Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pekerja penghantaran alu-alukan komen PM Lee tentang cabaran, harapan bagi perubahan

 Para pekerja penghantaran mengalu-alukan komen yang dibuat oleh Perdana Menteri Lee Hsien Loong, mengakui cabaran yang dihadapi mereka dan berkata bahawa lebih banyak boleh dilakukan untuk meningkatkan mata pencarian mereka. 

Anggaran Waktu Membaca:
Pekerja penghantaran alu-alukan komen PM Lee tentang cabaran, harapan bagi perubahan

Motosikal para pekerja penghantaran diletakkan di luar Century Square pada 17 Mei 2021. (Gambar fail: Gaya Chandramohan)

Diterbitkan : 01 Sep 2021 09:16AM Dikemas Kini : 01 Sep 2021 09:20AM

SINGAPURA: Para pekerja penghantaran mengalu-alukan komen yang dibuat oleh Perdana Menteri Lee Hsien Loong, mengakui cabaran yang dihadapi mereka dan berkata bahawa lebih banyak boleh dilakukan untuk meningkatkan mata pencarian mereka.

Menurut sesetengah pihak, saranan seperti sumbangan Tabung Simpanan Pekerja (CPF), perwakilan kesatuan dan gaji asas antara cara yang mungkin boleh meringankan beban mereka.

Dalam ucapan Rapat Umum Hari Kebangsaan beliau pada Ahad (29 Ogos), Encik Lee menyentuh tentang kebajikan pekerja penghantaran.

Beliau menarik perhatian bahawa para pekerja itu "kekurang perlindungan asas pekerjaan" yang dinikmati kebanyakan pekerja kerana mereka tidak mempunyai kontrak pekerjaan dengan wadah online yang menjadi mata pencarian mereka.

Penting untuk menangani isu tersebut untuk memberikan mereka masa hadapan lebih terjamin, kata Encik Lee. Kementerian Tenaga Manusia (MOM) sedang meneliti isu itu dan akan membuat rundingan, tambah beliau.

Pekerja penghantaran GrabFood. (Gambar fail: TODAY)

Encik Muhammad Ruzhael Marwazi, seorang pekerja penghantaran separuh masa bersama Grab, berkata beliau berasa gembira bahawa pekerja penghantaran diiktiraf atas sumbangan mereka.

“Sejujurnya saya agak tersentuh. Ini kerana selepas COVID-19 melanda, orang ramai mula berkata: "Oh pekerja penghantaran, andalah wira kita.' Ada satu perubahan besar dalam cara bagaimana orang ramai melihat pekerja penghantaran tetapi pada akhirnya, tidak banyak yang dilakukan. Kami masih menempuhi cabaran yang sama... tiada apa yang berubah."

Filem pendek Encik Ruzhael, Kejar, yang memenangi anugerah dan berkisar tentang seorang pekerja penghantaran, dipetik oleh PM Lee dalam ucapannya. Filem itu diarahkan oleh seorang pelajar tahun kedua di Kolej Tengah Institut Pendidikan Teknikal (ITE), yang bekerja sebagai pekerja penghantaran separuh masa sejak beliau berusia 18 tahun.

Seorang lagi pekerja penghantaran, yang hanya ingin dikenali sebagai Encik Zheng, memberitahu Mediacrop beliau menantikan untuk melihat "perubahan positif" menyusuli komen Encik Lee.

“Baguslah pekerja penghantaran diiktiraf dan Pemerintah ada rancangan untuk meningkatkan kesejahteraan pekerja penghantaran," kata beliau. "(Saya) menantikan untuk melihat perubahan positif dalam sektor itu tanpa menjejas pendapatan pekerja penghantaran dan kelonggaran kerja.

Satu perkara yang boleh dipertingkat adalah menerusi pembentukan sebuah kesatuan, kata Encik Zheng.

Memandangkan pekerja penghantaran bukanlah pekerja kontrak, mereka tidak mempunyai kesatuan tersendiri.

Bagaimanapun, mereka berada di bawah naungan Persatuan Teraju Penghantaran Nasional (NDCA), yang mewakili pekerja bebas yang meraih sumber pendapatan utama melalui penghantaran makanan atau bungkusan, tanpa mengira mod pengangkutan.
“Perwakilan persatuan mungkin membantu untuk menyuarakan keprihatinan pekerja penghantaran yang berada di lapangan pada setiap masa," kata Encik Zheng.

"Bagaimanapun, kesatuan itu seharusnya terdiri daripada pekerja penghantaran sendiri kerana mereka benar-benar memahami pekerjaan sebagai seorang pekerja penghantaran dan boleh bercakap bagi pihak rakan sekerja."

Rakan-rakan penghantaran Grab. (Gambar: AFP/Roslan Rahman)

Dalam satu catatan Facebook pada Isnin (30 Ogos), Menteri Negara Kanan Tenaga Manusia Koh Poh Koon berkata sebuah jawatankuasa penasihat sudahpun dibentuk bagi mengkaji bagaimana untuk menyokong individu yang bekerja sendiri, yang bekerja untuk wadah online, pemandu kereta sewa privet serta pemandu teksi.

“Jawatankuasa penasihat itu akan meneliti cara memperkukuhkan perlindungan bagi kumpulan pekerja ini seperti kecukupan persaraan dan perumahan mereka, memastikan pampasan mencukupi bagi kecederaan di tempat kerja dan membenarkan perwakilan kesatuan," ujar Dr Koh.

“Ini adalah untuk memastikan hubungan lebih adil dan lebih seimbang antara platform dengan pekerja platform."

Encik Zheng, seorang pekerja penghantaran separuh masa yang bekerja untuk beberapa wadah penghantaran makanan, berkata kekurangan sumbangan CPF adalah satu aspek kurang baik dalam pekerjaannya. Namun, beliau juga menarik perhatian bahawa sesetengah pekerja penghantaran memerlukan wang tunai untuk perbelanjaan harian dan sumbangan CPG mungkin menjejas perkara itu.

Pekerja penghantaran sepenuh masa Chung Thi Yen pula menarik perhatian bahawa pilihan bagi sumbangan CPF daripada kedua-dua pekerja dan majikan boleh membawa manfaat. Ini terutama sekali memandangkan kedua-dua Cik Chung dan suaminya ialah pekerja penghantaran.

“Meskipun pekerjaan ini memberikan kami kelonggaran, CPF membolehkan seseorang untuk menabung wang yang boleh digunakan untuk membiayai bil perubatan," terangnya.

Para pekerja penghantaran yang diwawancara Mediacorp juga menarik perhatian tentang ketidaktentuan dalam permintaan pesanan dan mencadangkan agar diadakan jaminan pendapatan minimum harian bagi setiap pekerja penghantaran.

“Pada hari-hari tertentu, pendapatan merosot 30 hingga 40 peratus walaupun tempoh bekerja sama. Satu jaminan pendapatan minimum harian adalah baik untuk mengimbangi 'hari buruk' pekerja penghantaran," kata Encik Zheng.

Encik Ruzhael bersetuju dengan Encik Zheng. Beliau berkata pendapatan boleh menjadi "sangat tidak konsisten".

“Anda mungkin dapat S$100 hari ini tetapi meraih S$80 esok...Jadi jika Pemerintah boleh membantu untuk mengimbanginya agar pekerja sepenuh masa boleh memperolehi jumlah asas yang baik untuk mereka bertahan, itu bagus," ungkapnya.

Dalam respons kepada pertanyaan Mediacorp. Grab menyatakan ia menyokong langkah-langkah yang diumumkan PM Lee baru-baru ini. Grab sudahpun membincangkan isu-isu seumpama itu bersama Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) Kementerian Tenaga Manusia (MOM).

“Sedang kami berbincang lanjut tentang bagaimana kami kaan meningkatkan perlindungan bagi kumpulan pekerja ini, kami perlu mencari jalan untuk bekerja dalam perikatan tiga pihak untuk mengambil kira sifat unik pekerja 'gig' dan perlindungan industri sedia ada," kata seorang jurucakap Grab.

Pekerja 'gig' atau pekerja bebas menikmati banyak kelonggaran yang tidak dimiliki pekerja lain, menurut Grab. Ini termasuk bekerja untuk pelbagai wadah, berhenti kerja pada bila-bila masa dan menentukan waktu kerja mereka sendiri.

Satu set piawai yang dikongsi seluruh industri mungkin memastikan pekerja itu menerima perlindungan serupa sekalipun jika mereka bertukar-tukar syarikat, tambah jurucakap itu.

Deliveroo menyatakan pekerja penghantaran adalah "rakan kongsi penting" dalam perniagaannya dan kebajikan mereka adalah "keutamaan tertinggi" syarikat.

"Kami sentiasa terbuka kepada idea baru tentang memperkukuhkan pendampingan pekerja penghantaran. Bagaimanapun, sebarang mekanisme seumpama itu harus menghormati hakikat bahawa pekerja penghantaran adalah pekerja yang bekerja sendiri dan ramai yang mahu kekal sedemikan," menurutnya.

Gambar fail seorang penghantar makanan Foodpanda menunggang basikal (Gambar: TODAY)

Foodpanda juga menyatakan pekerja penghantarannya menghargai "kelonggaran dan kebebasan" yang hadir bersama "model bekerja bebas (gig)".

"Kehilangan pekerjaan jauh lebih tinggi berbanding tahun-tahun lain disebabkan pandemik dan kami dapat memberikan peluang mencari pendapatan sementara untuk ribuan pekerja yang diberhentikan. Kelonggaran yang kami tawarkan kepada individu untuk masuk dan keluar daripada pekerjaan bebas ini menjadi kunci talian hayat bagi pekerja yang diberhentikan untuk mencari bantuan pendapatan sementara yang genting ketika pasaran pekerjaan tidak menentu." 

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan