Skip to main content

Iklan

Iklan

Pekerja penghantaran harap dapat faedah perubatan, cuti tapi adakah pelanggan mahu tanggung kos?

 Meskipun faedah-faedah untuk para pekerja penghantaran boleh dilaksanakan, ia akan menyebabkan kos lebih tinggi yang kemudian perlu ditanggung oleh para pelanggan.

Anggaran Waktu Membaca:
Pekerja penghantaran harap dapat faedah perubatan, cuti tapi adakah pelanggan mahu tanggung kos?

Para pekerja penghantaran menantikan tempahan makanan. (Gambar: Nuria Ling/TODAYonline)

Diterbitkan : 31 Aug 2021 01:04PM Dikemas Kini : 31 Aug 2021 01:11PM

SINGAPURA: Meskipun faedah-faedah untuk para pekerja penghantaran boleh dilaksanakan, ia akan menyebabkan kos lebih tinggi yang kemudian perlu ditanggung oleh para pelanggan.

Demikian menurut para pakar ekonomi yang dihubungi Mediacorp.

Kebajikan para pekerja penghantaran adalah antara isu yang dikemukakan oleh Perdana Menteri Lee Hsien Loon dalam Rapat Umum Hari Kebangsaan pada Ahad (29 Ogos). PM Lee berkata para pekerja bebas seperti mereka tidak mempunyai kontrak pengambilan pekerja dengan penyedia-penyedia khidmat online seperti Foodpanda, Grab dan Deliveroo.

Oleh itu, mereka kurang perlindungan asas yang dinikmati kebanyakan pekerja seperti pampasan kecederaan di tempat kerja, perwakilan kesatuan dan sumbangan majikan kepada Tabung Simpanan Pekerja (CPF).

Beliau juga menarik perhatian lebih ramai orang yang memilih untuk bekerja dalam ekonomi gig (pekerjaan sementara), terutamanya sewaktu pandemik COVID-19.

Kementerian Tenaga Manusia (MOM) sudahpun membentuk sebuah jawatankuasa penasihat bagi mengkaji bagaimana untuk menyokong mereka yang bekerja sendiri bagi platform-platform online.

Dalam satu catatan Facebook pada Isnin (30 Ogos), Dr Koh Poh Koon, Menteri Kanan Negara bagi Tenaga Manusia, berkata bahawa jawatankuasa tersebut "akan mempertimbangkan untuk mengukuhkan perlindungan bagi golongan pekerja sedemikian, seperti meningkatkan kecukupan dalam persaraan dan perumahan, memastikan pampasan mencukupi bagi kecederaan di tempat kerja dan membenarkan perwakilan kesatuan".

PERLINDUNGAN PERUBATAN, HARI CUTI, CPF ANTARA KEPRIHATINAN

Seorang pekerja penghantaran, Encik Rey, berkata bahawa salah satu perkara yang menjadi keprihatinan adalah mereka tidak dibayar pada hari cuti seperti pekerja sepenuh masa.

Oleh itu, kebanyakan pekerja penghantaran sepertinya tidak banyak mengambil hari cuti supaya mereka boleh mencari pendapatan lebih.

"Apabila para penghantar penat, mereka memerlukan rehat selama dua hingga tiga hari," kata individu 32 tahun itu. "(Tetapi) mereka hanya ambil cuti sehari dan kemudian pada minggu-minggu selanjutnya, mereka mungkin kemalangan kerana mereka amat letih."

Seorang lagi penghantar makanan, Encik Zhang, berkata oleh sebab tiada kontrak pengambilan pekerja, syarikat-syarikat penghantaran boleh menentukan harga pada bila-bila masa dan mengeluarkan penghantar daripada platformnya "tanpa perlu menjelaskan tindakan mereka".

Encik Ali pula menyambut baik keprihatinan PM Lee bahawa para pekerja penghantaran mungkin kurang duit simpanan apabila mereka bersara kelak kerana mereka tidak menyumbang kepada CPF sewaktu bekerja dalam ekonomi gig.

Beliau sendiri, meskipun sudah 60 tahun, tidak mempunyai wang simpanan dalam akaun CPF kerana banyak bekerja kontrak sepanjang hidupnya.

"Saya tidak ada CPF. Oleh itu saya harus terus bekerja," kata beliau. "Saya bimbang tentang anak muda (yang bekerja sepertinya). Mereka mungkin tidak ada sebarang CPF pada masa hadapan."

Namun, Encik Rey pula berkata tidak semua pekerja penghantaran dalam kalangan golongan muda mahu menyumbang kepada CPF kerana ia bermakna mereka membawa pulang pendapatan lebih rendah.

"Bantuan dari segi subsidi perubatan, hari cuti berbayar dan insurans kenderaan adalah lagi baik."

ADA PIHAK HARUS TANGGUNG KOS

Ahli-ahli ekonomi berkata meskipun memberi lebih banyak perlindungan kepada pekerja bebas boleh dilaksanakan, kosnya mungkin akan ditanggung para peniaga dan pelanggan.

Profesor Madya Ekonomi Walter Theseira dari Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS) berkata pihak berkuasa boleh mewujudkan kategori perundangan yang berlainan bagi para pekerja sedemikian.

Kategori baru itu mungkin memerlukan para pekerja tersebut mendapat "faedah minimum" seperti hak perubatan dan cuti kerja.

Meskipun hak-hak itu mungkin sukar dikendalikan untuk para pekerja penghantaran, mereka boleh dianggap sebagai pekerja kontrak separuh masa, di mana amalan biasa adalah dengan membayar wang untuk menggantikan faedah seperti hari cuti.

Bagi jaminan persaraan dan pendapatan, sumbangan kepada CPF boleh diwajibkan ke atas pekerja-pekerja sedemikian.

Salah satu cara adalah dengan mewajibkan platform-platform online untuk memperuntukkan sebahagian daripada jumlah daripada setiap urus niaga dan menyalurkannya secara langsung kepada akaun CPF pekerja bebas itu, saran Profesor Madya Theseira.

Namun, meskipun proses-proses tersebut boleh dilaksanakan, Cik Selena Ling, ketua kajian dan strategi perbendaharaan bank OCBC, berkata bahawa "langkah menjadikan faedah-faedah tersebut sebagai satu norma" akan membebani para peniaga dan pelanggan.

Misalnya, jika platform-platform online mahu terus membayar para pekerja apabila mereka sakit atau mengambil cuti, ini mungkin akan menyebabkan yuran platform dinaikkan bagi cawangan-cawangan makanan dan minuman, yang mungkin perlu ditanggung oleh para pelanggan.

"Tidak ada benda yang percuma. Setiap sesuatu akan ada kosnya," kata beliau. "Jika kos tersebut dipindahkan kepada para pelanggan, adakah ini sesuatu yang mahu mereka bayar?"

Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan