Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Perbarisan Istiadat Hari Kebangsaan sederhana tetapi cukup bermakna

Di sebalik suasana yang tenang, terpancar rasa bangga semasa Perbarisan Istiadat sempena Hari Kebangsaan pagi tadi (9 Ogos) - sambutan yang cukup sederhana sejajar dengan langkah-langkah kesihatan awam yang diperketat.

Anggaran Waktu Membaca:
Perbarisan Istiadat Hari Kebangsaan sederhana tetapi cukup bermakna

Perbarisan Istiadat Hari Kebangsaan ke-56 pada 9 Ogos 2021 (Gambar: Gaya Chandramohan)

Diterbitkan : 09 Aug 2021 12:31PM Dikemas Kini : 09 Aug 2021 12:43PM

SINGAPURA: Di sebalik suasana yang tenang, terpancar rasa bangga semasa Perbarisan Istiadat sempena Hari Kebangsaan pagi tadi (9 Ogos) - sambutan yang cukup sederhana sejajar dengan langkah-langkah kesihatan awam yang diperketat.

Pentas Terapung @ Marina Bay menampung sekitar 100 penonton - termasuk para Menteri Kabinet, Anggota Parlimen dan kakitangan barisan hadapan - jumlah yang jauh lebih kecil berbanding 27,000 orang yang biasanya dapat ditampung di sana.

Kemodenan sungai Singapura menjadi latar kepada 600 peserta Perbarisan Istiadat daripada Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) dan Home Team - kurang sepertiga daripada jumlah yang menyertai perbarisan-perbarisan sebelum ini di pentas tersebut.

Jumlah yang dikurangkan itu adalah antara beberapa langkah keselamatan yang diambil ketika negara ini meraikan ulang tahun kemerdekaannya yang ke-56 di tengah-tengah usaha memerangi COVID-19.

PERBARISAN ISTIADAT SEDERHANA TETAPI BERMAKNA

Di Perbarisan Istiadat, iaitu upcara ikonik sambutan Hari Kebangsaan, sebuah montaj video peserta perbarisan membuka tirai acara.

Apabila kontinjen berbaris ke platform terapung di bawah terik mentari pagi, mereka - buat julung-julung kalinya - disertai hampir 200 peserta lain secara maya. Ini termasuk anggota kumpulan seragam dari sembilan sekolah menengah, serta 12 badan sosial dan ekonomi, seperti Singapore Airlines dan Families for Life.

Komander perbarisan Leftenan-Kolonel (LTC) Tang Wee Goh kemudian memimpin empat kontinjen Pengawal Kehormatan ke landasan. Anggota setiap kontinjen, berdiri dengan jarak sekurang-kurangnya satu meter antara satu sama lain, memakai pelitup putih dan berpakaian seragam.

Menyusuli ketibaan Perdana Menteri Lee Hsien Loong, kumpulan pancaragam gabungan kemudian memainkan lagu tema Hari Kebangsaan tahun ini, "The Road Ahead", disambut oleh tepukan gemuruh daripada kumpulan kecil penonton yang hadir.

Tidak lama kemudian, Presiden Halimah Yacob tiba. Ketika beliau berdiri di podium, Lagu Kebangsaan mula dimainkan - juga petanda bermulanya terbang lalu bendera negara.

Sebuah helikopter Chinook terbang membelah latar langit bandar dengan mengibarkan bendera Singapura, sementara dua helikopter Apache mengekorinya - salah satu acara yang begitu sinonim dengan sambutan Hari Kebangsaan Singapura.

Mereka di rumah juga berpeluang melihat helikopter-helikopter itu terbang lalu di bahagian timur dan barat negara ini.

(Gambar: Jeremy Long)

(Gambar: Jeremy Long)

Jet-jet pejuang kegemaran ramai kemudian muncul, mengaum di kawasan Marina Bay dalam formasi delta dengan kelajuan lebih 600 kilometer sejam, sebelum menuju ke kawasan tengah.

Pihak penganjur berkata bahawa "formasi rapat" melambangkan bagaimana warga Singapura, dengan "kekuatan, tekad dan kesatuan kolektif, akan terus maju semasa berdepan keadaan yang mencabar sekarang ini sebagai sebuah masyarakat yang bersatu".

Semasa Puan Halimah memeriksa kontinjen perbarisan, turut kedengaran tembakan meriam yang dilepaskan daripada kawasan di sekitar Pentas Terapung itu.

Sekembalinya ke podium, beliau kemudian memerhatikan kontinjen-kontinjen Pengawal Kehormatan memicu senapang mereka ke langit dan melepaskan tembakan yang bergema di tempat yang lengang itu.

Ketika kontinjen berarak lalu, perbarisan istiadat - sederhana tetapi bermakna - melabuhkan tirainya.

Perbarisan pagi tadi akan dilengkapi dengan konsert pada sebelah malam, yang dianjurkan bersama oleh Taman di Pesisiran dan Mediacorp pada pukul 8.00 malam. Ia boleh ditonton di televisyen atau saluran-saluran online.

Perbarisan Hari Kebangsaan akan berlangsung pada 21 Ogos, selepas Fasa 2 (Kewaspadaan Dipertingkat) dijadual tamat.

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan