Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

AP Melayu/Islam sambut baik Ucapan Presiden Halimah

Selain membentangkan pelbagai strategi untuk pembangunan negara, ucapan itu juga satu peringatan kepada pemimpin muda supaya berusaha meraih hak sewajarnya untuk memimpin.

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAMediacorp: Barisan pemimpin generasi keempat telah memberikan isyarat bahawa mereka mahu menjalin perpaduan bersama rakyat untuk mencapai masa depan lebih cerah bagi negara.

Para Anggota Parlimen Melayu/Islam menyatakan isyarat tersebut jelas ditekankan dalam ucapan Presiden Halimah Yacob di pembukaan Parlimen semalam.

Selain membentangkan pelbagai strategi untuk pembangunan negara, ucapan itu juga satu peringatan kepada pemimpin muda supaya berusaha meraih hak sewajarnya untuk memimpin.

Presiden Halimah membentangkan lima tumpuan kumpulan menteri 4G di pembukaan sesi kedua Parlimen semalam.

Antaranya penting bagi pasukan pemimpin baru sedia mendengar pandangan rakyat dan tidak takut meraih sokongan bagi dasar yang sukar.

Para AP yang ditemui BERITAMediacorp menganggapnya sebagai satu perkembangan yang positif dalam usaha mengurangkan ketidaksamarataan.

"Kita faham dan kita tahu ada di kalangan kita ada tertinggal, di mana kita harus sentiasa melihat ke belakang untuk membawa mereka yang tertinggal dan juga memberikan dorongan, sokongan supaya mereka boleh bersama-sama bangun dengan Singapura," kata Setiausaha Parlimen Kanan Pendidikan merangkap Pembangunan Sosial dan Keluarga Dr Faishal Ibrahim.

Menyentuh tentang cabaran membangunkan ekonomi yang dinamik, para AP berharap masyarakat terus meningkatkan kemahiran dan negara dapat menggalak inovasi supaya dapat membina kehidupan yang bermakna buat semua.

"Masyarakat kita juga perlu menjalankan transformasi oleh kerana jika tidak mereka akan ketinggalan. Jadi kita harus menggalakkan supaya pekerja kita dapat terus meningkatkan kemahiran mereka supaya mereka menjadi relevan dan boleh menyesuaikan diri kepada transformasi yang akan datang dan apa yang kita melihat di ekonomi kita hari ini," kata Menteri Negara Pembangunan Negara merangkap Tenaga Manusia Zaqy Mohamad.

"Untuk orang awam Singapura umpamanya, dari segi pekerjaan, saya rasa dengan adanya pertumbuhan yang lebih baik, dengan inovasi, kita boleh mendapat pekerjaan yang lebih baik," kata AP GRC Bishan-Toa Payoh Saktiandi Supaat.

Ucapan Presiden juga tambah mereka menyebut bagaimana pemimpin lebih muda boleh mendampingi rakyat Singapura.

"Saya rasa pada pemerintah akan datang, generasi akan datang, yang penting supaya kita menunjukkan jalan dan juga bekerjasama dengan masyarakat dan badan-badan semua untuk membawa masyarakat ke hadapan melalui pelbagai program dan pada masa yang sama kita harus juga menolong menghuraikan isu-isu seperti perubahan dan juga kemiskinan dan sebagainya," tambah Encik Zaqy.

"Saya merasakan bahawa ini adalah satu perjalanan yang berterusan yang harus dilakarkan di mana mereka mengambil langkah untuk mendekati warga kita bersama. Justeru saya yakin mereka boleh mendampingi dan juga mendekati warga Singapura," kata Dr Faishal pula.  

Sumber : BERITA Mediacorp/ru
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan