Skip to main content

Iklan

Iklan

S'pura perlu perkukuh sokongan pekerja bergaji rendah, sesuaikan dasar warga asing & berhemah tangani isu kaum

Singapura perlu memperkukuh sokongan kepada para pekerja bergaji lebih rendah, menyesuaikan dasar-dasar berhubung warga asing dan menangani isu-isu kaum dan agama dengan berhati-hati sedang COVID-19 meningkatkan ketegangan dalam masyarakat.

Anggaran Waktu Membaca:
S'pura perlu perkukuh sokongan pekerja bergaji rendah, sesuaikan dasar warga asing & berhemah tangani isu kaum

Gambar: MCI

Diterbitkan : 08 Aug 2021 07:02PM Dikemas Kini : 08 Aug 2021 08:41PM

SINGAPURA: Singapura perlu memperkukuh sokongan kepada para pekerja bergaji lebih rendah, menyesuaikan dasar-dasar berhubung warga asing dan menangani isu-isu kaum dan agama dengan berhati-hati sedang COVID-19 meningkatkan ketegangan dalam masyarakat.

Perdana Menteri Lee Hsien Loong berkata demikian dalam Amanat Hari Kebangsaannya petang Ahad (8 Ogos).

Menilai usaha Singapura mengatasi COVID-19, PM Lee berkata negara ini boleh menjangkakan pembukaan semula ekonomi secara bertahap-tahap.

Ini meskipun terdapat hambatan seperti kelompok jangkitan di Pelabuhan Perikanan Jurong dan beberapa pasar basah.

Namun PM Lee memberi amaran pandemik ini telah meningkatkan ketegangan dan menarik perhatian kepada cabaran-cabaran yang perlu ditangani seperti isu pekerja bergaji lebih rendah.

PM Lee berkata kumpulan tersebut paling terjejas justeru diberikan lebih banyak bantuan. Namun mereka perlukan sokongan berpanjangan.

"Sebuah kumpulan kerja perikatan tiga pihak telah menyarankan agar kehidupan dan prospek mereka dipertingkatkan. Ini adalah tambahan kepada Skim Daya Kerja dan Model Gaji Progresif bagi menaikkan pendapatan mereka dan mewujudkan peluang-peluang baru bagi peningkatan kemahiran dan kemajuan pekerjaan," kata beliau.

Satu lagi cabaran adalah kebimbangan meningkat terhadap persaingan pekerjaan dari para pemegang pas kerja asing yang menimbulkan pergeseran sosial.

PM Lee berkata ini mesti ditangani.

"Kita perlu menyesuaikan dasar-dasar kita untuk mengawal mutu, jumlah dan kepadatan warga asing di Singapura. Jika kita lakukannya dengan baik, kita masih boleh terus mengalu-alukan warga asing dan pendatang baru, iaitu sesuatu yang kita mesti lakukan.

"Dasar memandang ke dalam bercanggah dengan kepentingan asas kita. Ia akan menjejas kedudukan Singapura sebagai sebuah hab global dan serantau. Ia akan menjejas pekerjaan dan peluang. Paling penting, ia bertentangan dengan nilai-nilai keterbukaan kita dan penerimaan orang lain yang berbeza daripada kita," tambah beliau.

Beralih ke isu kaum dan agama, PM Lee menarik perhatian kepada beberapa insiden negatif yang telah menjadi tular.

Beliau berkata ia bukan bermakna pendekatan Singapura gagal.

Sebaliknya ia menunjukkan bagaimana begitu mudah isu kaum dan agama boleh memecahbelahkan negara.

PM Lee berkata Singapura akan menghadapi krisis-krisis baru yang akan menguji azam dan perpaduan negara namun COVID-19 telah menunjukkan negara ini boleh mengatasinya.

Beliau yakin Singapura boleh menjadi lebih harmoni, makmur dan berjaya sambil mengucapkan Selamat Hari Kebangsaan kepada seluruh rakyat negara ini.

Saksikan Amanat #NDP2021 disampaikan oleh Menteri Masagos Zulkifli dalam bahasa Melayu:

Sumber : CNA/EM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan