Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

Lebih banyak pelaburan asing antara keperluan bagi S'pura kekalkan pertumbuhan jangka panjang: PM Lee

Singapura harus memelihara statusnya sebagai hab perniagaan, menarik lebih banyak pelaburan asing dan terus mengembangkan syarikat-syarikat dan usahawan tempatan supaya dapat mengekalkan pertumbuhan dalam jangka panjang, kata Perdana Menteri Lee Hsien Loong pada Ahad (29 Ogos).

Anggaran Waktu Membaca:
Lebih banyak pelaburan asing antara keperluan bagi S'pura kekalkan pertumbuhan jangka panjang: PM Lee
Diterbitkan : 29 Aug 2021 09:38PM Dikemas Kini : 30 Aug 2021 01:20AM

SINGAPURA: Singapura harus memelihara statusnya sebagai hab perniagaan, menarik lebih banyak pelaburan asing dan terus mengembangkan syarikat-syarikat dan usahawan tempatan supaya dapat mengekalkan pertumbuhan dalam jangka panjang, kata Perdana Menteri Lee Hsien Loong pada Ahad (29 Ogos).

Dalam ucapan Rapat Umum Hari Kebangsaan dalam Bahasa Inggeris, Encik Lee berkata Singapura telah mengatasi krisis ekonomi terburuk sejak kemerdekaan dengan menggembleng "setiap sumber yang ada untuk membantu pekerja dan syarikat tampil lebih teguh bersama".

Ekonomi Singapura menguncup sebanyak 5.4 peratus tahun lalu disebabkan COVID-19, namun sejak itu ia mencatatkan pertumbuhan dengan Hasil Kasar Dalam Negeri (GDP) naik 7.7 peratus berbanding tempoh yang sama tahun tahun buat pertama kalinya pada separuh pertama 2021.

PM Lee berkata dengan pandemik kini di bawah kawalan,sudah tiba masanya untuk menukar haluan dan memberi "tumpuan semula kepada masa depan".

"Ia bukan lagi tentang menggunakan rizab negara untuk membantu kita. Ia tentang menjana pertumbuhan baru, mewujudkan pekerjaan baru dan kemakmuran bagi masa depan," kata Encik Lee.

Beliau menarik perhatian bahawa ekonomi global semakin pulih dengan pasaran utama Singapura seperti Amerika Syarikat dan China mencatat pertumbuhan kukuh serta Eropah menikmati pemulihan ekonomi.

Inilah sebabnya kata beliau mengapa Kementerian Perdagangan dan Perusahaan menaikkan unjuran pertumbuhan Singapura bagi 2021 kepada antara 6 hingga 7 peratus, berbanding 4 hingga 6 peratus, sebelum ini.

Memandang ke hadapan, Singapura perlu beri tumpuan pada tiga aspek untuk mengekalkan pertumbuhan jangka panjang.

PELIHARA STATUS HAB PERNIAGAAN

Pertama, status Singapura sebagai hab perniagaan harus dipelihara.

Encik Lee menarik perhatian bahawa banyak syarikat berbilang negara (MNC) menggunakan Singapura sebagai pangkalan serantau, dengan kedua-dua pekerja tempatan dan asing melakukan perjalanan keluar masuk dari Singapura untuk melawat operasi di negara-negara lain.

Sama juga bagi ahli perniagaan tempatan, katanya.

"Jika sempadan kita ditutup terlalu lama,MNC akan mendapati kita kurang berguna kepada mereka.
Perniagaan-perniagaan Singapura juga akan terjejas dan ekonomi kita terjejas selama-lamanya," kata PM Lee.

"Jadi penting bagi kita untuk membuka sempadan dalam masa terdekat ini dan membenarkan lebih ramai orang melakukan perjalanan keluar masuk Singapura secara selamat."

TERUS PIKAT PELABUR

Kedua, Singapura harus kekal menjadi daya tarikan kepada pelabur. Dalam hal ini, Lembaga Kemajuan Ekonomi (EDB) telah berusaha untuk terus menarik lebih banyak syarikat-syarikat utama untuk melabur di Singapura meskipun semasa pandemik.

Salah satunya adalah BioNTech, yang menjalin kerjasama dengan Pfizer untuk menghasilkan vaksin COVID-19 yang digunakan di sini. Menurut syarikat bioteknologi Jerman itu ia akan membangunkan ibu pejabat serantau dan sebuah kemudahan pengeluaran di Singapura.

Syarikat-syarikat yang lain termasuk pengeluar semikonduktor GlobalFoundries yang sedang membina kilang wafer keenam, serta penyedia khidmat sidang video Zoom yang membuka sebuah pusat kajian dan pembangunan baru di sini.

Menurut EDB, lebih banyak projek sedang dalam perancangan dan kesemua pelaburan ini akan mewujudkan lebih banyak pekerjaan baik bagi rakyat Singapura, kata Encik Lee.

KEMBANGKAN SYARIKAT, USAHAWAN TEMPATAN

Ketiga, syarikat-syarikat Singapura harus berkembang dalam ekonomi baru.

Beberapa syarikat seperti syarikat pemula kereta terpakai Carro, pengeluar kerusi permainan SecretLab dan pengendali iklan dalam talian Carousell kesemuanya dikenali dalam pasaran global, kata Encik Lee.

"Enterprise Singapore akan memberi sokongan kepada lebih ramai usahawan untuk mengikuti jejak mereka, menebar sayap ke luar negara, merebut peluang baru dan mengembangkan perniagaan mereka," katanya.

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan