NDR 2021

Images

Isu tudung: 'Harinya sudah tiba, keputusan sudah diambil,' kata PM Lee

SINGAPURA: Keputusan berhubung isu tudung untuk jururawat Muslim di Singapura "sudah diambil".

Demikian diumumkan Perdana Menteri Lee Hsien Loong semasa menyampaikan ucapannya dalam Bahasa Melayu di Rapat Umum Hari Kebangsaan (NDR) 2021 hari ini (29 Ogos).

Beliau menambah, isu tudung bukan hanya melibatkan masyarakat Melayu/Islam tetapi ada kepentingan nasional bagi masyarakat berbilang kaum dan agama di negara ini.

Lantaran itu, Pemerintah mesti memastikan sebarang perubahan pada peraturan mengenai pemakaian tudung, harus merapatkan masyarakat Singapura yang berbilang kaum.

“Saya faham hasrat anda. Saya hargai pandangan anda dan akur tentang aspirasi masyarakat Melayu/Islam. Tetapi saya juga berharap anda turut memahami pertimbangan dan keprihatinan nasional Pemerintah.

"Kita tidak mahu perubahan ini meluaskan jurang antara kaum dan melemahkan kita," kata PM Lee.


Jururawat di Hospital Ng Teng Fong. (Gambar: Hospital Ng Teng Fong)

Sehubungan itu, PM Lee menekankan bahawa Pemerintah tidak dapat membenarkan murid-murid sekolah dan para pegawai Perkhidmatan Awam beruniform termasuk Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) dan Pasukan Polis Singapura (SPF) memakai tudung "atas sebab-sebab yang sangat genting."

"Bagi para jururawat, sebenarnya ada sebab-sebab yang munasabah di sebalik dasar Pemerintah. Namun, pertimbangan untuk membenarkan atau tidak
membenarkannya adalah agak seimbang. Dari semasa ke semasa, keseimbangan baru boleh dibuat secara berhati-hati dan bertahap-tahap," ujar PM Lee.

Menurut PM Lee lagi, masyarakat Singapura menikmati keharmonian kaum dan agama sejak merdeka.

Namun beliau menekankan bahawa keseimbangan hidup yang saling bertolak ansur, hormat-menghormati dalam ruang yang membolehkan masyarakat hidup aman damai ini "sangat rapuh".

"Lantas, ia perlu dipelihara dengan begitu teliti seperti kita menatang minyak yang penuh. Pada masa yang sama, kita patut membuat penyesuaian sejajar dengan nilai-nilai yang berubah dari generasi ke generasi dan aspirasi pelbagai kumpulan yang semakin meningkat," kata PM Lee, yang turut mengadakan perbincangan tentang isu tudung dengan para pemimpin agama dan masyarakat.

"Mereka menerangkan dengan jelas mengapa pemakaian tudung penting kepada masyarakat Melayu/Islam. Mereka berharap Pemerintah akan mengubah peraturan untuk membenarkan para kakitangan beruniform memakai tudung," tambah PM Lee.

Sejak beberapa bulan yang lalu, PM Lee memberitahu sekumpulan asatizah dan pemimpin masyarakat bahawa beliau berharap dapat membuat keputusan mengenai isu ini menjelang Rapat Umum Hari Kebangsaan.

"Keputusan sudah diambil. Isu ini bukan hanya melibatkan masyarakat Melayu/Islam tetapi ada kepentingan nasional bagi masyarakat berbilang kaum dan agama kita. Jadi, saya akan jelaskan lebih lanjut dan membuat pengumuman rasmi dalam ucapan Bahasa Inggeris sebentar lagi,"ujar PM.

Ucapan Bahasa Inggeris PM Lee akan disampaikan pada pukul 8.00 malam ini.

- BERITAmediacorp/NK/nk

Top