Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

WP ulangi gesaan bagi gaji minimum, dasar antidiskriminasi jelang NDR

Parti Pekerja (WP) mengulangi gesaannya agar Pemerintah memperkenalkan beberapa usulan dasar parti itu yang diterbitkan dalam manifestonya pada Pilihan Raya Umum tahun lalu. Ini seperti gaji minimum di seluruh negara, undang-undang anti diskriminasi serta pampasan para penganggur.

Anggaran Waktu Membaca:
WP ulangi gesaan bagi gaji minimum, dasar antidiskriminasi jelang NDR

(Gambar: Mediacorp)

Diterbitkan : 27 Aug 2021 10:02PM Dikemas Kini : 27 Aug 2021 10:07PM

SINGAPURA: Parti Pekerja (WP) mengulangi gesaannya agar Pemerintah memperkenalkan beberapa usulan dasar parti itu yang diterbitkan dalam manifestonya pada Pilihan Raya Umum tahun lalu.

Ini seperti gaji minimum di seluruh negara, undang-undang anti diskriminasi serta pampasan para penganggur.

Dalam kenyataan media hari ini (27 Ogos), parti pembangkang itu menyatakan pihaknya menyambut baik "isyarat baru-baru ini daripada tokoh-tokoh kanan pemerintah" yang menunjukkan bahawa Pemerintah terbuka tentang perlunya melaksanakan reformasi tersebut.

Walaupun WP tidak menyebut sebarang nama dalam kenyataannya, Encik Ravi Menon, pengarah urusan Penguasa Kewangan Singapura (MAS), sebelum ini membicarakan tentang perlunya melaksanakan gaji minimum dan kemungkinan mengenakan cukai ke atas harta kekayaan - iaitu saranan-saranan yang kerap ditegaskan oleh Pemerintah sebagai ada banyak tukar ganti buruk baiknya - dalam satu siri ceramah dengan Institut Kajian Dasar.

Encik Menon berkata bahawa ceramahnya mencerminkan pandangan peribadinya dan tidak mewakili bank pusat atau Pemerintah.

Hari ini WP menyatakan ia ingin sekali lagi mengetengahkan idea-ideanya menjelang Rapat Umum Hari Kebangsaan, yang akan disampaikan oleh Perdana Menteri Lee Hsien Loong pada Ahad (29 Ogos).

"Kami percaya ini adalah masa yang tepat untuk melaksanakan idea-idea tersebut berdasarkan wacana umum baru-baru ini yang menumpukan pada bidang-bidang dasar ini," tambah kenyataan itu.

Antara idea-idea dasar WP adalah:

  • Melaksanakan gaji minimum yang menyediakan gaji mencukupi untuk sara hidup bagi pekerja, yang dapat wujud seiring dengan model gaji progresif semasa
  • Melaksanakan skim insurans pemberhentian pekerja yang membolehkan mereka yang diberhentikan untuk menerima pampasan. WP menambah bahawa jika skim seperti itu ada sebelum pandemik COVID-19, pampasan itu akan mengurangkan kegenjotan terhadap ekonomi dan kehidupan mereka yang diberhentikan, serta mengurangkan jumlah wang yang perlu dikeluarkan rizab simpanan Singapura
  • Elakkan kenaikan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dan cari kaedah lain untuk mengatasi kekurangan pendapatan pemerintah, seperti menaikkan peruntukkan yang dapat dibelanjakan oleh Pemerintah daripada pulangan yang diperolehinya menerusi pelaburan oleh Temasek, MAS dan GIC
  • Memperkenalkan undang-undang antidiskriminasi yang melarang pengambilan pekerja secara berat sebelah mengikut etnik, jantina dan usia
  • Mengkaji semula rangka kerja sedia ada perumahan awam untuk memastikan ia boleh dimampui dan memperkenalkan Skim Beli Balik Pajakan yang universal.
Sumber : Today/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan