Skip to main content

Iklan

Iklan

Presiden Halimah sambut baik terap garis pandu TAFEP dalam undang-undang; benarkan jururawat pakai tudung di tempat kerja

Presiden Halimah Yacob pada Isnin (30 Ogos) mengalu-alukan usulan Pemerintah untuk menerapkan garis panduan semasa berhubung antidiskriminasi di tempat kerja dalam undang-undang serta keputusan untuk membenarkan jururawat Muslim memakai tudung di tempat kerja. 

Anggaran Waktu Membaca:
Presiden Halimah sambut baik terap garis pandu TAFEP dalam undang-undang; benarkan jururawat pakai tudung di tempat kerja
Para pekerja di Raffles Place. (Gambar: Gaya Chandramohan)
Diterbitkan : 30 Aug 2021 07:51PM Dikemas Kini : 30 Aug 2021 07:57PM

SINGAPURA: Presiden Halimah Yacob pada Isnin (30 Ogos) mengalu-alukan usulan Pemerintah untuk menerapkan garis panduan semasa berhubung antidiskriminasi di tempat kerja dalam undang-undang serta keputusan untuk membenarkan jururawat Muslim memakai tudung di tempat kerja.

Puan Halimah sebelum ini adalah timbalan setiausaha agung Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC). Beliau juga mempengerusikan bersama Perikatan Tiga Pihak bagi Amalan Pekerjaan Adil dan Progresif (TAFEP) apabila ia ditubuhkan pada 2006.

“Apabila dikuatkuasakan dan dilaksanakan dengan betul, undang-undang itu akan menyediakan satu lagi landasan untuk memastikan kesamarataan serta keadilan dalam masyarakat kita," kata Puan Halimah dalam satu catatan Facebook.

“Pada dasarnya, kita semua mahukan peluang untuk diambil bekerja dan membuktikan nilai kita di tempat kerja tanpa menjadi bahan stereotaip atau prasangka, yang tiada kaitan dengan keupayaan atau sumbangan kita," tambah beliau.

“Undang-undang itu adalah satu kemajuan yang baik dalam perjalanan kita untuk mewujudkan tempat kerja yang lebih adil."

Langkah tersebut diumumkan oleh Perdana Menteri Lee Hsien Loong semasa menyampaikan ucapan Rapat Umum Hari Kebangsaan (NDR) beliau pada malam Ahad (29 Ogos).

PM Lee berkata walaupun TAFEP ada "garis panduan jelas" mengenai layanan adil, Pemerintah sudahpun menerima "permintaan berulang" untuk menjadikannya lebih berkesan.

Perdana Menteri turut menarik perhatian gerakan buruh dan beberapa Anggota Parlimen (AP) menggesa undang-undang antidiskriminasi yang membawa hukuman.

Puan Halimah juga menyambut baik pengumuman PM Lee bahawa jururawat jagaan kesihatah awam akan dibenarkan memakai tudung dengan pakaian seragam mereka mulai November.

"Ini adalah langkah yang luar biasa dan hasil usaha bertahun-tahun oleh para pemimpin Muslim yang bekerjasama dengan pemerintah dan masyarakat," ujarnya.

"Ia akan meredakan dilema yang dihadapi ramai wanita Muslim hari ini yang mahu bekerja dalam sektor-sektor yang tidak membenarkan tudung," tambah Presiden.

“Memberikan mereka peluang untuk berbuat demikian membolehkan mereka memperluaskan pengalaman dan mengejar kerjaya yang mereka benar-benar minat. Ia hanya akan membawa manfaat kepada masyarakat kita."

Berhubung langkah-langkah lain untuk menyokong dengan lebih baik para pekerja bergaji rendah, Puan Halimah berkata terdapat "penumpuan baik" dalam ucapan PM Lee mengenai perkara itu.

“Masyarakat kita perlu menghargai semua pekerjaan dan bukan sahaja yang berpangkat tinggi sahaja," ujar Puan Halimah.

“Dengan pendapatan lebih baik, (pekerja bergaji rendah) akan dapat menghulurkan sokongan lebih besar buat anak-anak mereka, mampu memiliki flat mereka sendiri dan menabung bagi persaraan mereka.

"Terdapat kos yang sangat besar bagi masyarakat jika keperluan ini diabaikan. Selain konflik sosial, pengabaian seperti ini menghalang orang ramai dari mencapai potensi penuh mereka." 

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan