Skip to main content

Iklan

Iklan

PERGAS & MHPA usul saranan bagi reka bentuk tudung jururawat Muslim

Persatuan Ulama dan Guru-Guru Agama Islam Singapura(PERGAS) bersama dengan Persatuan Karyawan Penjagaan Kesihatan Islam (MHPA) telah mengesyorkan kepada Kementerian Kesihatan (MOH) cadangan bagi reka bentuk tudung jururawat Muslim.

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Persatuan Ulama dan Guru-Guru Agama Islam Singapura (PERGAS) bersama dengan Persatuan Karyawan Penjagaan Kesihatan Islam (MHPA) telah mengesyorkan kepada Kementerian Kesihatan (MOH) cadangan bagi reka bentuk tudung jururawat Muslim.

Cadangan bersama dua persatuan itu adalah antara pelbagai cadangan yang dipertimbangkan Jawatankuasa Panduan tentang tudung sebelum dilaksanakan pada 1 November nanti.

SARANAN BENTUK TUDUNG BAGI JURURAWAT DIBENTANGKAN KEPADA PIHAK BERKUASA

Kajian dan proses untuk menyiapkan tudung yang sesuai bagi jururawat sebenarnya sudah diusahakan PERGAS sejak berdekad lamanya.

PERGAS dengan kerjasama MHPA membentangkan kertas kerja tersebut kepada pihak berkuasa pada 2018.

"PERGAS dan MHPA sudah bekerjasama dalam membuat usulan kepada pemerintah tentang pakaian seragam yang hendak mereka luluskan. Mudah-mudahan pakaian seragam yang diusulkan dapat diterima atau diubah suai mengikut keperluan penjagaan kesihatan, keseragaman dan juga mengawal jangkitan," dedah Ustazah Kalthom Muhd Isa, Naib Presiden Majlis Tertinggi PERGAS.

Jururawat Kanan Lubna Shah terlibat dalam menyiapkan kertas kerja tersebut. 

Salah seorang jururawat yang terlibat secara langsung bagi menyiapkan 'Cadangan Reka Bentuk Tudung Jururawat' adalah Cik Lubna Shah.

"Dalam proses memikirkan apakah ciri-ciri yang sesuai untuk jururawat, saya telah berbincang dengan rakan-rakan saya yang bekerja di hospital sebagai jururawat dan doktor dengan pakar-pakar reka tudung di Amerika Syarikat, United Kingdom dan Australia," kata beliau.

Sebagai seorang jururawat dengan pengalaman selama 10 tahun, Cik Lubna sendiri memahami dilema tentang isu tudung.

Berbekalkan pengalamannya itu, beliau menghasilkan reka bentuk tudung itu.

CIRI-CIRI TUDUNG UNTUK JURURAWAT

Reka bentuk yang diusulkan mengambil kira pelbagai faktor termasuk keselesaan pengguna. (Gambar daripada kertas kerja PERGAS & MHPA)

"Ciri-ciri yang sesuai bagi tudung untuk jururawat harus sejajar dengan dasar kawalan jangkitan. Ia juga tidak harus mengganggu operasi dan klinikal.Ia perlu mempunyai penampilan yang kemas dan sebati dengan seragam, dan juga berasa selesa bagi jururawat yang memakainya," tambah Cik Lubna.

Persoalannya - bagaimana pula bagi situasi-situasi tertentu di mana jururawat tidak boleh menutup permukaan kulit di bawah lengan atau istilah Inggerisnya, 'bare below the elbows' (BBE)?

KERAGUAN TENTANG 'BBE'?

Ustazah Kalthom menjelaskan: "Dalam Islam itu, ia sentiasa memberi kelonggaran. Jadi dibolehkan untuk masa-masa sedemikian kerana untuk menjaga keselamatan jururawat juga, kerana hendak membantu pesakit. Saya berharap masyarakat memahami piawaian-piawaian kesihatan."

PERGAS juga berharap usulan ini dapat dijadikan panduan bagi hospital-hospital yang diberi kebebasan untuk menguruskan pakaian seragam jururawat Muslim kelak.  

Sumber : BERITA Mediacorp/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan