Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

Majikan sambut baik undang-undang antidiskriminasi meski bimbang pekerja mungkin ambil kesempatan

Syarikat yang sudah laksana dasar untuk elakkan diskriminasi sambut baik undang-undang baru itu. Sebilangan yang lain pula suarakan keprihatinan.

Anggaran Waktu Membaca:
Majikan sambut baik undang-undang antidiskriminasi meski bimbang pekerja mungkin ambil kesempatan

(Gambar fail: TODAY)

Diterbitkan : 31 Aug 2021 10:54PM Dikemas Kini : 31 Aug 2021 10:59PM

SINGAPURA: Sesetengah pemimpin perniagaan berkata mereka prihatin sekiranya garis panduan tentang diskriminasi di tempat kerja yang akan dijadikan sebagai satu undang-undang baru boleh menyebabkan mereka menerima aduan yang tidak munasabah daripada pekerja yang secara palsu mendakwa mereka adalah mangsa diskriminasi.

Sungguhpun demikian, mereka berpendapat bahawa langkah untuk memperkenalkan undang-undang seumpama itu memang baik niat dan matlamatnya dan tidak seharusnya menjejas banyak syarikat yang sudahpun mematuhi Garis Panduan Perikatan Tiga Pihak bagi Amalan Pekerjaan Adil dan Progresif (TAFEP).

Garis panduan itu dilancarkan pada 2007 dan dipinda pada 2011 untuk memastikan para majikan menggajikan dan mengutamakan pekerja rakyat Singapura.

Pelaksanaan undang-undang baru itu diumumkan oleh Perdana Menteri Lee Hsien Loong pada Ahad (29 Ogos) semasa menyampaikan ucapan Rapat Umum Hari Kebangsaan.

Meskipun tidak mendedahkan bila undang-undang baru itu akan dikuatkuasakan, PM Lee berkata ia akan melindungi para pekerja daripada diskriminasi berdasarkan kerakyatan, usia, kaum, jantina dan ketidakupayaan dengan memperluaskan bidang kuasa pihak berkuasa untuk mengambil tindakan yang sewajarnya terhadap syarikat-syarikat tidak bertanggungjawab yang melakukan kesalahan sedemikian.

KEBIMBANGAN MAJIKAN

Pengarah Delphic Manufacturing Solutions, Tan Ru-Ding berkata undang-undang itu mesti "dilaksanakan dengan berhati-hati, dan tidak menyebabkan syarikat bimbang akan diheret ke mahkamah kerana mengambil keputusan pihak pengurusan", seperti memberhentikan pekerja kerana menunjukkan prestasi yang buruk.

Satu lagi keprihatinan adalah sama ada undang-undang itu apabila diperkenalkan kelak, akan menghambat pengambilan bakat yang betul di Singapura.

Pengarah agensi pengambilan pekerja PeopleWorldwide, Dr Michael Heng, berpandangan keperluan untuk memastikan tempat kerja inklusif dan pelbagai mungkin bermakna kedua-dua faktor ini perlu dipertimbangkan semasa memilih pekerja, meskipun seseorang calon mungkin tidak mempunyai kemahiran yang benar-benar diperlukan.

Encik Mayank Parekh, ketua pegawai eksekutif Institut Karyawan Sumber Manusia, berkata rakan kerja perikatan tiga pihak - kesatuan, majikan dan Pemerintah - sebelum ini menolak langkah untuk menjadikan garis panduan itu sebagai satu undang-undang kerana mereka bimbang ia mungkin menjadikan persekitaran syarikat terlalu "condong kepada undang-undang".

Beliau bimbang setiap perselisihan antara majikan dan pekerja akan dibawa ke mahkamah apabila undang-undang itu dikuatkuasakan kelak.

Dalam ucapan Rapat Umum Hari Kebangsaan, PM Lee menekankan tindakan undang-undang seharusnya diambil sebagai "ikhtiar terakhir".

TANGANI DISKRIMINASI

Empat pemimpin perniagaan yang dihubungi Mediacorp berkata mereka tidak menjangkakan undang-undang baru itu akan menimbulkan sebarang masalah kerana syarikat masing-masing sudahpun melaksanakan dasar untuk menangani diskriminasi.

Encik James Lim, ketua pegawai eksekutif Helpling, berkata syarikat pemula seperti syarikatnya secara umumnya bersifat progresif dan pelbagai.

Encik Kurt Wee, presiden Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana (ASME) pula berkata begitu juga bagi kebanyakan anggotanya.

Bagi yang tidak berbuat demikian, mereka biasanya "usahawan yang lebih tua".

Walaupun mereka mungkin kelihatan mengamalkan diskriminasi dalam proses pengambilan pekerja kerana lebih cenderung memilih kaum etnik tertentu, beliau menjelaskan ia mungkin tidak berniat jahat.

Dr Heng dari agensi PeopleWorldwide berkata syarikat milik keluarga cenderung mengambil orang yang mereka kenal atas sebab saling percaya.

Encik Tan dari Delphic pula berkata kadangkala pengurus sendiri mungkin tidak perasan bahawa mereka bersikap berat sebelah di tempat kerja.

Mereka yang dihubungi Mediacorp berpendapat undang-undang yang akan diperkenalkan itu akan memaksa syarikat-syarikat untuk meneliti isu diskriminasi dengan lebih mendalam. 

LAPORAN BERKAITAN:

Sumber : Today/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan