Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

MOH, hospital dalam proses hurai bagaimana tudung boleh dipakai dalam pelbagai situasi berbeza

Kementerian Kesihatan (MOH) kini dalam proses menghuraikan bagaimana tudung boleh dikenakan para jururawat dalam situasi-situasi berbeza. Ini sedang pelbagai persiapan dilakukan sebelum para jururawat dibolehkan memakai tudung pada 1 November.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Kementerian Kesihatan (MOH) kini dalam proses menghuraikan bagaimana tudung boleh dikenakan para jururawat dalam situasi-situasi berbeza. Ini sedang pelbagai persiapan dilakukan sebelum para jururawat dibolehkan memakai tudung pada 1 November.

Contohnya, adakah jururawat boleh memakai tudung sendiri? Atau mereka perlu memakai tudung yang disediakan pihak hospital?

Semua itu masih dibincangkan, jelas Setiausaha Parlimen Kesihatan Rahayu Mahzam ketika diminta mengulas tentang perincian lanjut pengumuman PM Lee pada Ahad (29 Ogos). Beliau mengumumkan, jika mahu, para jururawat Muslim diberi lampu hijau memakai tudung bermula November nanti.

Cik Rahayu, yang juga Anggota Parlimen GRC Jurong, berkata bahawa perbincangan mengenai uniform bertudung itu berjalan secara berperingkat-peringkat.

"Kita harus faham sektor kesihatan ada pelbagai situasi (atau senario) di mana ada peraturan tertentu yang perlu dipatuhi," kata beliau.

Gambar hiasan.

"Misalnya, dalam situasi di mana ada kebimbangan tentang jangkitan. Kita harus tentukan apakah peraturan yang perlu ada untuk memastikan tidak ada pembiakan bakteria."

Cik Rahayu seterusnya memberikan satu senario untuk menggambarkan bagaimana pakaian jururawat tertakluk kepada peraturan klinikal.

Dalam situasi-situasi tertentu, para jururawat perlu mengamalkan prinsip 'bare below the elbows' (BBE). Ini bermakna, mereka tidak boleh menyarung mahupun memakai apa-apa pada bawah paras siku tangan mereka ketika bertugas.

Peraturan klinikal ini dikenakan supaya tangan jururawat yang sedang merawat pesakit, bebas kuman.

Cik Rahayu semasa sidang zoom bersama media. 

Jadi setelah garis panduan bagi pemakaian tudung dalam situasi-situasi berbeza dilakarkan, barulah butiran tentang (jenis) tudung yang boleh dipakai dapat dibincangkan.

"Seragamnya bagaimana - boleh pakai tudung sendiri? Bagaimana warnanya? Bagaimana coraknya? Walaupun mungkin butiran (seperti ini) lebih ‘remeh’ tetapi ianya penting dan harus juga diselaraskan," terang Cik Rahayu lagi.

Isu seragam seperti ini bagaimanapun akan diuruskan dan didedahkan sendiri oleh setiap hospital. Setiap hospital menurut Cik Rahayu, diberi kebebasan untuk menguruskan soal pakaian seragam para kakitangannya.

RAHAYU SEBENARNYA BOLEH BERBANGGA KERANA...

Diminta mengulas tentang kelonggaran terbaru bagi para jururawat ini, Cik Rahayu berkata ia semestinya "pengumuman yang amat dialu-alukan masyarakat kita".

Sebenarnya Cik Rahayu sendiri boleh berasa bangga apabila keputusan membenarkan tudung diambil, kerana beliau sendiri sudah beberapa kali menyentuh tentang isu tudung di Parlimen.

Gambar fail. 

Pada 2016, beliau bahkan bangkit untuk bersuara dan meminta supaya dasar tudung disemak semula agar ia boleh dipakai jururawat Muslimah.

Ini kata-kata Cik Rahayu ketika itu:

"Sebagai seorang wanita yang memakai tudung, saya pastinya berharap semua wanita boleh mengejar kerjaya pilihan mereka. Jadi saya harap (dasar) ini dapat disemak semula, kelonggaran diberikan yang mana boleh, supaya tidak akan ada terlalu banyak halangan bagi wanita untuk memilih kerjaya masing-masing.

"Namun, apabila kita meminta sesuatu daripada Pemerintah, saya harap kita, sebagai satu masyarakat, bersikap matang dan membincangkannya secara berhemah. Kita harus tahu dan daham akan ada kesan terhadap apa sahaja keputusan yang diinginkan, dalam konteks sebuah masyarakat majmuk."

Kini lima tahun kemudian, Cik Rahayu menyambut baik keputusan PM Lee yang menurutnya menunjukkan betapa perubahan boleh dicapai asalkan ada perbincangan.

"Masyarakat juga semakin matang. Bukan sahaja masyarakat Melayu/Islam, (yang lain) juga semakin terbuka, semakin faham. Mungkin lebih ramai kawan mereka memakai tudung dan mereka merasakan: Oh itu satu hak mereka. Sebab itu isu itu berubah daripada hal agama dan dimensinya kini adalah isu hak wanita," ujar Cik Rahayu.

JANGAN TIMBUL PULA DISKRIMINASI 'BARU'

Namun demikian, beliau kini juga berharap masyarakat tidak mengenakan sebarang tekanan terhadap para jururawat yang belum bersedia mengenakan tudung.

Gambar fail kakitangan kesihatan di luar Hospital Tan Tock Seng pada 30 Apr 2021 (Gambar: Roslan Rahman/AFP)

"Saya rasa yang penting sekali adalah kita benar-benar faham yang ini adalah suatu kelonggaran yang diberikan sebagai satu pilihan. Ianya 'add-on' (tambahan). Jadi timbul juga kerisauan sama ada sekarang, kalau kita sudah benarkan, nanti ada yang berasa tidak begitu selesa atau tidak mahu memakainya, dipaksa bersama untuk memakai," ulas Cik Rahayu.

"Kita harus bersikap matang ya. Jangan timbul pula satu isu di mana adanya diskriminasi atau rasa tidak senang dalam kalangan mereka yang tidak mahu memakai (tudung). Itu satu hal yang harus diberi perhatian."

Lebih penting lagi adalah, kelonggaran untuk bertudung tidak menjejas profesionalisme seseorang, kata Cik Rahayu lagi.

"Pemakaian tidak akan merubah profesionalisme seorang jururawat ataupun pekerja dalam sektor jagaan kesihatan kerana tanggungjawab mereka kepada para pesakit tetap sama dan akan dilakukan sama rata. Jadi itu yang saya harap, mesej yang dapat kita sampaikan kepada masyarakat secara umum." 

Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan