Skip to main content

Iklan

Iklan

7,000 kakitangan jagaan kesihatan awam Muslim boleh pakai tudung mulai 1 Nov: MOH

Mulai 1 November, Kementerian Kesihatan (MOH) akan menyemak semula dasar bagi pakaian seragam dalam sektor jagaan kesihatan.

Anggaran Waktu Membaca:
7,000 kakitangan jagaan kesihatan awam Muslim boleh pakai tudung mulai 1 Nov: MOH

Kakitangan jagaan kesihatan. (Gambar: NUHS)

Diterbitkan : 29 Aug 2021 07:31PM Dikemas Kini : 29 Aug 2021 07:43PM

SINGAPURA: Mulai 1 November, Kementerian Kesihatan (MOH) akan menyemak semula dasar bagi pakaian seragam dalam sektor jagaan kesihatan.

Ini bagi membolehkan kakitangan dan jururawat wanita Muslim untuk memakai tudung sebagai tambahan kepada seragam mereka, jika mereka mahu.

Dasar yang disemak semula itu akan melibatkan lebih 7,000 wanita Muslim yang bertugas sebagai kakitangan beruniform dalam sektor jagaan kesihatan.

Sektor itu termasuk kelompok jagaan kesihatan awam, iaitu SingHealth, National Healthcare Group (NHG) dan Sistem Kesihatan Universiti Nasional. Ini selain Lembaga Penggalak Kesihatan (HPB), Penguasa Sains Kesihatan (HSA), Vanguard Healthcare dan Ministry of Health Holdings.

"Tudung akan menjadi tambahan kepada pakaian seragam. Ini akan dibenarkan dalam peraturan pakaian yang disemak semula, yang akan dikeluarkan oleh institusi-institusi tersebut," menurut MOH dalam kenyataan medianya.

Peraturan pemakaian itu berdasarkan garis panduan pelaksanaan dan klinikal yang dibangunkan oleh Jawatankuasa Panduan Pelaksanaan (ISC) dan Panel Penasihat Klinikal (CAP) yang dilantik MOH.

Menurut MOH, jawatankuasa tersebut terdiri daripada para wakil dalam sektor-sektor jagaan kesihatan awam, masyarakat dan swasta, Kesatuan Pekerja Khidmat Jagaan Kesihatan (HSEU), Persatuan Karyawan Jagaan Kesihatan Muslim (MHPA) dan Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS).

"Semasa menyiapkan garis panduan itu, jawatankuasa-jawatankuasa tersebut mengadakan rundingan menyeluruh dari April hingga Ogos tahun ini, dengan para pakar penyakit berjangkit, HSEU/AUSBE (Gabungan Kesatuan Kakitangan Lembaga Berkanun), ketua-ketua jururawat, pemimpin masyarakat Islam serta kakitangan jagaan kesihatan dalam pelbagai bidang dan agama," menurut kenyataan MOH.

"Kami sudah mendampingi secara meluas para pekerja dalam sektor jagaan kesihatan daripada pelbagai kaum dan agama untuk memahami pandangan mereka dan berunding dengan para pakar klinikal untuk melakar garis panduannya, sambil menimbangkan amalan-amalan sedia ada dari segi pemakaian tudung dalam persekitaran jagaan kesihatan di negara-negara lain.

"Saya yakin akan sikap profesionalisme berterusan dalam kalangan kakitangan jagaan kesihatan semasa menjalankan tugas mereka untuk menjaga dan memastikan bahawa piawai kawalan jangkitan terus di tahap tinggi," kata Timbalan Setiausaha (Pembangunan) MOH yang juga Pengerusi ISC, Dr Benjamin Koh.

SEKTOR SWASTA DIGALAK RUJUK DASAR SERAGAM SEKTOR AWAM

Entiti swasta, seperti pertubuhan-pertubuhan jagaan masyarakat dan penyedia jagaan kesihatan privet, digalak merujuk dasar pakaian seragam yang sudah disemak bagi sektor jagaan kesihatan awam, menurut MOH dalam kenyataannya.

Sektor privet juga digalak mempertimbangkan konteks pertubuhan masing-masing sebelum membuat keputusan.

"Institusi yang memutuskan untuk membenarkan kakitangannya memakai tudung perlu sejajar dengan garis panduan klinikal sebagai sebahagian daripada pencegahan jangkitan dan amalan-amalan terbaik keselamatan di tempat kerja.

Jurucakap Kementerian Tenaga Manusia (MOM) dalam kenyataannya hari ini, juga menyatakan bahawa sektor swasta jagaan kesihatan digalak mengambil dasar sektor awam sebagai rujukan. Namun menekankan bahawa ia tidak wajib.

"Kakitangan sektor privet harus terus menetapkan peraturan pakaian seragam yang bersesuaian dengan jenis kerja mereka atau berdasarkan sebab-sebab operasi dan keselamatan. Sekiranya peraturan sedemikian tidak membolehkan pemakaian seragam atau lambang agama, para majikan mesti berkongsi aturan itu dan menjelaskan sebabnya kepada kakitangan dan pemohon kerja," menurut MOM.

Sumber : BERITA Mediacorp/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan