Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pemerintah perkenal undang-undang baru basmi diskriminasi di tempat kerja

Satu set garis panduan tentang diskriminasi di tempat kerja akan dijadikan sebagai undang-undang untuk memberikan lebih banyak kuasa kepada pihak berkuasa, di samping memperluaskan bidang kuasa yang boleh dikenakan terhadap syarikat-syarikat tidak bertanggungjawab yang melanggar undang-undang itu.

Anggaran Waktu Membaca:
Pemerintah perkenal undang-undang baru basmi diskriminasi di tempat kerja

Para pekerja kelihatan di Raffles Place semasa waktu makan tengah hari pada 2 Jun 2020. (Gambar: Jeremy Long)

Diterbitkan : 29 Aug 2021 11:53PM Dikemas Kini : 29 Aug 2021 11:56PM

SINGAPURA: Satu set garis panduan tentang diskriminasi di tempat kerja akan dijadikan sebagai undang-undang untuk memberikan lebih banyak kuasa kepada pihak berkuasa, di samping memperluaskan bidang kuasa yang boleh dikenakan terhadap syarikat-syarikat tidak bertanggungjawab yang melanggar undang-undang itu.

Mengumumkan demikian pada Ahad (29 Ogos) semasa menyampaikan ucapan sempena Rapat Umum Hari Kebangsaan, Perdana Menteri Lee Hsien Loong berkata undang-undang sedemikian akan membantu melindungi para pekerja daripada sebarang diskriminasi berkaitan kerakyatan, usia, kaum, jantina dan ketidakupayaan.

Menyifatkannya sebagai "langkah penting", PM Lee menambah: "Ia menunjukkan bahawa kita tidak bertolak ansur terhadap sebarang bentuk diskriminasi di tempat kerja."

"Hakikatnya, kita berharap dapat terus bekerja dalam cara yang serupa seperti hari ini, cuma lebih baik lagi. Kita masih harus menyelesaikan pertikaian di tempat kerja secara tidak formal dan secara berhemah, jika boleh."

Meskipun Pemerintah sedang mengambil langkah-langkah untuk melindungi para pekerja daripada diskriminasi, PM Lee menggesa rakyat Singapura supaya bersikap terbuka untuk tinggal bersama dan menerima orang lain yang "tidak sama seperti kita".

Pada masa yang sama, warga asing yang datang ke sini mesti juga "menerima etos dan norma masyarakat kita dan berusaha untuk menyesuaikan diri," katanya, sambil menarik perhatian kepada sebahagian besar pemegang pas kerja dan keluarga mereka yang dapat menyesuaikan diri dengan masyarakat Singapura.

"Kita perlu meredakan pergeseran sosial yang timbul dari "sekalipun sama tetapi berbeza". Kedua-dua pihak perlu saling berusaha."

KEKAL TERBUKA

Langkah untuk menguatkuasakan undang-undang terhadap diskriminasi di tempat kerja dilakukan setelah seruan berulang kali dibuat oleh para Anggota Parlimen supaya amalan pengambilan pekerja yang lebih adil dilaksanakan di sini melalui piawai dan amalan jabatan sumber manusia yang dipertingkatkan dan hukuman serta tindakan penguatkuasaan yang lebih tegas terhadap syarikat-syarikat yang mempunyai amalan pengambilan pekerja yang bersikap diskriminasi.

Menteri Tenaga Manusia Tan See Leng dan Menteri Kesihatan Ong Ye Kung baru-baru ini menyampaikan kenyataan menteri di Parlimen yang membentangkan tentang perjanjian perdagangan bebas dan khususnya, Perjanjian Kerjasama Ekonomi Menyeluruh India-Singapura (CECA).

Ini menyusuli keprihatinan yang meningkat sekiranya dengan membawa masuk tenaga kerja asing dan jika Singapura memeterai perjanjian perdagangan dengan negara-negara lain, ia akan menggugat kepentingan rakyat di sini.

Dalam ucapannya di Rapat Umum Hari Kebangsaan, PM Lee berkata bahawa keprihatinan itu adalah berdasarkan pengalaman yang dilalui oleh para individu, yang "bersifat lebih peribadi dan beremosi" dan ia berkaitan dengan kebimbangan sekiranya mereka terpaksa bersaing dengan para pemegang pas kerja untuk mendapatkan pekerjaan dan peluang di tempat kerja.

Walaupun keprihatinan terhadap pekerja hijrahan merupakan satu "topik sensitif" untuk dibentangkan di Rapat Umum Hari Kebangsaan, PM Lee berpendapat adalah penting untuk memahami isu-isu itu bagi menangani "keprihatinan rakyat Singapura dan meredakan sebarang kebencian terhadap warga asing".

TRIBUNAL BARU AKAN DITUBUHKAN

Sebuah tribunal baru akan ditubuhkan untuk menangani kes-kes berkaitan diskriminasi di tempat kerja yang tertakluk di bawah undang-undang baru itu, kata PM Lee.

Tribunal itu akan akan dimodelkan berdasarkan pendekatan Pemerintah dalam menangani pertikaian berkaitan tuntutan gaji dan pemecatan yang salah di bawah Tribunal Tuntutan Pekerjaan

Sumber : Today/HA/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan