Skip to main content

Iklan

Iklan

Jasa bakti ayah kepada negara dorong LTA Zayan Omar buru kerjaya dalam SAF

 Sebagai seorang sarjan muda, beliau tidak pulang ke rumah pada hari-hari biasa.

Anggaran Waktu Membaca:
Jasa bakti ayah kepada negara dorong LTA Zayan Omar buru kerjaya dalam SAF

LTA Zayan Omar bersama bapanya, MWO Omar Osman. (Gambar: PIONEER)

Diterbitkan : 18 Jun 2021 10:15PM Dikemas Kini : 18 Jun 2021 10:27PM

SINGAPURA: Sebagai seorang sarjan muda, beliau tidak pulang ke rumah pada hari-hari biasa.

Sebaliknya 2SG Omar Osman memanfaatkan masa itu untuk melatih dan menjaga para askar di bawah pimpinannya. Beliau hanya pulang ke rumah pada hujung minggu untuk meluangkan masa bersama isteri dan anaknya.

"Dalam unit tempur, kami tidak ada pilihan. Rentak latihan amat tinggi," kata beliau yang pada ketika itu, berkhidmat sebagai sarjan platun Batalion ke-6, Rejimen Infantri Singapura (6 SIR).

Sarjan Omar (Barisan kedua, ke-5 dari kiri) bersama askar-askar 6 SIR di Alaska, Amerika Syarikat. (Gambar: Omar Osman) 

Hari ini, Pegawai Waran Master (MWO) Omar, 46 tahun, adalah seorang Ketua Pelatih Pakar di Institut Pegawai Waran dan Pakar.

Menariknya, anak beliau yang kini sudah berusia 22 tahun juga berkhidmat sebagai seorang pegawai dalam Angkatan Bersenjata Singapura (SAF), lapor majalah PIONEER.

LTA Muhammad Zayan Omar memutuskan untuk menyarung seragam hijau SAF sebagai kerjaya sepenuh masa tahun lalu dengan dorongan bapa beliau yang menjadi inspirasinya.

Meskipun jarang dapat peluang bersama bapanya yang sibuk berbakti kepada negara, LTA Zayan menyanjung tinggi dedikasi dan komitmen bapanya terhadap kerjaya yang "amat terpuji" itu.

"Apabila saya bertanya bapa saya mengapa beliau selalu tidak ada di rumah, beliau akan berkata bahawa beliau harus masuk hutan untuk melatih askar-askarnya.

"Dan beliau sebenarnya membawa perubahan kepada kehidupan anak-anak muda itu," kata LTA Zayan kepada majalah PIONEER terbitan Angkatan Bersenjata Singapura pada Khamis (17 Jun).

"Oleh itu, sejak kecil lagi, saya memang mahu menyertai SAF," tambah beliau.

DETIK PALING MEMBANGGAKAN

MWO Omar mendaftarkan diri untuk Perkhidmatan Negara (NS) pada 1996.

Beliau tertarik dengan apa yang dilakukannya sewaktu menggalas tanggungjawab sebagai komander seksyen di Pusat Latihan Asas Tentera (BMTC) dan tidak terburu-buru menjadikannya sebagai kerjayanya.

MWO Omar cemerlang dalam kerjaya tenteranya.

Pada 2008, beliau tampil sebagai graduan terbaik dalam Kursus Pegawai Waran dan dipilih mewakili negara tumpah darahnya untuk menghadiri Kursus Sarjan Mejar di Amerika Syarikat pada 2014.

Namun, apabila ditanya oleh PIONEER tentang detik paling membanggakan sepanjang kerjayanya, MWO Omar berkata: "Ia adalah apabila anak lelaki saya ditauliahkan sebagai pegawai! Itulah detik yang paling membanggakan kerana setiap ayah mahukan anaknya lebih baik daripadanya.

"Zayan membuat saya bangga. Pertama sekali apabila beliau dinobat sebagai Rekrut Terbaik sewaktu BMT (Latihan Asas Tentera) dan juga apabila beliau ditauliahkan sebagai pegawai tentera. Saya rasa ia menunjukkan betapa baik saya membesarkannya."

MWO Omar dan isterinya Suriya menyarung pangkat anak mereka LTA Zayan. (Gambar: Omar Osman)

TANGGUNGJAWAB SEBAGAI BAPA

Meskipun beliau tidak hadir di sisi LTA Zayan pada hari-hari biasa, MWO Omar memastikan hujung minggu diluangkan dengan sebaik-baiknya bersama anaknya itu.

"Apa yang saya lakukan adalah saya memberitahu isteri saya, setiap hari Ahad adalah waktu saya bersama anak lelaki saya saja - ibu tidak boleh sertai!" seloroh MWO Omar kepada PIONEER.

Dari pagi hingga tengah hari, mereka akan melakukan kegiatan-kegiatan yang diminati seperti berlari-lari anak dan berbasikal di Taman East Coast.

Setelah dua tahun berkhidmat dalam SAF, LTA Zayan lebih memahami dan menghargai tanggungjawab bapanya di SAF selama ini, selain mengimbangi masa bersama beliau dan adik-beradiknya.

Sempena sambutan Hari Bapa, beliau mengucapkan terima kasih kepada bapanya atas segala pengorbanan beliau dan berjanji akan membuatnya bangga.

"Saya sangat memahami apa yang ayah harus lalui untuk saya dan ibu hidup selesa. Saya mahu ucapkan terima kasih atas segala yang ayah lakukan untuk kami. Saya akan melakukan yang terbaik dan buat ayah bangga," ucap LTA Zayan.

Sumber : Agensi berita/SM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan