Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

'Papa Pilot' serlahkan pengorbanan ayah di tengah pandemik COVID-19

Sebuah telemovie baru khas sempena sambutan Hari Bapa akan ditayangkan di Suria pada 18 Jun ini.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Sebuah telemovie baru khas sempena sambutan Hari Bapa akan ditayangkan di meWATCH mulai 11 Jun dan di Suria pada 18 Jun ini.

Drama yang berjudul 'Papa Pilot' itu mengisahkan kehidupan seorang juruterbang bernama Ashraf, lakonan Fir Rahman.

Cabaran demi cabaran terpaksa diharungi oleh Ashraf dalam setiap penerbangan yang dilalui.

Ini termasuk perlu berkorban tinggal berjauhan dengan keluarga tersayang selama lima tahun.

Namun apabila beliau akhirnya dapat pulang ke pangkuan keluarganya, dugaan paling besar menimpa Ashraf setelah beliau hilang pekerjaannya disebabkan oleh pandemik COVID-19 yang melanda seantero dunia.

(Gambar-gambar: Mediacorp Suria)

Setelah sekian lama berkerjaya di ruang udara yang terbentang luas, dapatkah Ashraf tempuhi cabaran paling besar yang menimpanya itu?

Drama 'Papa Pilot' juga akan menyorot kisah Ashraf sekeluarga dalam menyesuaikan diri dengan norma-norma baru di tengah-tengah pandemik COVID-19.

FIR RAHMAN BERKORBAN TIDAK DAPAT BERAYA DI S'PURA TAHUN INI

Pelakon utama 'Papa Pilot', Fir Rahman, yang baru sahaja menyambut ketibaan cahaya matanya yang keempat pada Mac lalu, berkongsi dalam wawancara eksklusif bersama BERITAmediacorp bahawa seperti watak Ashraf, beliau sendiri terpaksa membuat pengorbanan demi kerjayanya.

Menurut Fir, beliau terpaksa berjauhan dengan keluarga selama dua bulan setengah kerana perlu menjalani produksi televisyen di Batam.

"Lebih menyedihkan kerana berangkat pada minggu terakhir Ramadan dan tidak dapat menyambut Syawal bersama keluarga dan anak yang baru lahir 2 bulan lalu. Satu pengorbanan yang tak akan saya lupa," kata Fir yang masih berada di Batam kepada BERITAmediacorp.

Langkah-langkah keselamatan COVID-19 yang dilaksanakan juga tidak membenarkan Fir untuk mudah berulang-alik antara Batam dan Singapura. Justeru katanya, beliau terpaksa berada di sana agak lama.

Selain berkorban daripada menyambut Hari Raya bersama keluarga tersayang, ada satu lagi pengorbanan yang dilakukannya sebagai ayah yang baru menyambut kelahiran seorang cahaya mata.

"Alhamdulillah masa penggambaran Papa Pilot, anak saya dah dilahirkan. Cabarannya ialah saya selalu dalam keadaan mengantuk masa dekat set sebab malam saya berjaga untuk ambil alih tugasan menjaga/memberi susu kepada bayi saya!" kata Fir sambil berseloroh.

Selain Fir Rahman, drama Papa Pilot arahan Muhammad Mahfuz Mazlan itu turut dibintangi oleh barisan pelakon yang hebat seperti Farhana M Noor, Zaidi Ibrahim, Nadim Petro dan Bella Putri.

FARHANA M NOOR TERKENANG PENGORBANAN BAPA SENDIRI

Bagi Farhana M Noor, drama Papa Pilot cukup menyentuh hatinya kerana ia mengenangkannya kepada pengorbanan ayahnya sendiri yang sering mengutamakan masa bersama keluarga walaupun setelah sehari suntuk membanting tulang.

Dari situ, beliau turut menyedari betapa pentingnya mengimbangi waktu bekerja dengan meluangkan masa bersama keluarga.

"Walaupun dia kerja siang malam demi keluarga, dia akan sentiasa ada masa untuk meluangkan bersama kami. Walaupun tidak dapat keluar jalan-jalan, dapat makan malam bersama pun cukup bagi bapa saya.

"Dari situ saya pelajari betapa pentingnya mempunyai keseimbangan antara waktu bekerja dan waktu bersama keluarga.. dan tidak kira apa pun keluarga harus selalu bersatu tidak kira bagaimana sukar situasi yang dihadapi," kata Farhana yang melakonkan watak Hariani dalam Papa Pilot.

CABARAN PENGGAMBARAN DI TENGAH PANDEMIK COVID-19

Melakukan penggambaran di tengah-tengah pandemik pasti ada cabarannya.

Pengarah drama 'Papa Pilot' Muhammad Mahfuz berkongsi bersama BERITAmediacorp bahawa cabaran utama beliau adalah memastikan ketepatan dan realisme dari segi cerita dan penggambaran.

Ini termasuk memastikan urutan jalan cerita drama selari dengan perkembangan pandemik yang sebenar.

Contohnya, pemakaian pelitup yang tidak diwajibkan pada awal peringkat pandemik namun kini diwajibkan terhadap semua orang.

"Kita harus pastikan tarikh di mana semua perkara di atas itu berlaku adalah tepat agar penonton tidak rasa yang ia salah atau bercanggah dengan apa yang mereka alami," kata Encik Muhammad Mahfuz.

Selain daripada kisah Ashraf sekeluarga, pelbagai isu yang dipaparkan dalam Papa Pilot serupa dengan apa yang ditempuhi ramai ketika pandemik melanda - iaitu kesan terhadap kerjaya dan mata pencarian masing-masing.

Drama 'Papa Pilot' boleh ditonton di saluran Suria pada 18 Jun pukul 9.00 malam dan meWATCH mulai 11 Jun.

Sumber : BERITA Mediacorp/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan