NDR 2021

Images
  • generic nurses
    (Gambar: Raj Nadarajan/TODAY)

Jururawat Muslim boleh pakai tudung mulai November, kata PM Lee

SINGAPURA: Mulai November ini, jururawat Muslim dalam sektor kesihatan awam dibenarkan untuk memakai tudung dengan seragam mereka, jika mereka mahu.

Demikian diumumkan Perdana Menteri Lee Hsien Loong dalam ucapan Bahasa Inggeris di Rapat Umum Hari Kebangsaan hari ini (29 Ogos).

PM Lee berkata Pemerintah berusaha untuk melaksanakan penyesuaian itu dengan teliti demi memastikan keharmonian kaum dan agama di Singapura kekal utuh.

Pemerintah juga kata beliau faham hasrat lebih ramai Muslimah untuk memakai tudung.

BAGAIMANA KEPUTUSAN DICAPAI?

Pada 2014, PM Lee mengadakan perbincangan tertutup dengan para pemimpin Melayu/Islam dan menjelaskan dasar Pemerintah bagi sektor jagaan kesihatan bukan sesuatu yang muktamad dan tidak boleh diubah.

"Kami memantau keadaan. Jika dan apabila kami mengubah pendirian, kami akan memastikan terlebih dahulu bahawa semua orang - Muslim mahupun bukan Muslim - memahami dan menerima perubahan itu. Ini kerana, tudung bukan hanya isu melibatkan masyarakat Muslim. Ia adalah isu nasional," kata PM Lee.

Sejak beberapa dekad yang lalu, lebih ramai wanita Muslim di Singapura memakai tudung baik dalam persekitaran sosial mahupun di tempat kerja.

Tahun demi tahun, perubahannya perlahan-lahan. Namun dalam tempoh satu generasi, perubahan itu semakin ketara.

Maka, kata PM Lee, Pemerintah memahami sepenuhnya hasrat lebih ramai wanita Muslim untuk memakai tudung.

"Namun, kami berhati-hati tentang bagaimana reaksi masyarakat bukan Muslim kepada perubahan ketara itu dan sejauh mana ia akan menjejas hubungan antara masyarakat berbeza.

"Adakah ia akan dilihat sebagai lebih "inklusif' atau ia menonjolkan perbezaan?" tambah PM Lee.

Hari ini, tudung dipakai dalam banyak persekitaran tanpa sekatan - di tempat awam, di tempat kerja dan di Parlimen.

Menerusi pemerhatian Pemerintah sepanjang tempoh tujuh tahun kebelakangan ini, ia mendapati interaksi antara kaum kekal baik.

"Masyarakat bukan Muslim semakin biasa melihat wanita Muslim memakai tudung. Wanita Muslim yang memakai tudung juga secara amnya selesa berinteraksi secara sosial dengan lelaki dan wanita bukan Muslim dalam kebanyakan keadaan," kata PM Lee.


Jururawat di Hospital Ng Teng Fong. (Gambar: Hospital Ng Teng Fong)

Beliau menambah, khususnya dalam persekitaran hospital, sebahagian kakitangan bukan berpakaian seragam sudahpun memakai tudung dan hubungan mereka dengan pesakit serta rakan sekeja juga baik.

Tambahan lagi, rakyat muda Singapura bersikap lebih terbuka menerima perbezaan kaum dan agama, kata PM Lee.

"Maka, beberapa bulan lalu, saya bertemu sekali lagi dengan para pemimpin Muslim. Saya mengucapkan terima kasih atas bantuan mereka dalam menangani isu sensitif itu sepanjang beberapa tahun ini. Saya memberitahu mereka bahawa kini kita sudah bersedia.

"Mulai November nanti, jururawat Muslim di sektor kesihatan awam akan dibenarkan untuk memakai tudung dengan seragam mereka, jika mereka mahu," umum PM Lee.

STATUS QUO BAGI KHIDMAT BERUNIFORM LAIN

Sekalipun demikian, PM Lee menekankan pentingnya untuk mengekalkan status quo dalam Angkatan Bersenjata Singapura (SAF), Home Team dan pasukan-pasukan beruniform lain.

Ini kerana agensi-agensi dan khidmat-khidmat tersebut berbentuk sekular dan tidak berat sebelah. Pasukan-pasukan bersenjata itu juga menegakkan undang-undang Singapura.

"Mereka mesti sentiasa dilihat melakukan demikian tanpa rasa gentar atau bersikap berat sebelah kepada mana-mana pihak. Maka itu, setiap orang mesti memakai uniform yang seragam," kata PM Lee.

Semasa mengadakan perbincangan tertutup mengenai isu tudung pada 2014, para pemimpin Muslim menjelaskan kepada PM Lee tentang pentingnya tudung kepada masyarakat Melayu/Islam dan melahirkan harapan mereka kepada Pemerintah.


Jururawat di Hospital Ng Teng Fong. (Gambar: Hospital Ng Teng Fong)

Menurut PM Lee, beliau memahami hasrat, pandangan dan aspirasi mereka. PM Lee juga menjelaskan perspektif Pemerintah dan sebab-sebab di sebalik dasar-dasar yang dilaksanakan.

"Bagi seragam sekolah, Pemerintah mempunyai sebab penting bagi peraturan-peraturan sedia ada.

"Di sekolah-sekolah nasional, semua pelajar memakai seragam yang sama, baik miskin atau kaya dan tidak mengira kaum dan agama. Kita mesti menekankan persamaan dan mengurangkan perbezaan mereka.

"Ini supaya para pelajar boleh menjalin hubungan dalam tahun-tahun pembangunan awal mereka yang akan membentuk sikap mereka sepanjang hayat," kata PM Lee.

PERTIMBANGAN BAGI SERAGAM JURURAWAT MUSLIM

Sungguhpun demikian, pertimbangannya berbeza bagi seragam jururawat.

Ini termasuk dua perspektif yang lebih seimbang - iaitu keinginan masyarakat dan juga keprihatinan Pemerintah, baik di peringkat national atau secara khusus bagi sesebuah masyarakat.

"Pesakit di hospital seringkali berasa risau dan kadangkala sakit teruk. Jadi, penting untuk mereka melihat semua jururawat sebagai sama.

"Bagi jururawat pula, mereka juga mesti berasa selesa untuk menjaga semua pesakit, tidak mengira kaum atau agama. Kami tidak mahu perbezaan ketara pada seragam jururawat menjadikan itu lebih sukar dicapai," kata PM Lee.

Namun, selepas membuat pertimbangan dan melihat perkembangan baik dalam isu-isu berhubung tudung bagi jururawat di peringkat nasional, Pemerintah sudah bersedia membuat keputusan.

"Mulai November nanti, jururawat Muslim di sektor kesihatan awam akan dibenarkan untuk memakai tudung dengan seragam mereka, jika mereka mahu,"umum PM Lee.

"Saya harap keputusan ini akan diterima semua pihak dengan semangat yang betul, dalam usaha untuk memperkukuh iltizam bersama kita bagi masyarakat berbilang kaum dan agama Singapura."  

- BERITAmediacorp/NK/nk

Top