Skip to main content

Iklan

Iklan

Pemerintah peka terhadap keperluan & aspirasi masyarakat, kata 3 badan Melayu/Islam ini

Langkah Pemerintah membenarkan para pekerja jagaan kesihatan Islam memakai tudung adalah satu perkembangan yang sangat penting.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Langkah Pemerintah membenarkan para pekerja jagaan kesihatan Islam memakai tudung adalah satu perkembangan yang sangat penting.

Ini kerana ia dengan jelas menunjukkan bahawa Pemerintah memahami dan bersikap responsif terhadap keperluan dan aspirasi masyarakat Melayu/Islam di sini.

Ini menurut Ketua Eksekutif Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) Esa Masood dalam satu rakaman video khas yang turut mendedahkan bahawa MUIS bekerja rapat dengan Kementerian Kesihatan (MOH) dan agensi-agensi relevan yang lain untuk memberikan pandangan kepada pelaksanaan dasar itu yang bertujuan untuk membolehkan para petugas jagaan kesihatan yang beragama Islam untuk memakai tudung.

MUIS: PEMERINTAH PEKA TERHADAP KEPERLUAN DAN ASPIRASI MASYARAKAT

Sehubungan itu, katanya lagi, Pejabat Mufti juga sudah berjumpa dan mendapatkan pandangan para asatizah sejak Pemerintah memberikan isyarat tentang kemungkinan dasar itu dilaksanakan.

"Mereka sangat menyokong dan bersyukur akan perubahan ini," kata Encik Esa Masood.

Dalam pada itu, beliau juga menyeru masyarakat supaya memberikan sokongan kepada para petugas jagaan kesihatan sepanjang pelaksanaan perubahan itu.

"Dalam melaksanakan satu-satu perubahan dasar terutamanya perubahan yang sangat penting seperti ini, ada kemungkinan timbulnya beberapa cabaran yang perlu ditangani dengan hati-hati.

"Jadi marilah kita terus memberi sokongan kepada para pekerja penjagaan kesihatan sepanjang pelaksanaan perubahan ini agar mereka dapat terus menjalankan tugas secara profesional dan berdedikasi seperti yang mereka lakukan selama ini," kata Encik Esa Masood.

Pengumuman Perdana Menteri semalam turut disambut baik oleh badan-badan Melayu/Islam lain yang melahirkan penghargaan kepada Pemerintah atas keputusan itu.

PPIS: USAHA BANTU PUPUK TEMPAT KERJA KONDUSIF, MEMBINA BAGI KAUM WANITA

Selain memupuk perpaduan sosial, langkah mengizinkan jururawat Islam bertudung turut menyumbang kepada usaha membentuk tempat kerja yang membina untuk semua, terutama sekali kaum wanita.

Demikian menurut Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS) hari ini.

Menurut Presiden PPIS Hazlina Abdul Halim, langkah itu akan memanfaatkan lebih 7,000 jururawat Muslimah dalam sektor kesihatan yang diberi pilihan untuk memakai tudung dengan seragam mereka.

"Kami di PPIS sama seperti masyarakat serata Singapura sangat bergembira dan bersyukur atas pengumuman terkini pemerintah yang meluaskan lagi peluang pekerjaan buat masyarakat kami. Dan ini menunjukkan satu kemajuan dari segi menawarkan tempat kerja yang inklusif.

"Langkah ini memupuk persekitaran kerja yang kondusif yang membina agar wanita dapat bersaing dan dapat terus maju. Unsur-unsur identiti umpamanya seperti jantina dan agama seharusnya tidak menjejas mutu pekerjaan mahupun mutu persahabatan," kata Presiden PPIS Hazlina Halim.

AMP: SEGALA USAHA DAN PENAT LELAH MEMBUAHKAN HASIL YANG BAIK

Seperti pihak-pihak berkepentingan Melayu/Islam yang lain, pengumuman pada Ahad itu juga merupakan satu keputusan yang dinanti-nantikan ramai.

"Kami menerima baik keputusan Pemerintah untuk membenarkan mereka yang ingin memakai tudung di sektor awam bagi jururawat dan kami berasa lega kerana segala usaha dan penat lelah mereka yang bekerja di sebalik tabir termasuk AMP telah membuahkan hasil baik untuk semua," kata Anggota Lembaga AMP Encik Khairulnizam Massuan.

Sumber : BERITA Mediacorp/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan