NUANSA

Images
  • Bulan Bahasa
    (Gambar: Majlis Bahasa)

NUANSA: Jangan biarkan Bahasa Melayu ‘hidup’ melata, ia perlu direkayasa untuk terus relevan

BERITAmediacorp: Dalam menghadapi cabaran jagat, apakah bahasa Melayu dapat menampung ledakan ilmu dan terus digunakan secara rasmi dan bukan rasmi? Inilah persoalan teras dalam Ceramah Arif Budiman yang disampaikan Profesor Awang Sariyan, Penyandang Kursi Za’ba di Intitut Peradaban Melayu, Universiti Pendidikan Sultan Idris.

Tetapi ada syaratnya untuk bahasa Melayu mempunyai masa depan cerah sebagai bahasa supranasional atau pengantar di rantau ini dan dunia. 


(Gambar: Awang Sariyan Kembara Bahasa/Facebook)

UNTUK menilai kekuatan bahasa Melayu (BM) sebagai bahasa pengantar di Asia Tenggara, perlu dikaji proses sejarah yang dilaluinya sebagai lejangan untuk merancang dan membina masa depannya.

Demikian hujah Profesor Datuk Dr Awang Sariyan ketika menyampaikan Ceramah Arif Budiman ke-16 (21 Feb) anjuran Pusat Bahasa Melayu Singapura.

Menurutnya, sekurang-kurangnya BM telah mengharungi empat gelombang peradaban di Asia Tenggara atau Nusantara – zaman bahasa Melayu purba (200 hingga 600 Masihi, zaman bahasa Melayu kuno (600 hingga 1400M), zaman bahasa Melayu klasik (zaman kerajaan Melaka sehingga abad ke-17M) dan zaman baharu (sejak abad ke-18 Masihi sehingga kini).

Sewaktu Kerajaan Sriwijaya dipuncak kuasa dalam abad ke-7M, I Tsing (atau Yi Ching), seorang sami Buddha yang belajar di Palembang, mengesahkan betapa hebatnya BM sebagai bahasa ilmu dan pengantar. Prof Awang pernah melawat pusat Buddha di kota tua Xi’an untuk membaca terjemahan tulisan I Tsing.

Malah BM pernah dianggap lingua franca oleh ramai sarjana silam seperti Francois Valentijn (1666-1727) dari Belanda yang berpendapat bahawa BM merupakan pengantar di jagat timur.

Jadi, mengapakah timbul keraguan tentang masa depan BM terutama dalam berdepan dengan suasana bahasa Inggeris yang dominan?


Awang Sariyan. (Gambar: Awang Sariyan Kembara Bahasa/Facebook)

DASAR PEMERINTAH

Menurut Prof Awang yang mempunyai kerjaya luas termasuk Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia (agensi perancangan bahasa dan sastera Melayu) dan kini penyandang Kursi Za’ba di Universiti Pendidikan Sultan Idris, ada beberapa syarat penentu bagi masa depan BM.

Pertama-tama, ialah tekad politik pemerintah yang terpapar bukan saja pada dasar atau kebijakan, tetapi juga amalan terbaiknya.

Menggunakan contoh Malaysia, beliau berpendapat terdapat isu-isu yang belum lancar mengenai usaha untuk menempatkan BM di persadanya.

“Sejak terdapat perubahan dasar pendidikan untuk membolehkan Matematik dan Sains diajarkan dalam bahasa Inggeris, atas alasan meningkatkan daya saing pekerja Malaysia, berlaku kecelaruan,” kata Prof Awang.

Menurutnya, kajian empirika (berdasarkan bukti sahih) di negara-negara seperti Jepun, Korea Selatan, China dan Taiwan menunjukkan bahawa kemajuan dalam dua mata pelajaran dapat dijayakan dengan bahasa ibunda iaitu bukan bahasa Inggeris.

(Gambar: Awang Sariyan Kembara Bahasa/Facebook)

BM, hujahnya, sudah terbukti boleh menampung ilmu dengan begitu banyak istilah ilmu yang telah lama ada dan terus diciptakan menerusi kerjasama Majlis Bahasa Melayu Brunei, Indonesia dan Malaysia (Mabbim). Singapura sudah lama menjadi pemerhati dalam Mabbim selain menjadi negara anggota dalam Majlis Sastera Asia Tenggara sejak 2015.

SIKAP INDONESIA

Prof Awang memuji ketekalan pendidirian Indonesia dalam menjayakan Bahasa Indonesia (BI) yang induk atau asalnya adalah Bahasa Melayu laras Riau. Selain para pembesar Indonesia – dari presiden sehingga pegawai tinggi – bertutur rasmi dalam BI, seluruh jalur pengantar juga diadakan dalam BI.

Indonesia dengan 260 juta penduduk menampung penutur BM yang terbesar di dunia, diikuti dengan Malaysia, Singapura, Brunei dan selatan Thailand.

“Namun, tidak dapat dinafikan bahawa ada perbezaan kian ketara antara BM yang digunakan Brunei, Malaysia dan Singapura pada satu pihak dengan Indonesia. Hal ini cuba diatasi di peringkat Mabbim dengan mewujudkan bahasa supranasional yang dapati digunakan secara rasmi,” jelasnya.

Ketika menjawab apakah Bahasa Baku sebagai suatu yang realistik untuk rantau ini, Prof Awang menjelaskan:

“Kita perlu Bahasa Baku dari segi istilah sehingga sebutan untuk menyampaikan mesej yang dapat difahami semua orang. Memang tiada Bahasa Baku yang benar-benar standard. Misalnya bahasa Inggeris juga berdepan dengan jurang antara Bahasa Inggeris Britain dengan Bahasa Inggeris Amerika.

"Namun Bahasa Inggeris dapat diterima sebagai bahasa antarabangsa kerana adanya istilah yang standard yang difahami oleh semua orang untuk keperluan rasmi. Maka begitulah perlu berlaku pada bahasa Melayu.”

BAHASA BAKU

Prof Awang mengutarakan peri penting Kamus Bahasa Melayu Nusantara yang diusahakan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka, Brunei, yang cuba menjambatani perbezaan makna istilah.

“Contoh perkataan ‘kopek’ itu berbeza maknanya antara pantai Barat dengan pantai Timur Semenanjung Malaysia,” katanya sambil memberi contoh yang disambut derai tawa hadirin.

Di pantai Barat Semenanjung Malaysia, ‘kopek’ bermakna mengupas atau membuka sesuatu . Di bahagian utara Semenanjung pula, ‘kopek’ bererti dompet atau pundi-pundi wang. Namun, bagi masyarakat pantai Timur pula, ‘kopek’ sebagai suatu perkataan yang negatif dan sensitif bagi kaum wanita iaitu buah dada.

Sewaktu menyampaikan ceramahnya, Prof Awang memaklumkan kehadiran beberapa orang pelajar dari Universiti Pengajian Asing Beijing. Mereka menunjukkan kesungguhan dalam mempelajari BM, tambahnya.

“Oleh itu, sikap rumpun Melayu sendiri pada bahasa Melayu hendaklah teguh untuk meluas dan meningkatkan penggunaannya sebagai bahasa harian sehingga keilmuan. Jika semangat dan usaha ini kekal teguh, bahasa Melayu pasti mempunyai masa depan yang cerah,” tegas Prof Awang.

Beliau menonjolkan pencapaian banyak negara dunia yang mengangkat darjat bahasa ibunda seperti China sehingga Jerman.


Masyarakat Melayu Singapura. (Gambar: Facebook/ PM Lee)

“Memang bahasa Inggeris penting sebagai bahasa antarabangsa. Namun negara-negara ini maju kerana kekuatan bahasa ibunda masing-masing. Hal serupa boleh dicapai oleh bahasa Melayu jika kita serius menanganinya,” pesan Prof Awang kepada hadirin yang kebanyakannya guru BM, kalangan guru pakar BM dan Pengarah Pusat Bahasa Singapura, Encik Mohd Noh Daipi.

Hakikatnya, hujah Prof Awang yang juga perundingcara BM di Singapura, BM tidak boleh dibiarkan ‘hidup’ melata. Sebagai wahana, BM perlu direkayasa seperti membangun peristilahan khususnya kamus dalam talian (on-line dictionary) dan diajarkan dengan sistematik, serta dipelihara penggunaannya agar jelas, lancar dan tepat.

Oleh itu, pesannya, peranan pihak berkepentingan seperti Pusat Bahasa Melayu dan para guru BM di Singapura amat penting dalam proses rekayasa (engineering) agar BM mencapai matlamat jangka panjang dan terus relevan pada hari muka.


MENGENAI PENULIS:

Raman Daud ialah seorang mantan wartawan kanan Berita Harian (1984-2016), mantan penulis tetap skrip drama televisyen Perbadanan Penyiaran Singapura (1980-84), pengarang, aktivis masyarakat, editor sejumlah buku termasuk adikarya Pendeta Dr Muhd Ariff Ahmad, NILAM.  

- BERITAmediacorp/nk

Top