Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

‘Bapak Ayam’ ini derma 100 ayam beku kepada penduduk memerlukan; bertekad akan terus sumbang semula

Encik Muhammad Firman Dollah 29 tahun menanam tekad untuk menyumbang semula kepada masyarakat, khususnya golongan yang memerlukan, sejak Ramadan dan cita-citanya itu tercapai setelah beliau mendermakan 100 ekor ayam beku kepada golongan yang memerlukan pada Syawal lalu.

Anggaran Waktu Membaca:
‘Bapak Ayam’ ini derma 100 ayam beku kepada penduduk memerlukan; bertekad akan terus sumbang semula

Encik Muhammad Firman Dollah (kiri) di hadapan gerai 'Bapak Ayam' yang dibuka pada Disember 2020 di Blok 93 Lorong 4 Toa Payoh. (Gambar: Muhammad Firman Dollah)

BERITAmediacorp: Walaupun baru enam bulan membuka kedai Bapak Ayam di sebuah pasar di Toa Payoh, cita-cita pemilik kedai daging ayam segar dan beku ini untuk menyumbang semula kepada masyarakat sudahpun tercapai.

Encik Muhammad Firman Dollah, 29 tahun, menanam tekad untuk menyumbang semula kepada masyarakat, khususnya golongan yang memerlukan, sejak Ramadan dan cita-citanya itu tercapai setelah beliau mendermakan 100 ekor ayam beku kepada golongan yang memerlukan pada Syawal lalu.

(Gambar: Saktiandi Supaat/Facebook)

(Gambar: Saktiandi Supaat/Facebook)

Ini meskipun beliau sendiri baru saja berjinak-jinak dalam bidang perniagaan daging ayam segar dan beku.

“Saya tidak punya banyak wang. Saya fikir mengapa tidak saya menyumbangkan ayam beku?” menurut Encik Firman kepada BERITAmediacorp sambil mendedahkan bahawa beliau juga menokok hasil pendapatannya dengan bertugas sebagai pekerja penghantaran makanan sambilan bagi GrabFood.

JURURAWAT BERTAULIAH

Encik Firman, 29 tahun, sebenarnya adalah seorang jururawat berdaftar yang pernah bertugas sepenuh masa di hospital-hospital dan klinik-klinik awam sehingga tiga tahun lalu.

Walaupun terpaksa membanting tulang seawal pukul 5.00 pagi untuk membuka kedai dan menguruskan perniagaannya itu sehingga kira-kira 2.00 petang setiap hari, beliau tidak pernah melupakan mahupun 'cuci tangan' dari kerjaya lamanya.

Ditauliahkan pada 2013, beliau masih meluangkan masa untuk menajamkan kemahirannya secara berterusan sebagai seorang jururawat berdaftar.

Misalnya, beliau bekerja sambilan untuk menawarkan khidmat jagaan di rumah pesakit, di mana beliau dapat merancang jagaan pesakit dengan lebih menyeluruh, termasuk jadual harian dan rawatannya.

Encik Firman memakai kelengkapan perlindungan peribadi (PPE) ketika menyertai pasukan yang menjalankan ujian serologi di dormitori pekerja hijrahan. Pemakaian PPE sepanjang hari meninggalkan tanda pada wajah Encik Firman. (Gambar: Muhammad Firman Dollah)

Encik Firman memakai kelengkapan perlindungan peribadi (PPE) ketika menyertai pasukan yang menjalankan ujian serologi di dormitori pekerja hijrahan. Pemakaian PPE sepanjang hari meninggalkan tanda pada wajah Encik Firman. (Gambar: Muhammad Firman Dollah)

Ketika penularan COVID-19 memburuk di dormitori-dormitori pekerja hijrahan pada April 2020, Encik Firman dengan rela hati tampil untuk menyumbang tenaga sebagai jururawat dalam pasukan bergerak yang menjalankan ujian serologi. Beliau menguji sampel darah para penghuni untuk menentukan sama ada ia mengandungi antibodi yang mampu melawan jangkitan koronavirus.

Dengan program vaksinasi negara diperluaskan untuk merangkumi hampir semua golongan usia, Encik Firman kini meluangkan masa tiga kali seminggu untuk berkhidmat sebagai jururawat di sebuah pusat vaksinasi. Tugasnya adalah untuk melarutkan vaksin atau memberikan suntikan.

(Gambar: Muhammad Firman Dollah)

Encik Firman bergelar bapa kepada bayi lelaki berusia 1 tahun 8 bulan dan anak perempuan berusia 5 tahun. (Gambar: Muhammad Firman Dollah)

“Saya berpuas hati dengan aturan kerja sedemikian, di mana saya mempunyai minat mendalam. Saya tidak begitu peduli tentang ganjaran yang diterima,” menurut bapa kepada dua orang anak kecil yang isterinya adalah seorang jururawat am kanan.

“Saya tidak akan pernah meninggalkan bidang kejururawatan.”

NALURI USAHAWAN SEMAKIN MENEBAL

Selain bidang kejururawatan, Encik Firman juga tidak asing dengan dunia keusahawanan, khususnya dalam sektor acara dan makanan dan minuman (F&B).  Sejak usia remaja lagi, beliau sudah mencuba pelbagai pekerjaan termasuk memasak, menjadi pelayan dan menganjurkan acara.

Sepanjang tempoh 'cuba-cuba' itulah, beliau belajar tentang selok-belok perniagaan F&B daripada para kenalan dan saudara-maranya yang lebih berpengalaman dalam industri itu.

(Gambar: Salud/Facebook)

(Gambar: Salud/Facebook)

Akhirnya pada 2018, beliau memberanikan diri untuk menceburi dunia keusahawanan, dengan menubuhkan syarikat Salud Singapore yang menyediakan pelbagai khidmat F&B, termasuk menganjurkan acara, membuka gerai di pasar malam dan membekalkan rempah-ratus kepada para penjaja.

BAPA SEGALA AYAM

Dalam keadaan ekonomi yang suram angkara pandemik COVID-19, Encik Firman memutuskan untuk membuka kedai ‘Bapak Ayam’ di pasar Blok 93 Lorong 4 Toa Payoh pada Disember 2020.

Beliau memilih untuk menjual ayam kerana daging haiwan itu menjadi bahan asas bagi kebanyakan masakan tempatan.

(Gambar: Salud/Facebook)

(Gambar: Salud/Facebook)

Sekali dengar, nama gerainya itu mungkin mengundang pelbagai reaksi. Namun, jelas Encik Firman, kesan sedemikianlah yang ingin dibangkitkan supaya nama kedainya itu mudah diingat oleh para pelanggan.

“Saya ingin menjadi penjual yang menawarkan apa saja jenis ayam yang dikehendaki. Saya ada ayam hitam yang halal dan juga ayam tua. Segala bahagian ayam saya ada,” seloroh Encik Firman.

Meskipun sudah biasa bekerja dalam sektor F&B, pembukaan kedai ayamnya mempunyai cabarannya yang tersendiri. Ini termasuk mempelajari cara-cara untuk menyimpan daging ayam pada suhu yang sesuai dan cara-cara memotong ayam – yang dipelajarinya menerusi YouTube dan tunjuk ajar pekerjanya.

“Kali pertama saya memotong ayam adalah di kedai saya sendiri. Saya tidak pernah memotong ayam. Ia disajikan kepada seorang pelanggan,” kongsi Encik Firman.

Namun selepas enam bulan, Encik Firman berhasil merancakkan perniagaannya. Bahkan beliau kini sudah berhasil memiliki pelanggan tetap yang terdiri daripada wanita-wanita rakyat Vietnam yang datang sejauh dari Yishun kerana mahu mendapatkan beraneka jenis ayam, terutamanya ayam tua.

Beliau dibantu oleh pekerjanya dari Vietnam, Cik Bella Ha, yang juga memainkan peranan untuk memasarkan produk-produk kedai Bapak Ayam di lelaman yang dikunjungi oleh masyarakat Vietnam tempatan.

MENYUMBANG SEMULA KEPADA MASYARAKAT

Meskipun baru menapak sebagai pegerai di Lorong 4, penduduk Toa Payoh itu juga tidak mahu terlepas peluang untuk membawa keceriaan kepada para penduduk di kejiranannya pada Syawal lalu.

"Saya begitu sibuk dengan urusan kedai sehinggakan saya tidak sempat beramal sepanjang Ramadan. Saya berniat mendermakan ayam kepada mereka yang memerlukan."

Menurut Encik Firman, beliau sendiri yang menghubungi Anggota Parlimen di kawasan undinya, iaitu Encik Saktiandi Supaat, untuk melahirkan hasratnya itu.

Lebih seratus ekor ayam beku diagihkan kepada kira-kira 50 keluarga memerlukan yang dirujukkan oleh M³@Toa Payoh.

Encik Firman melanjutkan waktu niaga kedainya sehingga 7.00 malam - kira-kira enam jam selepas waktu perniagaan biasa di pasar - supaya mereka yang bekerja berpeluang untuk menerima habuan masing-masing.

Niat murni di sebaliknya usaha amalnya itu dipuji dan dialu-alukan oleh Anggota Parlimen GRC Bishan Toa-Payoh Saktiandi Supaat.

"Para penduduk sangat berterima kasih atas budi baiknya kerana ia membantu persiapan juadah Hari Raya hanya dua hari menjelang Hari Raya.

"Saya ingin menyampaikan setinggi-tinggi penghargaan kepada Encik Firman atas kemurahan hati dan baik budi beliau dalam menyumbang kembali kepada masyarakat," kata Encik Saktiandi dalam catatannya di Instagram.

Encik Firman kini berhasrat untuk memperluaskan lagi usaha amalnya itu untuk menjangkaui lebih ramai anggota masyarakat.

Beliau juga merancang untuk mendermakan daging ayam sempena sambutan perayaan utama di Singapura, termasuk Tahun Baru Cina, Deepavali dan Krismas. 

Sumber : BERITA Mediacorp/zm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan