Skip to main content

Iklan

Iklan

Majulah NDP! 7 kali dalam sejarah sambutan hari kebangsaan S'pura diuji

Setiap tahun, pada 9 Ogos, para penduduk Singapura ghairah menantikan Perbarisan Hari Kebangsaan (NDP).

Anggaran Waktu Membaca:
Majulah NDP! 7 kali dalam sejarah sambutan hari kebangsaan S'pura diuji

Pasukan penerjun udara memberi penghormatan kepada para petugas jagaan kesihatan. (Gambar: Hanidah Amin)

Diterbitkan : 20 Aug 2021 02:53PM Dikemas Kini : 20 Aug 2021 03:04PM

SINGAPURA: Setiap tahun, pada 9 Ogos, para penduduk Singapura ghairah menantikan Perbarisan Hari Kebangsaan (NDP).

Tahun ini, agak berbeza - selepas perbarisan istiadat pada 9 Ogos lalu, kita bakal menyaksikan kemeriahan NDP esok (21 Ogos), selepas ia ditangguh disebabkan langkah-langkah pengurusan keselamatan COVID-19.

Setiap tahun, acara NDP membawa bersamanya cabaran tersendiri tetapi berdasarkan pengalaman-pengalaman sebelum ini, semuanya pada akhirnya berjalan dengan lancar.

Berikut adalah tujuh acara NDP yang tidak berlangsung seperti yang dijangkakan.

1966: KEGENCOTAN PERTUNJUKAN BUNGA API

Sudah menjadi kebiasaan kemuncak NDP diserikan dengan pertunjukan bunga api yang mengiringi lagu-lagu patriotik.

Namun, pernah suatu ketika, pertunjukan bunga api tidak semeriah dan gah berbanding hari ini.

Pada tahun pertama Singapura menyambut kemerdekaannya pada 1966, Dewan Perdagangan dan Perusahaan Cina Singapura menganjurkan pertunjukan bunga api di Padang tetapi terdapat sedikit kegencotan.

Meskipun 10 bunga api pertama berjaya menghiasi langit dengan bendera negara, yang lain selepas itu gagal dilancarkan tetapi para penonton kekal menyaksikan pertunjukan selanjutnya.

Selain itu, hujan membasahi perbarisan pada sebelah pagi tetapi para peserta, kebanyakannya sukarelawan, tidak berganjak bahkan terus berbaris ke Chinatown dan Tanjong Pagar.

1968: PERBARISAN TETAP JALAN TERUS MESKI HUJAN LEBAT

Suasa sekitar Padang berkabus ekoran hujan lebat pada pagi 9 Ogos tahun itu. Semua orang basah kuyup termasuk mantan Perdana Menteri Lee Kuan Yew dan kabinetnya tetapi tiada seorang pun yang beralih daripada tempat duduk mereka.

PM Lee harus memutuskan sama ada untuk meneruskan perbarisan atau menangguhkannya. Beliau memilih untuk meneruskan NDP - pendirian simbolik menunjukkan daya bingkas rakyat Singapura.

1981: SIRI KEJADIAN DRAMATIK

Sambutan NDP dianjurkan di beberapa kawasan dan berlaku beberapa kejadian.

Misalnya, platform bagi tetamu kehormat roboh sejurus sebelum perbarisan bermula di Sekolah Menengah Ang Mo Kio disebabkan berat yang berlebihan.

Kemudian, satu perbalahan tercetus antara dua kumpulan tarian naga menyebabkan seorang pegawai polis mengeluarkan pistol untuk menghentikannya.

Perbalahan antara dua rombongan tarian naga tercetus sewaktu NDP 1981. (Gambar: Arkib Negara)

Bukan itu sahaja. Salah satu detik cemas dalam sejarah NDP berlaku di mana anggota komander penerjun udara terpaksa mengeluarkan payung terjun kecemasan selepas payung terjun utamanya gagal berfungsi.

Malah, lagi dua penerjun tersasar daripada Stadium Negara dan sebaliknya mendarat di sebuah kilang elektronik 50 meter dari situ. Namun, orang ramai tetap bersorak dan menunjukkan sokongan mereka kepada para penerjun.

1991: KESILAPAN KAIN RENTANG

Sempena tahun pertama Encik Goh Chok Tong sebagai Perdana Menteri, para komander membuat persembahanan 'Omega Descent' dari menara lampu 20 tingkat Stadium Negara.

Namun, satu kesilapan berlaku di mana kain rentang Selamat Ulang Tahun tidak berjaya dilepaskan sepenuhnya.

Tahun itu juga, beg-beg 'funpack' diperkenalkan!

2003: VIRUS SARS

Sebelum COVID-19, SARS melanda negara. Pastinya ramai masih ingat lagi lagu rap ikonik yang didendangkan Phua Chu Kang - #dontplayplay.

Seramai 240 pekerja jagaan kesihatan diiktiraf sewaktu NDP dengan setiap seorang memegang kertas berbentuk hati yang bercahaya di atas pentas.

Para pekerja jagaan kesihatan diberi penghormatan di NDP 2003. (Gambar: Arkib Negara)

2013: PENERJUN UDARA WANITA PERTAMA

Shirley Ng sepatutnya membuat penampilan sulung sebagai seorang wanita pertama Red Lion dalam sejarah untuk melakukan aksi payung terjun sewaktu NDP.

Namun, cuaca tidak berpihak kepada beliau kerana acara payung terjun terpaksa dibatalkan kerana langit mendung.

Namun, Pegawai Waran Kedua itu kembali untuk mencipta sejarah pada tahun berikutnya di NDP 2014!

2020: TAHUN YANG KITA TIDAK AKAN LUPA

Akhirnya, NDP tahun lalu. Kita tidak dapat mengumpulkan semua orang di stadium mahupun pentas terapung tetapi Singapura memikirkan cara kreatif untuk tetap meraikan ulang tahunnya.

NDP dianjurkan di kawasan-kawasan kejiranan - dari acara payung terjun Red Lions ke terbang lalu pesawat-pesawat Angkatan Udara Republik Singapura (RSAF) sebagai tanda penghargaan kepada para petugas jagaan kesihatan.

Ia tentunya mencabar tetapi, Singapura sekali lagi tidak menyerah kalah.

Oleh itu, meskipun NDP 2021 bukan seperti yang dijangkakan, jangan rasa sedih - ia bukan kali pertama Singapura membuat penyesuaian.

Sumber : CNA/SM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan