Presiden Halimah Yacob

Images
  • abdel fattah al sisi
    (Gambar: Khaled Desouki/ AFP)

Presiden Halimah ucap tahniah kepada Presiden Mesir atas pelantikan semula

SINGAPURA: Presiden Halimah Yacob menulis kepada Encik Abdel Fattah al-Sisi untuk menyampaikan tahniah atas pelantikan semula beliau sebagai Presiden Mesir.

Demikian menurut Kementerian Ehwal Luar dalam kenyataan medianya hari ini (3 Apr).

Dalam surat bertarikh 3 April itu, Presiden Halimah berkata: "Mesir dan Singapura menikmati hubungan yang rapat dan sudah lama terjalin. Hubungan di pelbagai peringkat kekal baik, dan dikukuhkan lagi melalui pertukaran lawatan antara kedua-dua Presiden pada 2015 dan 2016."

Presiden Mesir itu menang 97 peratus undi sah untuk dipilih semula bagi penggal kedua, menurut keputusan rasmi yang diumumkan semalam (2 Apr). Beliau tidak menghadapi sebarang saingan sengit dalam pilihan raya minggu lalu.

Dalam suratnya itu, Presiden Halimah menambah Singapura akan terus bekerjasama dengan Mesir bagi memupuk "kerjasama lebih kukuh dalam pelbagai bidang termasuk perdagangan, pelaburan, pembangunan tenaga manusia, pertukaran penduduk kedua-dua negara dan pemahaman antara agama".

Puan Halimah turut berkata beliau mengalu-alukan peluang untuk bekerjasama rapat dengan Encik Sisi bagi mengukuhkan lagi hubungan dua hala antara Singapura dengan Mesir.   

- CNA/AQ/aq

Top