Presiden Halimah Yacob

Images
  • parlimen
    Gambar Parlimen sedang bersidang. (Gambar: TODAY)

Agenda Parlimen: Tangani ketidaksamarataan sosial, bantu mudahkan rakyat dapat kerja

SINGAPURA: Pemerintah akan menumpukan perhatian kepada usaha untuk mengukuhkan kedudukan Singapura dalam dunia yang kian berubah-ubah, menjadikan negara ini sebagai sebuah negara bertaraf dunia, mewujudkan tenaga kerja yang cekap dan berupaya mengatasi gangguan teknologi, menangani ketidaksamarataan sosial dan memupuk semangat kenegaraan yang kukuh.

Semua ini disentuh oleh Presiden Halimah Yacob dalam ucapan beliau di pembukaan sesi kedua Parlimen ke-13 pada Isnin (7 Mei).

Dalam ucapannya, Presiden Halimah berkata, untuk mengukuhkan kedudukan Singapura di persada antarabangsa, Pemerintah mesti 'bersiap sedia untuk berjuang, melindungi kepentingan negara dan rakyat dan bekerja keras bagi menjalin kerjasama yang menguntungkan'.

Sebagai contoh, Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) dan Home Team sedang meningkatkan keupayaan masing-masing, termasuk ancaman-ancaman tidak konvensional seperti pengganasan dan serangan siber. "Menjangkaui perkakas dan keupayaan, kekuatan kita sebenarnya terletak pada tekad dan kesungguhan kita untuk melindungi dan mempertahankan negara ini dan menentukan sendiri masa depan kita," kata Presiden Halimah.

Puan Halimah turut menarik perhatian bagaimana Singapura berusaha untuk menjalin kerjasama dengan banyak negara, khususnya menjalin hubungan yang baik dengan Amerika Syarikat dan China.

Singapura, sebagai pengerusi baru ASEAN, juga akan cuba menjalin 'hubungan yang terbuka dan inklusif dengan negara-negara serantau dan kuasa-kuasa besar dunia'. Ia juga akan bekerjasama dengan negara-negara anggota ASEAN untuk mencari keseimbangan dan mengukuhkan perpaduan dalam ASEAN, selain "memastikan usaha itu dapat terus dikekalkan dalam jangka panjang, menurut Puan Halimah lagi.

Keutamaan seterusnya adalah bagi Pemerintah untuk memastikan agar rakyat Singapura dapat hidup dalam sebuah negara yang bertaraf dunia dan menjadikan Singapura sebagai sebuah kediaman yang bersih, hijau, cekap dan saling terhubung.

Untuk berbuat demikian, Pemerintah mesti berpandangan jauh dalam perancangannya, selain membina prasarana yang baik bagi generasi seterusnya, tambah Puan Halimah.

Pelaburan dalam bidang prasarana misalnya, termasuk pembinaan Terminal 5 Lapangan Terbang Changi dan Pelabuhan Tuas yang baru, serta projek kereta api laju Kuala Lumpur-Singapura dan Sistem Transit Laju (RTS) Johor Bahru-Singapura.

Pemerintah juga akan menyuntik kesegaran kepada kawasan-kawasan kejiranan dan membuat pelaburan besar dalam prasarana kereta api, menurut Presiden Halimah, sambil menambah bahawa landskap bandar Singapura akan berubah dengan ketara dalam masa beberapa dekad akan datang apabila Pangkalan Udara Paya Lebar dipindahkan ke Changi dan pelabuhan-pelabuhan di kawasan bandar berpindah ke Tuas.

MENGUBAH BAGAIMANA RAKYAT S'PURA DIDIDIK

Menurut Presiden Halimah, Pemerintah akan memastikan agar Singapura terus menawarkan banyak peluang untuk rakyatnya memburu cita-cita, memperoleh kerjaya yang hebat dan membina kehidupan yang bermakna.

Ini bermaksud, terus memperbaharui ekonomi agar ia produktif, berinovasi dan berdaya usaha. "Pelaburan kita dalam bidang kajian dan pengembangan sudah membuahkan hasil dan akan membolehkan kita untuk terus memanfaatkan teknologi dan pendigitalan, mewujudkan Negara Bijak, mengilhamkan, menguji dan memasarkan produk dan perkhidmatan baru.

Menurut Presiden Halimah lagi, pusat-pusat perniagaan baru seperti Daerah Tasik Jurong, Daerah Digital Punggol dan Woodlands North Coast masing-masing mempunyai kelebihan dan ciri-ciri tersendiri.

Pemerintah juga akan membuat pelaburan besar dalam bidang modal insan, lebih-lebih lagi di tengah-tengah era gangguan teknologi di mana rakyat mesti bersikap fleksibel, ghairah menimba ilmu dan berani menyerantau.

Puan Halimah berkata: "Kita sedang mengubah cara kita mendidik dan mempersiapkan rakyat, dengan kurang memberi tumpuan kepada pencapaian akademik tetapi sebaliknya lebih menjurus kepada kemahiran dan keupayaan untuk menyesuaikan diri dengan persekitaran luar yang dinamik.

SkillsFuture akan dijadikan asas untuk memupuk budaya yang mengutamakan pembelajaran sepanjang hayat, menimba kemahiran baru, sedang inisiatif Suai Maju akan memadankan rakyat Singapura dengan pekerjaan yang baik dan membantu mereka terus berdaya saing dan mudah untuk mendapatkan atau menukar pekerjaan.

ISU KETIDAKSAMARATAAN PERLU DITANGANI

Isu ketidaksamarataan perlu ditangani dalam penggal Parlimen ini, kata Presiden Halimah.

"Rakyat Singapura mahu hidup dalam masyarakat yang adil dan saksama, yang berdasarkan meritokrasi, namun pada masa yang sama, memastikan tiada yang ketinggalan. Oleh itu setiap daripada kita sudah bersedia untuk melakukan yang terbaik, dan juga berganding bahu dengan rakan senegara yang memerlukan bantuan untuk meneruskan kehidupan," kata Puan Halimah.

"Di Singapura, rakyat mesti boleh maju menerusi usaha dan kecemerlangan. Kita mesti mewujudkan lebih banyak laluan kemajuan dan meraikan pelbagai jenis kejayaan. Kita komited untuk memberikan permulaan kehidupan yang baik untuk setiap kanak-kanak, tanpa mengira kedudukan keluarga mereka. Kita akan terus mempertingkat mutu prasekolah dan melakukan lebih banyak lagi untuk kanak-kanak berisiko.

"Kita mesti bersungguh-sungguh menangani ketidaksamarataan. Kita perlu menyediakan sokongan tambahan kepada mereka yang memerlukannya - dalam perumahan, pendidikan, latihan kemahiran dan pekerjaan - supaya meritokrasi yang dijunjung dapat dilaksanakan dengan baik. Hanya dengan cara itu, setiap rakyat boleh mengecap kejayaan menerusi kerja keras, bakat dan kemahiran, tanpa mengira latar belakang mereka."

Isu berkaitan jumlah penduduk warga tua yang semakin meningkat turut disentuh.

Beliau berkata Pemerintah akan terus membantu pekerja lanjut usia kekal bekerja, memperoleh gaji yang adil dan menabung lebih banyak lagi, supaya mereka boleh menua dengan penuh hormat dan bermakna. Pemerintah juga akan mempertingkat prasarana mesra warga tua, termasuk pilihan perumahan yang dimampui menerusi "subsidi-subsidi jagaan kesihatan yang dilakar dengan baik", antara lain, tambah Puan Halimah.

Pemerintah juga berikrar untuk memainkan peranan bagi memenuhi keperluan pelbagai segmen rakyat Singapura, memperuntukkan lebih banyak sokongan buat keluarga-keluarga muda dan menjadikan Singapura sebuah negara yang terbaik untuk membesarkan anak-anak serta membolehkan rakyat kurang upaya menjalani kehidupan "aktif dan penuh bermakna".

"Yang paling penting, kita perlu membangunkan budaya yang kukuh di mana mereka yang berkemampuan dapat meluangkan masa, bakat dan sumber untuk membantu yang kurang bernasib baik. Hanya jika setiap orang menghulurkan bantuan, kita boleh benar-benar menjadi sebuah masyarakat yang penyayang dan murah hati," kata Puan Halimah.

Beliau juga menegaskan, yang paling penting, rakyat Singapura inginkan semangat kenegaraan.

Menurut Puan Halimah, kerencaman budaya dan tradisi Singapura saling terjalin dan tidak pernah dijangkakan pada 8 Ogos 1965 semasa Singapura mencapai kemerdekaan.

Beliau juga berkata bahawa sambutan 200 Tahun Singapura, yang akan berlangsung pada tahun depan dan menandakan ulang tahun ke-200 Sir Stamford Raffles menjejakkan kaki di pulau ini, adalah masa untuk rakyat Singapura menjejak asal usul mereka dan mendapatkan inspirasi bagi perjalanan seterusnya.

"Kita sudah berjaya mewujudkan jati diri Singapura, semangat kekitaan yang menjangkaui kaum dan agama masing-masing," kata Puan Halimah. "Ini masih diusahakan, tetapi kita sudah melangkah jauh."

- CNA/AW/fa

Top