg sebelum temasya sukan itu membuka tirainya.

Sukan Olimpik Tokyo 2020, yang berlangsung dari 23 Julai sehingga 8 Ogos, menggunakan teknologi VAR buat kali pertama bagi acara perlawanan bola sepak sejak ia secara rasmi diluluskan oleh Lembaga Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (IFAB) pada 2018.

"Saya berbesar hati namun merendah diri dengan pelantikan ini kerana ia adalah peluang keemasan untuk menyertai Sukan Olimpik sebagai seorang pegawai bola sepak Singapura," ujar Encik Taqi, menukil FAS.org.sg.

"Ini bukan sahaja bukti kerja keras yang sudah saya lakukan tetapi juga usaha menyeluruh mereka yang terlibat di balik tabir dan rakan-rakan saya di FAS yang menyokong saya. Ia juga menunjukkan kepada seluruh dunia betapa negara kecil seperti Singapura mampu melahirkan pengadil untuk mengadili dan mengendalikan perlawanan peringkat tertinggi," tambah beliau.

Encik Taqi memulakan tugas rasminya di Sukan Olimpik Tokyo 2020 pada 21 Julai lalu sebagai penolong pengadil VAR bagi perlawanan bola sepak wanita antara Great Britain dengan Chile.

Sebenarnya, Encik Taqi pernah melalui pengalaman selaku seorang pengadil VAR buat kali pertama semasa perlawanan peringkat kumpulan Piala Dunia Bawah 20 Tahun FIFA 2017 iaitu acara pertama FIFA berdasarkan kumpulan usia menggunakan VAR.

Sedari itu, beliau terus memainkan peranan tersebut bagi perlawanan-perlawanan lain termasuk Liga Juara-Juara AFC 2020 yang diadakan di Qatar.

PENGALAMAN UNIK

Sebagai satu-satunya VMO bertauliah di Singapura, Encik Taqi perlu menjalani sesi latihan praktikal dan simulator yang ketat. Ini di samping mengikuti sesi teori di dalam bilik darjah dan penilaian dari segi komunikasi dan kemahiran-kemahiran VAR, pengetahuan tentang protokol VAR, tempoh latihan yang dijalani dan prestasi perlawanan serta kriteria lain.

Sebagai seorang VMO, Encik Taqi dikehendaki mempunyai tumpuan mental yang kuat sepanjang tempoh perlawanan kerana mereka menilai dan menjalankan pemeriksaan prestasi secara senyap-senyap ke atas semua keputusan yang diambil. Pada masa yang sama, beliau juga perlu berkomunikasi dengan pengadil di padang.

Secara semula jadi, mereka dijangkakan mempunyai pengetahuan dan pemahaman yang sangat baik mengenai sistem, protokol serta prinsip VAR.

"Pelantikan ini adalah antara langkah kecil yang sudah saya ambil dalam perjalanan saya sebagai seorang pengadil sejauh ini. Saya berharap ia akan mendorong saya untuk mencapai lebih banyak detik penting dan bersejarah pada masa hadapan," luahnya.

Lebih dari itu, Encik Taqi memberitahu FAS.org.sg bahawa beliau berharap dapat berkongsi pengalamannya dengan masyarakat bola sepak tempatan dan menantikan peluang untuk menyumbang kepada pelaksanaan VAR di Singapura pada tahun-tahun mendatang. 

Sumber : BERITA Mediacorp/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan