Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Wanita tidak dapat undi kerana 'kesilapan manusia dan salah komunikasi': ELD

Kesilapan komunikasi antara dua pegawai pilihan raya menyebabkan seorang wanita tidak dapat mengundi pada Hari Mengundi, menurut Jabatan Pilihan Raya (ELD) pada Rabu (15 Jul).

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 15 Jul 2020 06:51PM Dikemas Kini : 15 Jul 2020 09:05PM

SINGAPURA: Kesilapan komunikasi antara dua pegawai pilihan raya menyebabkan seorang wanita tidak dapat mengundi pada Hari Mengundi, menurut Jabatan Pilihan Raya (ELD) pada Rabu (15 Jul).

Wanita itu, yang hanya dikenali sebagai Cik Lum, diberitahu bahawa beliau sudahpun mengundi, tetapi penyelia pusat mengundi itu pada waktu itu sebenarnya menggunakan modul sistem e-Pendaftaran yang salah.

Wanita 36 tahun itu dilaporkan ialah seorang pengundi di GRC Holland-Bukit Timah. AsiaOne melaporkan bahawa beliau diberi kertas undi untuk menandakan pilihannya, tetapi ini tidak dihitung dalam keputusan pilihan raya. Beliau kemudian membuat laporan polis.

"Catatan sistem menunjukkan bahawa Kad Pengenalan (NRIC) Cik Lum tidak digunakan untuk mendaftar bagi mengundi pada Hari Mengundi. Kesilapan itu berpunca daripada kesilapan manusia dan salah komunikasi antara dua pegawai pilihan raya yang mengendalikan pendaftarannya pada Hari Mengundi," kata ELD.

ELD menyatakan bahawa catatan sistem menunjukkan bahawa ketua pegawai penyelia telah cuba mendaftarkan NRIC Cik Lum menggunakan sistem e-Pendaftaran beberapa kali.

Namun, sistem tersebut gagal mendaftarkan NRIC Cik Lum kerana penyelia pusat mengundi itu tidak menukar balik daripada modul sistem e-Pendaftaran yang salah, yang digunakannya untuk mendaftar pengundi sebelumnya.

Pegawai itu kemudian mengutarakan hal itu kepada penolong pegawai pilihan raya, namun, kesilapan komunikasi antara kedua-duanya menyebabkan penolong pegawai pilihan raya itu salah faham bahawa nombor NRIC Cik Lum telah digunakan untuk mendaftar bagi undian lebih awal pada hari tersebut.

"Ini kemudian silap disampaikan kepada Cik Lum," kata ELD.

ELD menyatakan sejak itu pihaknya sudahpun menghubungi Cik Lum untuk memberitahunya bahawa NRICnya tidak digunakan untuk mendaftar bagi undian dan memohon maaf kepadanya, sambil menambah bahawa pihaknya akan menyertakan semula namanya ke dalam Daftar Pengundi tanpa denda.

Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Android dan langgani saluran Telegram kami bagi liputan terkini GE2020: https://t.me/BERITAmediacorp

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan