Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Para AP Melayu/Islam: Rebut peluang pekerjaan dan naik taraf yang disediakan

Isu pekerjaan: Pemimpin masyarakat boleh bekerjasama dengan pemerintah untuk dekati para pekerja Melayu demi bantu mereka raih peluang yang disediakan untuk keluar daripada kemelut pandemik hari ini, kata Dr Maliki Osman. 

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Dalam merebut peluang pekerjaan dan menaik taraf kehidupan, penting untuk anggota masyarakat terus memanfaatkan peluang yang disediakan Pemerintah.

Ini terutama sekali untuk keluar daripada belenggu pandemik COVID-19.

Demikian kata para Anggota Parlimen Melayu/Islam dalam sesi dialog anjuran MESRA Persatuan Rakyat yang diadakan pada Rabu (8 Sep). Dialog itu, yang membincangkan inti Rapat Umum Hari Kebangsaan baru-baru ini, dipimpin Menteri Kedua Pendidikan merangkap Ehwal Luar, Dr Mohd Maliki Osman.

Merumuskan sesi tersebut kepada media kemudian, Dr Maliki dan rakan Anggota Parlimen Saktiandi Supaat berkata para peserta begitu prihatin akan isu-isu pekerjaan.

Ia termasuklah khuatir bagaimana para pekerja ekonomi 'gig' - seperti kerja sambilan atau kerja fleksibel - serta pekerja bergaji rendah dapat bertakat dalam sekitaran ekonomi yang berubah-ubah pada masa akan datang.

Semasa Rapat Umum Hari Kebangsaan lebih seminggu lalu, Perdana Menteri Lee Hsien Loong mengumumkan pelbagai langkah bagi menyokong pekerja bergaji rendah termasuk peluasan Model Gaji Progresif kepada lebih banyak sektor termasuk bagi para pemandu.

Pekerja penghantaran juga mahu diberi perlindungan, manakala dalam soal diskriminasi pula, para pekerja tempatan akan lebih dilindungi dan majikan yang mengamalkan diskriminasi akan dihukum menerusi Perikatan Tiga Pihak bagi Amalan Pekerjaan Adil dan Progresif (TAFEP).

"Paling ketara adalah bagaimana TAFEP dan garis panduan boleh dipertingkatkan sama ada undang-undang yang diutarakan tentang antidiskriminasi akan memberi kesan kepada masyarakat kita dan sama ada ia akan memberi peningkatan kepada Singapura secara amnya," kata Encik Saktiandi yang merupakan AP GRC Bishan-Toa Payoh.

Menambah, Dr Maliki akur bahawa ramai yang bertanya tentang keberkesanan TAFEP.

Namun umumnya kata beliau, para peserta "akur akan situasi di luar sana di mana keadaan pekerjaan yang kurang menentu" kerana keadaan ekonomi hari ini.
Lantaran itulah Dr Maliki mengajak para peserta supaya melihat peluang-peluang sedia ada walaupun dalam keadaan pandemik hari ini.

"Pemerintah telah melakarkan program-program yang memastikan ekonomi kita terus berkembang dan tersedia ada peluang untuk masyarakat.

"Jadi bagaimana kita sebagai satu masyarakat, mereka sebagai pemimpin masyarakat boleh bekerjasama dengan pemerintah untuk mendekati para pekerja kita dan anggota masyarakat kita untuk mereka meraih peluang yang disediakan dan kita keluar daripada kemelut pandemik hari ini," tambah Dr Maliki.

BERI SOKONGAN KEPADA KELUARGA MUDA DI FLAT SEWA

Menurut Dr Maliki lagi, para peserta dialog itu juga prihatin tentang bagaimana keluarga-keluarga muda yang menginap di flat-flat sewa boleh dibantu.

PM Lee sudahpun melahirkan kebimbangannya betapa semakin meningkatnya kadar orang Melayu yang tinggal di flat-flat sewa.

"Ramai mengatakan yang penting untuk kita fahami keluarga-keluarga muda ini, bagaimana kita boleh membantu mereka untuk memiliki rumah mereka, apakah isu pekerjaan mereka, apakah isu pendapatan merupakan cabaran-cabaran mereka hari ini. Jadi kita harap ini juga akan dapat dibawa ke hadapan dalam kita terus mendekati anggota masyarakat kita," ujar Dr Maliki.

Sesi kedua daripada tiga sesi dialog itu disertai sekitar 200 aktivis masjid dan badan-badan Melayu/Islam.

Sesi dialog terakhir akan dijalankan pada Jumaat (10 Sep) dan akan disertai anggota panel termasuk Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga merangkap Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Masagos Zulkifli, Menteri Negara Kanan Tenaga manusia merangkap Pertahanan Zaqy Mohamad dan Datuk Bandar CDC Tenggara Fahmi Aliman. 

Sumber : BERITA Mediacorp/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan