Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

WP berjaya pertahan GRC Aljunied; jurang sokongan lebih lebar bagi GE2020

Parti Pekerja (WP) berjaya mempertahankan GRC Aljunied setelah meraih 59.93 peratus undi berbanding 40.07 peratus undi yang diperolehi Parti Tindakan Rakyat (PAP).

Anggaran Waktu Membaca:
WP berjaya pertahan GRC Aljunied; jurang sokongan lebih lebar bagi GE2020

Para calon Parti Pekerja Sylvia Lim, Leon Perera, Pritam Singh, Gerald Giam, Faisal Manap. (Gambar fail: Jeremy Long)

Diterbitkan : 11 Jul 2020 08:07AM Dikemas Kini : 11 Jul 2020 08:12AM

SINGAPURA: Parti Pekerja (WP) berjaya mempertahankan GRC Aljunied setelah meraih 59.93 peratus undi berbanding 40.07 peratus undi yang diperolehi Parti Tindakan Rakyat (PAP).

Pasukan WP meraih 85,603 undi berbanding 57,244 undi yang menyokong PAP. Sebanyak 1,582 undi ditolak.

Jurang kemenangan WP kali ini juga lebih lebar berbanding dengan Pilihan Raya Umum 2015 semasa parti berkenaan memenangi GRC tersebut setelah memperolehi 50.96 peratus undi.

Pasukan lima anggota WP itu termasuk setiausaha agungnya Pritam Singh, pengerusi parti Sylvia Lim dan naib pengerusi Faisal Manap yang bakal kembali menyandang jawatan sebagai Anggota Parlimen buat kali ketiga.

Dua calon lain - Encik Gerald Giam dan Encik Leon Perera - muka baru di kawasan undi itu tersebut tetapi pernah berkhidmat sebagai Anggota Parlimen Tanpa Kawasan Undi (NCMP). Mereka ditampilkan di GRC Aljunied dalam pilihan raya kali ini bagi menggantikan Encik Low Thia Khiang dan Encik Chen Show Mao.

Parti Pekerja juga berhasil mengekalkan kerusi SMC Hougang dan memenangi GRC baru - iaitu GRC Sengkang.

"Terima kasih kerana mengundi pasukan Parti Pekerja seperti mana anda menyokong pasukan Parti Pekerja yang berkhidmat sebelum kami ... kami akan terus berusaha sedaya upaya di kawasan undi ini dan untuk mewakili anda di Parlimen," kata Encik Singh bagi mengucapkan terima kasih sejurus selepas keputusan dimuktamadkan.

"Hasil hari ini adalah positif dan kami akan terus bekerja keras. Kami tidak boleh membiarkan keputusan ini melekakan kami. Banyak kerja yang perlu dilakukan."

Cik Lim berucap dalam bahasa Mandarin dan Encik Faisal pula menyampaikan ucapannya dalam bahasa Melayu, dengan kedua-duanya juga merakamkan penghargaan masing-masing kepada para pengundi.

Encik Perera berkata beliau "sangat tersentuh" dengan penduduk di Aljunied yang terus "menyokong WP", manakala Encik Giam berkata bahawa beliau akan terus berunding dengan Encik Low semasa menguruskan kawasan undi tersebut.

"Kami terhutang budi pada Encik Low Thia Khiang kerana membangunkan parti sehingga ke tahap sekarang ini," katanya.

WP berkempen dengan ikrar untuk membawa suara pembangkang yang lebih rencam ke Parlimen. Di Aljunied, ia menekankan bahawa kelemahan kewangan yang menjejas kewibawaan pengurusan majlis bandaran sudah diselesaikan.

Pasukan PAP, yang terdiri daripada Encik Chua Eng Leong, Encik Victor Lye, Encik Alex Yeo, Cik Chan Hui Yuh dan Shamsul Kamar, sebelum ini memohon para pengundi supaya 'menghulurkan sokongan' kepada mereka.

Mereka menekankan bahawa apa saja yang dilakukan selama ini untuk penduduk sebagai penasihat akar umbi, dan memberitahu para pengundi bahawa Singapura harus "bersatu hati" sewaktu masa-masa sukar dan bukannya berpecah belah disebabkan oleh fahaman politik.

Pada 2011, GRC Aljunied mencatat sejarah sebagai GRC pertama yang dimenangi parti pembangkang, dengan WP memenangi 54.72 peratus semasa menentang pasukan PAP yang termasuk mantan menteri George Yeo dan Menteri Pendidikan sekarang iaitu Ong Ye Kung, yang ketika itu adalah calon kali pertama.


Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Android dan langgani saluran Telegram kami bagi liputan terkini GE2020: https://t.me/BERITAmediacorp

Sumber : CNA/TQ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan