Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

PM Lee 'sanjung, hargai kecekalan' masyarakat Melayu/Islam harungi pandemik

Semangat gotong-royong dan sikap tidak putus asa menjadi kunci kemajuan masyarakat Melayu/Islam selama ini, tambah beliau.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 29 Aug 2021 05:30PM Dikemas Kini : 29 Aug 2021 09:14PM

SINGAPURA: Perdana Menteri Lee Hsien Loong "sanjung dan hargai kecekalan" masyarakat Melayu/Islam yang sudah memberikan kerjasama penuh dalam mengharungi pandemik COVID-19.

Perdana Menteri Lee Hsien Loong berkata demikian semasa berucap dalam bahasa Melayu di Rapat Umum Hari Kebangsaan (NDR) 2021 hari ini (29 Ogos).

Kata PM Lee, beliau gembira melihat masyarakat Melayu/Islam bersatu padu dan saling mengambil berat antara satu sama lain sepanjang pandemik ini.

Semangat gotong-royong dan sikap tidak putus asa itulah yang menjadi kunci kemajuan masyarakat Melayu/Islam selama ini, tambah beliau.

PM Lee turut menzahirkan penghargaan kepada para pemimpin masyarakat, asatizah serta masjid-masjid di bawah bimbingan Mufti, atas kepimpinan dan usaha mereka untuk terus menggalakkan orang Melayu/Islam mendapatkan vaksin.

Mufti Singapura divaksin. (Gambar: MUIS)

(Gambar: MUIS)

"Dengan lebih ramai orang disuntik, kita kini melonggarkan sekatan secara beransur-ansur. Ini termasuk membolehkan lebih ramai jemaah di masjid-masjid.

"Sungguhpun demikian, kita harus cuba sedaya upaya untuk memberikan vaksin kepada mereka yang masih belum disuntik, terutama sekali warga emas yang paling mudah sakit teruk jika dijangkiti COVID-19. Jika anda warga emas, silalah dapatkan suntikan vaksin secepat mungkin!," kata PM Lee.

Beliau juga merujuk kepada laporan Banci Penduduk 2020, yang mendapati bahawa masyarakat Melayu mencatatkan kemajuan yang sangat ketara sepanjang sedekad lalu.

Menurut laporan tersebut, lebih ramai orang Melayu daripada semua peringkat usia berkelulusan tinggi, kadar siswazah Melayu naik seganda dan jumlah pekerja PMET Melayu juga meningkat. Ini sekali gus meningkatkan pendapatan dalam kalangan keluarga Melayu.

Salah seorang anak Melayu/Islam yang menyerlah adalah Aarman Yazeed, kata PM Lee.

Aarman Yazeed di Thermo Fisher Scientific. (Gambar: MCI)

Aarman Yazeed. (Gambar: MCI)

Selepas tamat NS, Aarman bekerja di Thermo Fisher Scientific, antara syarikat pembuat peranti perubatan terbesar di dunia. Beliau bekerja keras dan gigih belajar kemahiran baru.

"Prestasinya menyerlah dan beliau dinaikkan pangkat sebagai pengurus pengilangan. Karyawan seperti Aarman, antara sebab Thermo Fisher yakin dan baru-baru ini mengambil keputusan untuk menghasilkan vaksin di Singapura," ujar PM Lee.

Satu lagi contoh yang disebut PM Lee dalam ucapannya itu ialah Pengarah Urusan Jumain Sataysfaction, Samsiah Suliman.

Cik Samsiah adalah peniaga sate generasi ketiga yang mewarisi perniagaan yang dimulakan datuknya lebih seratus tahun lalu.

"Saya bertemunya baru-baru ini. Samsiah beritahu saya apabila mengambil alih perniagaan itu, beliau yakin akan potensinya. Beliau berusaha untuk mempelbagaikan rangkaian produknya termasuk menyediakan pilihan bukan daging," kongsi PM Lee, sambil merujuk kepada salah satu produk sate Cik Samsiah, iaitu Sate cendawan.

Pengarah Urusan Jumain Sataysfaction, Samsiah Suliman. (Gambar: MCI)

Samsiah Suliman. (Gambar: MCI)

Jenama Jumain Sataysfaction juga sudah berjaya menembusi pasaran-pasaran antarabangsa. Syarikat itu mengeluarkan 80,000 cucuk sate sehari dan mengeksportnya ke Hong Kong, Kanada dan Timur Tengah.

"Saya harap kisah-kisah kejayaan seperti Samsiah dan Aarman akan menjadi perangsang kepada masyarakat Melayu/Islam untuk terus maju jaya," kata
PM Lee.   

Sumber : BERITA Mediacorp/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan