Skip to main content

Iklan

Iklan

MAJ Muhd Iskandar Dzulfadhli, WO1 Nadya Mohd Zah kongsi pengalaman sertai NDP2021

Orang ramai boleh menyaksikan acara terbang lalu bendera negara dari rumah mereka di hujung Perbarisan Istiadat Hari Kebangsaan pada 9 Ogos ini.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 07 Aug 2021 09:19PM Dikemas Kini : 07 Aug 2021 11:01PM

SINGAPURA: Orang ramai boleh menyaksikan acara terbang lalu bendera negara dari rumah mereka di hujung Perbarisan Istiadat Hari Kebangsaan pada 9 Ogos ini.

Dari sekitar 9.50 pagi hingga 10.35 pagi, dua helikopter Chinook, setiap satu diiringi dua helikopter AH-64 Apache Longbow akan membawa bendera Singapura ke kawasan seperti Bedok, Khatib, Bukit Panjang dan Jurong mengikuti dua laluan berbeza.

Pada kira-kira waktu yang sama juga, enam jet pejuang F-15SG akan terbang dalam formasi delta melintasi kawasan Pentas Terapung Marina Bay kemudian ke kawasan kejiranan termasuk Ang Mo Kio, Yishun dan Geylang.

Salah seorang juruterbang pesawat yang bertanggungjawab bagi menjayakan acara penuh simbolik itu adalah Mejar (MAJ) Muhammad Iskandar Dzulfadhli dari Angkatan Udara Republik Singapura (RSAF).

Ini merupakan kali kedua MAJ Iskandar terlibat dalam acara tersebut.

"Saya harap NDP ini akan menjadi satu inspirasi kepada semua rakyat Singapura. Sepanjang sejarah Singapura kita telah mengalami pelbagai cabaran. Kita tetap berjaya mengatasi apapun cabaran. COVID-19 adalah satu lagi cabaran yang kita boleh atasi bersama-sama. Kedua saya harap yang rakyat Singapura akan terus maju bersama sebagai satu negara dengan masyarakat yang sentiasa bersatu padu dan bersedia untuk menolong dalam masa-masa sukar," kongsi beliau.

Sebelum itu, sekitar 600 peserta dari Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) dan Home Team pula akan beraksi di Pentas Terapung Marina Bay dalam segmen perbarisan.

Antara yang terlibat adalah Pegawai Waran Pertama (WO1) Nadya Mohamed Zah yang akan menyertai kontinjen SCDF buat pertama kalinya.

Lebih manis lagi, beliau juga merupakan satu-satunya pegawai wanita dalam kontinjen seramai 48 orang itu.

Sebelum ini, pegawai unit Pakar HazMat dari Balai Bomba Tampines itu pernah terlibat di belakang tabir dalam enam acara NDP yang lalu dalam pasukan operasi siap sedia.

"Saya berasa amat berbesar hati kerana diberi peluang untuk mewakili kontinjen SCDF pada Hari Kebangsaan yang bakal tiba. Dan sebagai satu-satunya peserta wanita dalam kontinjen SCDF, saya amat berharap ini adalah permulaan untuk ramai lagi pegawai-pegawai wanita yang akan maju dan sertai perbarisan jika diberi peluang," kongsi beliau.  

Sumber : CNA/SY/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan