NDR 2021

Images

Pemilikan rumah, pelajar ketinggalan: trend membimbangkan masyarakat Melayu/Islam, kata PM Lee

SINGAPURA: Perdana Menteri Lee Hsien Loong menarik perhatian dua bidang keprihatinan utama bagi masyarakat Melayu/Islam semasa berucap dalam Bahasa Melayu di Rapat Umum Hari Kebangsaan (NDR) hari ini (29 Ogos).

Menurut PM Lee ia berkaitan isu pemilikan rumah dan pendidikan bagi segolongan pelajar yang ketinggalan.

Berhubung isu pemilikan rumah, beliau berkata tumpuan harus diberikan kepada kadar semakin meningkat membabitkan orang Melayu yang tinggal di flat sewa.

Merujuk kepada sebahagian pasangan muda yang berkahwin dan ingin berdikari sebelum mereka bersedia untuk membeli flat, keadaan mereka kata Encik Lee tidak begitu membimbangkan.

Tetapi keadaan sebaliknya bagi mereka yang mengalami perubahan mendadak dalam situasi keluarga atau kewangan mereka.

"Ada pula yang menghadapi cabaran-cabaran rumit hingga sukar untuk merancang bagi masa depan mereka," kata PM Lee.

Pemerintah katanya akan memberikan sokongan penuh kepada masyarakat Melayu/Islam yang menetap di flat-flat sewa untuk menjadi pemilik rumah.


Blok rumah sewa.

Ini kerana, memiliki flat HDB sendiri tambah beliau bukan setakat mempunyai tempat berteduh. Ia juga membantu warga Singapura membina masa depan yang cerah.

"Kita mesti tingkatkan kesedaran bahawa flat sewa hanyalah huraian sementara. Kita mesti galakkan keluarga-keluarga di flat sewa memantapkan pendapatan, agar mereka boleh memiliki rumah sendiri dan maju seiring dengan masyarakat," tegas Encik Lee.

Dalam hal ini PM Lee menekankan pentingnya usaha-usaha di peringkat masyarakat.

Beliau merujuk kepada Projek DIAN@M³ yang akan membantu lebih banyak keluarga Melayu/Islam memanfaatkan program sokongan Pemerintah dan menjadi pemilik rumah.

"Pemerintah akan memberikan sokongan penuh kepada mereka," kata PM Lee.

Projek DIAN@M³ akan dilancarkan pada suku keempat tahun ini.

SOKONG PELAJAR KETINGGALAN

PM Lee turut menekankan perlunya untuk memberi tumpuan kepada pelajar yang ketinggalan.

Ini kerana, pendidikan tegas beliau adalah kunci dalam usaha membina sebuah masyarakat yang inklusif dan membolehkan setiap orang maju bersama.

"Dengan membantu mereka yang pada mulanya ketinggalan, kita menjayakan dasar meritokrasi dan maju bersama sebagai satu rakyat," kata PM Lee.

Salah satu usaha Pemerintah adalah UPLIFT, yang diterajui Menteri Kedua Pendidikan Dr Maliki Osman.

Pasukan bertindak itu menggandingkan agensi Pemerintah dengan rakan kerjasama di peringkat masyarakat dan menyediakan bantuan awal dan berterusan bagi pelajar kurang bernasib baik daripada semua kaum meningkatkan pencapaian pendidikan mereka.


Gambar hiasan para pelajar yang menyertai Skim Tuisyen Mendaki. (Gambar: MENDAKI)

Menurut PM Lee, penting bagi badan-badan Melayu/Islam dan rangkaian M³, untuk saling melengkapi usaha-usaha ini.

"Saya gembira melihat para pelajar meraih manfaat daripada program-program nasional dan masyarakat kita," katanya.

PM Lee memberi contoh seorang graduan politeknik, bernama "Siti"dan adik-adiknya yang menerima sokongan beberapa agensi Pemerintah dan badan masyarakat sepanjang tempoh persekolahan mereka.

SOKONGAN PADU PELBAGAI PIHAK BUAHKAN HASIL

Siti dan adik-adiknya dimasukkan ke Pusat Jagaan Pelajar dengan subsidi ComCare, yang memupuk tabiat dan rutin harian yang baik.

Siti sendiri menerima sokongan skim TTFS MENDAKI semasa di politeknik. Salah seorang adik Siti pula menerima sokongan akademik tambahan bagi Bahasa Inggeris dan Matematik melalui Program Tuisyen Kerjasama antara badan-badan bantu diri, kongsi PM Lee dalam ucapannya.

Tahun lalu, ibu bapa Siti kehilangan pekerjaan akibat tamparan COVID-19.

AMP Singapura memberi bantuan tambahan untuk memenuhi keperluan pendidikan Siti dan adik-adiknya sementara ibu bapa mereka memantapkan pendapatan keluarga. Ibu bapa mereka juga dibimbing AMP untuk tingkatkan kemahiran yang membolehkan mereka berdikari semula.

Berkat sokongan padu dan menyeluruh daripada pelbagai pihak, adik-adik Siti maju di sekolah. Bahkan mereka menerima beberapa biasiswa dan anugerah kerana cemerlang dari segi akademik dan perwatakan, kata PM Lee.

"Pengalaman Siti sekeluarga menunjukkan bahawa sekitaran penjagaan dan sokongan yang membina, berjaya menghasilkan kesan yang besar dalam mutu kehidupan mereka.

"Sedang kita mara ke hadapan sebagai sebuah masyarakat inklusif, penting untuk kita memiliki kematangan antara kaum dan membuat penyesuaian demi keperluan satu sama lain. Sama penting ialah meningkatkan semangat saling membantu, seperti sepanjang pandemik ini, khususnya bagi golongan yang memerlukan.

"Marilah kita bersatu padu, saling membantu dan erat bermuafakat, bagai aur dengan tebing. Dengan itu kita akan terus teguh, makmur dan bersinar, dan mencapai impian kita bersama, sebagai satu rakyat, satu bangsa, satu Singapura!" ujar PM Lee. 

- BERITAmediacorp/NK/nk

Top