Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Tan Cheng Bock terajui pasukan PSP di GRC West Coast; lawan pasukan PAP pimpinan S Iswaran

 Pasukan Parti Kemajuan Singapura (PSP) yang dipimpin oleh setiausaha agungnya, Dr Tan Cheng Bock, akan bertanding di GRC West Coast dan bakal bertarung dengan Parti Tindakan Rakyat (PAP).

Anggaran Waktu Membaca:
Tan Cheng Bock terajui pasukan PSP di GRC West Coast; lawan pasukan PAP pimpinan S Iswaran

GRC West Coast akan ditandingi PAP dan PSP. (Gambar-gambar: Matthew Mohan, Gaya Chandramohan)

Diterbitkan : 30 Jun 2020 03:57PM Dikemas Kini : 30 Jun 2020 06:06PM

SINGAPURA: Pasukan Parti Kemajuan Singapura (PSP) yang dipimpin oleh setiausaha agungnya, Dr Tan Cheng Bock, akan bertanding di GRC West Coast dan bakal bertarung dengan Parti Tindakan Rakyat (PAP). Calon kedua-dua parti sudahpun menyerahkan borang pencalonan masing-masing di Sekolah Tinggi Nan Hua pada Selasa (30 Jun).

Dr Tan adalah sebahagian daripada pasukan lima anggota PSP. Anggota lain parti itu termasuk Encik Jeffrey Khoo, Cik Hazel Poa, Encik Leong Mun Wai dan Encik Nadarajah Loganathan.

Mereka akan bersaing dengan pasukan PAP yang dipimpin oleh Encik S Iswaran, Foo Mee Har, Desmond Lee, Ang Wei Neng dan muka baru, Rachel Ong.

Kedua-dua Encik Lee, yang merupakan Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga, serta Encik Ang, adalah mantan Anggota Parlimen bagi GRC Jurong.

"Saya kembali ke sini kerana saya rasa banyak perkara tidak dilakukan dengan betul - ada kurang kebertanggungjawapan, kurang ketelusan dan kurang kebebasan... dalam pelantikan orang-orang kanan dalam Pemerintah," kata Dr Tan dalam ucapan beliau selepas pencalonan pasukannya disahkan.

"Ini mendasari Pemerintah yang baik dan saya mendapati ia kurang (sempurna), maka itu saya memutuskan untuk kembali ke sini."

Encik Iswaran, yang merupakan Menteri Perhubungan dan Penerangan, berkata: "COVID-19 sudah menyebabkan banyak ketidakpastian dalam kehidupan dan mata pencarian kita. Kami sebagai sebuah pasukan sudah bekerja keras selama ini untuk menjaga keperluan anda.

"Undilah kami, pasukan PAP anda, agar kita dapat terus bekerjasama untuk melindungi Kehidupan Kita, Pekerjaan Kita dan Masa Depan Kita."

Secara tradisi, GRC West Coast adalah kubu kuat PAP sejak ia dibentuk pada 1997. Dalam pilihan raya sebelumnya, PAP menang 78.57 peratus undi dalam persaingannya dengan Parti Reform.

Perbezaan ketara dalam peratusan undi itu membuktikan, pasukan empat anggota PAP - yang dianggotai Encik Iswaran, Cik Foo, Encik Patrick Tay dan Encik Lim Hng Kiang, adalah antara pasukan terhebat PAP dalam Pilihan Raya Umum 2015.

Berdasarkan laporan Semakan Sempadan Kawasan Undi yang dikeluarkan pada Mac, GRC West Coast kini merangkumi beberapa bahagian GRC Chua Chu Kang dan beberapa kawasan SMC Hong Kah North untuk menjadi kawasan undi lima anggota dengan 146,251 pengundi.

Dr Tan adalah AP Ayer Rajah selama 26 tahun, ketika beliau bersama PAP. Kawasan itu kini sebahagian daripada GRC West Coast.  


Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Android dan langgani saluran Telegram kami bagi liputan terkini GE2020: https://t.me/BERITAmediacorp

Sumber : CNA/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan