Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Dialog pasca NDR: Kesediaan peserta tampil bantu tangani isu masyarakat patut dicontohi, kata Dr Maliki

Dr Maliki Osman lahirkan harapan agar "lebih ramai terdorong" untuk sama-sama saling menyokong masyarakat maju bersama dalam isu perumahan dan pendidikan.

Anggaran Waktu Membaca:
Dialog pasca NDR: Kesediaan peserta tampil bantu tangani isu masyarakat patut dicontohi, kata Dr Maliki

(Gambar ihsan: Persatuan Rakyat)

Diterbitkan : 12 Sep 2021 09:06PM Dikemas Kini : 12 Sep 2021 09:10PM

SINGAPURA: Kesediaan anggota masyarakat untuk tampil dan berganding bahu dengan M³ serta agensi-agensi pemerintah bagi membantu mereka yang memerlukan, patut dicontohi.

Demikian rumusan Menteri di Pejabat Perdana Menteri, Dr Mohamad Maliki Osman susuli satu sesi dialog pasca-Rapat Umum Hari Kebangsaan (NDR) bersama masyarakat Melayu/Islam anjuran M³@Bandar petang tadi (12 Sep).

Ia sebahagian daripada siri dialog untuk merungkai isu-isu utama yang menjadi keprihatinan masyarakat Melayu/Islam, selain topik penting lain yang disampaikan Perdana Menteri Lee Hsien Loong semasa NDR bulan lalu.

Antara keprihatinan yang dibangkitkan ialah usaha membantu pekerja bergaji rendah dan amalan pengambilan kerja yang adil bagi warga emas.

"Saya berbesar hati mendengar sudut pandangan para peserta berhubung kebimbangan mereka tentang pandemik sekarang dan aspirasi masyarakat pada masa hadapan," kata Dr Maliki dalam satu kenyataan setelah dialog itu.

"Apa yang menyentuh hati adalah kesediaan mereka untuk tampil dan bekerjasama dengan M³ dan agensi-agensi pemerintah untuk membantu mereka yang memerlukan dalam bidang pendidikan dan perumahan sepertimana disebut oleh PM Lee semasa NDR. Saya berharap lebih ramai akan terdorong untuk melakukan yang sama."

Dr Maliki turut disertai Datuk Bandar Daerah Tenggara, Encik Mohd Fahmi Aliman dan Penasihat Badan Akar Umbi GRC Aljunied, Shamsul Kamar dalam sesi dialog yang diadakan secara fisikal itu.

"Saya gembira melihat para peserta faham peri pentingnya kita menaikkan gaji bagi pekerja bergaji rendah serta kesan mengambil langkah sedemikian. Sedang kos meningkat, kami berharap para pekerja terus menaiktaraf kemahiran mereka dan meningkatkan daya hasil," kata Encik Fahmi yang juga Penasihat Badan Akar Umbi GRC Marine Parade.

Encik Shamsul pula berkata para peserta akur pentingnya membincangkan soal keharmonian kaum dan agama.

"Mereka menunjukkan kematangan dalam perbincangan dan kesedaran tentang perlunya sentiasa peka dan sensitif dalam membincangkan isu-isu sedemikian," tambahnya.

Sesi dialog di Kelab Masyarakat Changi Simei itu disertai sekitar 50 penduduk Melayu, rakan kerja dan relawan masjid. Satu lagi sesi akan diadakan di Wisma Geylang Serai Sabtu depan. 

Sumber : BERITA Mediacorp/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan