Presiden Halimah Yacob

Images
  • intelek-halimah
    (Gambar: Halimah Yacob/ Facebook). 

Presiden Halimah buka klinik pertama bagi orang kurang daya intelek

SINGAPURA: Klinik pertama khas bagi orang kurang daya intelek dibuka di Pusat Latihan dan Pembangunan MINDS Eunos di Hab Masyarakat Kembangan-Chai Chee.

Presiden Halimah Yacob menyerikan upacara pembukaan klinik itu hari ini (21 Mac), yang juga adalah Hari Sindrom Down Sedunia.

Dapatan kajian menunjukkan golongan kurang daya intelek mengalami lebih banyak masalah kesihatan daripada orang-orang biasa.

Masalah kesihatan sedia ada juga mungkin tidak didiagnosis, kerana mungkin kesulitan menyuarakan keadaan tidak selesa yang dialami.

Para pesakit boleh mendapatkan rawatan perubatan dan rujukan bagi penjagaan khusus pesakit luar.

Setiap pesakit akan menerima sebuah buku kecil kesihatan yang merekodkan sejarah perubatan, tahap kemahiran komunikasi, dan keperluan pergerakan mereka.

Klinik ini turut menganjurkan pemeriksaan awal dan menawarkan perkhidmatan secara percuma atas sokongan bank OCBC, para doktor dan sukarelawan.

"Penubuhan klinik bagi mereka yang memerlukan rawatan, mereka yang mengalamai kecacatan intelektual adalah sesuatu yang amat progresif," kata Puan Halimah.

"Ini sesuatu yang penting dan perlu kerana kita tidak mempunyai klinik sedemikian, di mana doktor-doktor yang merawat mereka yang memerlukan, mereka mempunyai latihan khas, dapat memahami apakah masalah yang dihadapi oleh pesakit-pesakit yang memerlukan."

- CNA/UR/aq

Top