Presiden Halimah Yacob

Images
  • Dr Ahmad Mattar
    Mantan Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Dr Ahmad Mattar bersama isterinya.

Perkahwinan asas keluarga kukuh, bangunkan masyarakat teguh - Presiden Halimah

SINGAPURA: Perkahwinan adalah asas bagi keluarga yang kukuh sekaligus menjadi landasan dalam membangunkan sebuah masyarakat yang teguh.

Demikian menurut Presiden Halimah Yacob dalam satu majlis meraikan pasangan suami isteri yang sudah mendirikan rumah tangga selama 50 tahun atau lebih.

"Perkahwinan yang berasaskan nilai-nilai yang kukuh membantu memastikan anak cucu kita terus cemerlang, lantas memberi sumbangan yang bermakna kepada negara kita. Dan melalui perkahwinan, warisan serta kepercayaan kita terus hidup dalam generasi masa depan kita," kata Presiden Halimah Yacob.

Presiden Halimah menambah perkahwinan merupakan satu perjalanan hidup yang memerlukan komitmen dan kerja keras. Salah satu cara untuk terus mengukuhkan rumah tangga adalah dengan memastikan pasangan suami isteri sentiasa meluangkan masa bersama.

Sekitar 170 pasangan suami isteri memperbaharui ikrar perkahwinan mereka di Istana hari ini (17 Mac), disaksikan anggota keluarga mereka. Mereka juga menerima hadiah wang syiling dan sijil khas sebagai tanda peringatan.

Antara mereka yang berbuat demikian dalam majlis itu ialah mantan Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Dr Ahmad Mattar, yang sudah berumahtangga selama 51 tahun.

"Saya rasa untuk rumah tangga yang berbahagia kita mesti ada persefahaman antara suami dan isteri dan satu lagi yang saya rasa sangat mustahak ialah kepercayaan.

"Dan di sini isteri saya telah memberikan saya kepercayaan sepenuhnya dan saya rasa kalau saya tidak menghargai kepercayaan itu adalah satu perkara yang sangat saya sedih," kongsi Dr Ahmad juga yang pernah menyandang jawatan Menteri Sekitaran.  

- CNA/RU/fa

Top