NUANSA

Images
  • social media
    Gambar fail aplikasi-aplikasi media sosial yang biasa digunakan orang ramai. (Gambar: AFP/ Kirill Kudryavtsev)

NUANSA: Kerabat diraja dan penggunaan media sosial

PERKEMBANGAN dan kemajuan media sosial kebelakangan ini memberi pelbagai kemungkinan untuk para pengkaji tekuni. Dalam hal ini yang dimaksudkan dengan media sosial adalah komunikasi berpangkalan di internet atau aplikasi internet yang dibina atas ‘web 2.0’.

Media sosial juga dikenali sebagai kebijaksanaan kolektif untuk kegunaan bersama. Media sosial ini menyediakan ruang dan kesempatan untuk penggunanya menjadi selebriti mikro iaitu individu biasa yang secara hariannya bukanlah sesiapa, tetapi kerana kreativitinya di media sosial mereka beroleh perhatian dan kemasyhuran sehingga kadang-kadang menarik jutaan pengikut dan khalayak.

Selebriti mikro ini kian ‘mencabar’ selebriti tradisional seperti para pelakon, penyanyi, model dan kerabat diraja. Namun demikian, apabila selebriti tradisional ini terikut-ikut sama dengan media sosial, dan bersaing dengan selebriti mikro, di sinilah munculnya kekeliruan fungsi dan peranan yang seterusnya mencetuskan aneka kemungkinan.

...interaksi parasosial (parasocial interaction), satu ilusi bahawa pengikut akaun media sosial selebriti itu berkawan baik (kerana boleh bersoal jawab, gelak ketawa, mengulas status dan sebagainya). Persahabatan palsu inilah yang memberikan nilai kepada selebriti media sosial.

Seperkara yang perlu kita fahami ialah media sosial menyediakan selebrifikasi atau kanonisasi pop (celebrification and pop canonisation). Hal ini terjadi kerana media sosial memberikan hubungan interpersonal di mana platform media sosial memberikan hak kepada si pengguna untuk menentukan sendiri kandungan media mereka. Yakni diri mereka sendiri yang punya hak untuk berkongsi atau menutup hantaran media tersebut.

Dalam masa sama, media sosial punya ruang maklumbalas yang pengikut boleh menekan butang suka, tidak suka selain berhubungan dengan pemilik akaun media sosial secara langsung.


(Gambar: Unsplash)

Ruang maklum balas ini dengan itu memberikan pula apa yang dinamai interaksi parasosial (parasocial interaction), satu ilusi bahawa pengikut akaun media sosial selebriti itu berkawan baik (kerana boleh bersoal jawab, gelak ketawa, mengulas status dan sebagainya). Persahabatan palsu inilah yang memberikan nilai kepada selebriti media sosial.

Apabila selebriti tradisional seperti kerabat diraja menggunakan media sosial, mereka akan terdedah dengan semua hal di atas, iaitu antara lain; maklum balas pengikut dan persahabatan palsu itu.

Maka di sinilah terjadi pertembungan kompleksiti yang menarik untuk direnung oleh pengkaji dan para akademik. Media sosial boleh sahaja menjadi sesuatu yang positif untuk kerabat diraja. Misalnya, media sosial membolehkan mereka berhubungan dengan rakyat jelata dan orang awam. Ini memberi kesan bahawa mereka itu merakyat atau selamba - tiada protokol - dan mesra.

...Ia memberikan satu ilusi konon golongan bangsawan ini berani keluar dari mahligai untuk bersama-sama rakyat (ingatan: ia ilusi). Rakyat akan merasa-rasa kononnya akaun Facebook tertentu menyuarakan penderitaan rakyat.

Hakikatnya, seperti yang dijelaskan di atas - itu adalah perhubungan palsu. Malah tiada perhubungan pun. Ia hanyalah ilusi. Lain lagi, seseorang kerabat diraja boleh mengawal sendiri naratif mengenai dirinya. Justeru rakyat tidak memerlukan media, khabar angin atau paparazi.

Akan tetapi barang diingat pula, selebriti tradisional seperti kaum bangsawan ini sendiri mempunyai ‘banyak hal untuk disembunyikan’. Mereka juga seperti kita, ada turun naik atau masalah keluarga; dan membenarkan diri mereka di media sosial boleh sahaja membawa padah dan petaka kerana ia memungkinkan lagi pertanyaan dalam kalangan rakyat, atau meluaskan lagi mitos perihal diri mereka.

Oleh sebab itu, apabila kerabat diraja muda menggunakan Instagram dan TikTok ia boleh memberi dua keadaan. Pertama, ia memberikan satu ilusi konon golongan bangsawan ini berani keluar dari mahligai untuk bersama-sama rakyat (ingatan: ia ilusi). Rakyat akan merasa-rasa kononnya akaun Facebook tertentu menyuarakan penderitaan rakyat.

Suara yang dizahirkan di akaun itu tidak semestinya benar. Bahkan suara itu sebetulnya tidak sama sekali memberikan solusi atau menyelesaikan apa-apa masalah secara real dan konkrit. Ini kerana tiada reformasi total atau perombakan sistem yang ditawarkan. Satu teguran terhadap satu-satu isu tidak mengubah keadaan.


Ikon aplikasi-aplikasi media sosial (Gambar: Reuters)

Hal kedua ialah, akaun media sosial ini boleh menyebabkan ‘kemarahan’ di tengah penderitaan orang awam atau rakyat jelata, khusus jika imej atau status media sosial kerabat itu menggambarkan mereka di celah dan sela pesawat, kereta mewah, fesyen bergaya, haiwan belaan dan permainan sukan tertentu seperti berkuda atau polo.

Inilah situasi yang berlaku ketika pandemik COVID-19, apabila segelintir rakyat merasakan apa yang diperagakan dalam akaun media sosial kerabat diraja itu tidak membantu mereka. Di tengah pendedahan blog tertentu mengenai skandal perniagaan sesetengah kerabat - hantaran media sosial mereka yang terlihat begitu mewah di tengah nestapa murbawan - pasti hanya mendorong rungutan. Perlahan-lahan rungutan ini membengkak.

Apabila selebriti tradisional ini gagal memahami bahawa media sosial adalah ruang untuk selebriti mikro dan bukan untuk mereka, di sinilah terjadi kekeliruan fungsi di mana kadangkala kerabat diraja berinteraksi secara salah dengan pengguna atau pengikut mereka. Hal inilah yang membuka jalan kepada hashtag tertentu apabila segelintir netizen memberi respon kepada satu ulasan yang menurut mereka tidak peka.

Selain itu akaun TikTok puteri atau putera tertentu membuka jalan kepada banyak kemusykilan. Selama ini dunia selebriti tradisional ini merupakan satu misteri buat ramai. Orang awam hanya berteka-teki atau banyak menebak. Apabila ada kerabat tertentu meletakkan foto ibu (sebenar) mereka sebagai contoh, ia mendorong perbincangan lama yang mungkin tidak diketahui oleh generasi hari ini.


(Gambar: AFP)

Perbincangan ini boleh sahaja menjadi sesuatu yang positif, tetapi boleh pula mendorong aura negatif. Ini kerana orang awam melayan dan menganggap semua akaun media sosial adalah setara. Harus diingat media sosial menyediakan ruang demokratik. Di media sosial semua orang setara. Malah media sosial mempunyai sejarah berperanan sebagai ejen perubahan politik, dan mendorong tercetusnya perubahan kuasa seperti terlihat ketika Arab Spring atau Pilihan Raya Umum Malaysia yang ke-14.

Demokratisasi ruang media sosial membenarkan rakyat atau pengguna, wewenang yang mereka inginkan untuk bertanya atau bersoal jawab. Kegagalan atau kesilapan berkomunikasi di media sosial boleh membawa kepada pelbagai kesan yang sukar dijangka.

Kerabat diraja adalah salah satu institusi kunci dalam sesebuah negara. Sistem monarki masih wujud di banyak negara, termasuk di Eropah. Membawa institusi kunci ke media sosial, ruang demokrasi yang meriah, mungkin bukan satu pendekatan yang sihat.


MENGENAI PENULIS:

Dr Mohd Faizal Musa atau lebih dikenali dengan nama pena Faisal Tehrani ialah seorang pengkaji, pemikir, novelis terkenal dan pejuang hak asasi manusia dari Malaysia. Beliau kini bertugas sebagai zamil penyelidik di Institut Alam dan Tamadun Melayu dan zamil pelawat di ISEAS - Institut Yusof Ishak.  

- BERITAmediacorp/tq

Top